Followers

Carian dalam Blog ini

06 June 2016

Hampir 200 kanak-kanak hilang gagal dikesan sejak Januari

Saturday June 4, 2016

Portal Kanak-kanak Hilang (foto) disediakan oleh polis untuk membantu menjejak hampir 200 kanak-kanak yang masih hilang sejak Januari tahun ini. ― Paparan skrin Portal Kanak-kanak Hilang
KUALA LUMPUR, 4 Jun ― Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merekodkan sebanyak 567 kes kanak-kanak di bawah 18 tahun hilang sejak awal Januari sehingga 31 Mei lepas.

Timbalan pengarah siasatan dan perundangan JSJ Bukit Aman Datuk Law Hong Soon berkata daripada jumlah itu, 374 kanak-kanak telah berjaya ditemui semula.

“Daripada jumlah yang sama (567), dilaporkan sebanyak 193 lagi kanak-kanak di seluruh negara masih hilang dan kini sedang dikesan polis.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri dan mempromosi program “fun ride” Portal Kanak-kanak Hilang di Tasik Perdana di sini semalam.

Law berkata Selangor menunjukkan paling banyak kes kanak-kanak hilang bawah 18 tahun mengikut statistik dengan sejumlah 285 kes pada tahun lepas diikuti Johor (264 kes), Kedah (234 kes) dan Kuala Lumpur (175 kes).

Beliau berkata kebanyakan kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan adalah berpunca daripada masalah keluarga, ingin mencari kebebasan dan lari ikut kekasih serta kawan.

“Kebanyakan kanak-kanak yang hilang berumur antara lingkungan 12 dan 18 tahun setiap tahun,” katanya.

Law berkata bagi menangani masalah ini, polis bercadang untuk menggunakan teknologi 'face recognition system' bagi mengesan kanak-kanak hilang tetapi perkara berkenaan masih berada di peringkat perbincangan lagi.

Portal Kanak-kanak Hilang telah dilancarkan pada 8 Julai lepas oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Portal itu menyediakan platform untuk masyarakat menyemak dan menyalurkan maklumat tentang kanak-kanak hilang di bawah umur 18 tahun secara terus dalam talian. ― Bernama

No comments: