Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

07 June 2011

Senjata Nuklear Ancaman Besar Kepada Dunia


Suzalie Bin Mohamad Fellow

09/05/2011 | Artikel Bahasa Malaysia
Bom nuklear pertama kali digunakan semasa Perang Dunia II di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada tahun 1945. Lebih 70,000 orang di Hiroshima dan 40,000nya di Nagasaki terkorban serta merta dalam peristiwa tersebut. Menurut kronologi kajian berkaitan senjata nuklear, pembuatan bom nuklear sudah bermula seawal tahun 1938 lagi. Penemuan ini mendorong penyelidikan senjata nuklear semakin rancak apabila bahan radioaktif seperti uranium ditemui oleh Marie Curie. Bermula dari penemuan ini, ia menjadi realiti setelah penemuan dan persamaan yang dihasilkan oleh Einstein berjaya dipraktikkan.

Ukuran pencapaian dalam bidang sains dan teknologi termasuk teknologi nuklear yang telah mengkategorikan negara di dunia ini kepada negara sedang membangun dan mundur. Justeru itu, kita menyaksikan sains dan teknologi nuklear menjadi wahana kepada sesetengah negara untuk menunjukkan kekuatan sehingga menekan negara-negara kecil yang dianggap lemah kerana terkebelakang dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Model pembangunan Barat yang diasaskan kepada sains dan teknologi itu telah menjadi mekanisme paling berkesan untuk mengekalkan atau mengembangkan dominasi Barat ke seluruh dunia.

Lima negara kuasa utama nuklear yang diiktiraf iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat telah memiliki kemudahan simulasi ujian letupan nuklear, mereka boleh terus mengeluarkan senjata tersebut dengan melakukan ujian di dalam makmal tanpa melanggari perjanjian yang telah ditandatangani iaitu Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBT) dan Perjanjian Prolifirasi Nuklear (NPT).

Menurut The World Nuklear Handbook (1988), terdapat kira-kira 50,000 senjata nuklear di seluruh dunia dan sebahagian besarnya dimiliki oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet Union (Russia), sementara selebihnya terdapat di United Kingdom, Peranchis dan China. Teknologi nuklear mencakupi agenda strategik global untuk mengusai politik antarabangsa. Dari sudut politik, penemuan teknologi nuklear telkah melakar konsep seperti pertahanan rintang, kemusnahan pasti bersama (MAD) perlumbaan senjata, kawalan senjata dan perlucutan senjata sebahagian besarnya berpunca dari teknologi ini. Kesan ini kekal sebagai kesan penting sehingga ke hari ini yang mana senjata nuklear mendominasi strategik global kuasa-kuasa besar dunia untuk mengawal keseimbangan politik antarabangsa.

Perkembangan teknologi persenjataan nuklear telah mendorong negara-negara maju mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa dominan dunia. Negara yang bercita-cita menjadi kuasa utama dan mengekalkan statusnya, perlu mempunyai keupayaan untuk bertanding dan menjadi jaguh dalam mengamalkan pembaharuan dalam teknologi pertahanan berasaskan nuklear.

Pembangunan senjata nuklear menjadi lebih rancak bila berlakunya perlumbaan dan permusuhan antara negara-negara. Negara yang telahpun mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah negara yang memliki senjata nuklear akan terus melakukan penerokaan baru untuk mencanggihkan penemuan lama. Negara-negara ini akan berada dalam situasi berlumba-lumba bagi mengekalkan keupayaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan kontroversi yang memungkinkan perang nuklear apabila keseimbangan sudah tidak dapat dikawal lagi.

Penularan dan penjualan teknologi pertahanan berasaskan nuklear merupakan satu fenomena masa kini dalam industri ketenteraan. Ia disebabkan oleh keupayaan senjata nuklear berbanding senjata konvensional. Penularan atau prolifirasi senjata nuklear boleh berlaku apabila sebuah negara yang asalnya tidak memliki senjata ini mendapat atau membangunkan teknologi ini secara rasmi ataupun tidak. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan di mana sebuah negara memiliki senjata tersebut dan menyimpannya di luar pangkalan persempadanan negara seperti kedudukan senjata nuklear milik Amerika Syarikat yang terletak di Eropah Barat dan juga Asia Timur. Prolifirasi teknologi nuklear perlu dikawal dengan sebaik mungkin kerana dibimbangi teknologi persenjataan nuklear disalahguankan oleh-oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Amaran ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ruum ayat 41 yang berbunyi "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Dalam logika peperangan, konsep cegah rintang menjadi begitu popular semasa Perang Dingin berlaku antara Amerika dan sekutunya dan Russia. Pertembungan kuasa dwipolar antara kedua-duanya telah mencetuskan keadaan cegah rintang (deterance). Istilah ini menjadi sangat penting di awal era senjata nuklear, idea bahawa kekuatan yang kukuh akan menghalang musuh daripada menyerang telah mempengaruhi pertumbuhan teknologi persenjataan berasaskan tenaga nuklear. Namun apabila dua buah negara mempunyai kekuatan yang hampir sama, berlaku satu keadaan genting di mana persepsi dan perasaan takut wujud sekiranya berlaku perang maka kemusnahan itu pasti merugikan kedua-dua pihak. Keadaan cegah rintang di zaman Perang Dingin memperlihatkan bahawa kedua-dua buah negara antara Amerika dan Rusia, saling berlumba-lumba untuk menghasilkan senjata yang lebih hebat. Ditambah pula dengan kepesatan pertumbuhan bidang teknologi dan kepakaran tertentu dalam bidang nuklear telah menyebabkan pembangunan teknologi tersebut tidak dapat dielakkan.

Selain dalam Perang Dingin, keadaan cegah rintang ini juga wujud antara negara Pakistan dan India sekarang ini. Dalam persaingan ini, Pakistan perlu memiliki senjata nuklear setelah India memilikinya. Pakistan perlu mengambil tindakbalas tersebut untuk menyahut cabaran yang mungkin ditempuhinya. Apa yang berlaku seterusnya ialah senjata nuklear dan status kuasa nuklear ini menjadi penyebab atau halangan kepada kedua-dua negara ini untuk terlibat dalam peperangan besar-besaran sesama mereka. Namun wujud masalah di mana kedua-dua negara terus menjalankan pembangunan nuklear untuk mencapai keseimbangan. Ini dapat dilihat di mana India dan Pakistan berjaya membangunkan peluru berpandu masing-masing iaitu Pritvi milik India yang mempunyai jarak 150-250 km, manakala Pakistan mempunyai peluru berpandu Ghauri dan peluru Ghaznavi yang sangat berkesan untuk menghalang India dari bersikap lebih berani dan agresif daripada menyerang Pakistan dan wilayah-wilayahnya.

Pembangunan teknologi nuklear memang tidak dapat dielakkan terutama sekali dalam kalangan negara kuasa nuklear. Mereka sentiasa mempunyai perasaan curiga, persepsi dan perasan terancam serta berada dalam keadaan dilemma. Kuasa ketenteraan terbesar seperti Amerika Syarikat serta lain-lain negara nuklear sepatutnya terlebih dahulu mengambil langkah awal untuk melucutkan atau melupuskan senjata nuklearnya sebelum mendesak negara-negara lain berbuat demikian sekiranya keamanan dunia ingin dicapai.
Mereka menghalang pembangunan dan ujian teknologi nuklear yang dilakukan India dan Pakistan dengan memberi alasan bahawa kedua-dua negara itu miskin dan perlu menggunakan sumber domestik mereka untuk pembangunan rakyat bukannya kepada pembangunan persenjataan nuklear, sedangkan negara Perancia dan China mengadakan ujian nuklear sesuka hati tanpa mendapat sebarang tekanan yang kuat daripada Amerika atau badan-badan dunia yang bertanggungjawab menghalang pembangunan teknologi nuklear secara haram. Keadaan ini menyebabkan ketidak-seimbangan kerana seolah-olah negara Perancis dan China dan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhak menjadi kuasa nuklear.

Walau bagaimanapun, manusia nampaknya tidak pernah merasa puas dan belajar daripada keterlanjuran yang pernah berlaku yang menyebabkan jutaan manusia menjadi korban akibat ledakan bom nuklear, apatah lagi sekiranya berlaku peperangan nuklear. Oleh itu masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin-pemimpin dunia harus bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mendesak semua kerajaan mengharamkan peperangan dan mengheret pemimpin-pemimpin yang gila berperang ke mahkamah keadilan jenayah perang antarabangsa. Sekiranya kita tidak memulai langkah ini, satu hari nanti pasti perang nuklear akan berlaku yang akan memusnahkan kehidupan manusia di muka bumi ini. Rasullullah ada bersabda memperingati kita supaya jangan mensia-siakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan hadis berbunyi “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab, apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.”

No comments: