Followers

Carian dalam Blog ini

29 September 2011

Masyarakat masih belum prihatin aspek pengurusan sisa pepejal


SERDANG, (Bernama) - Cuba lihat atau terjemah senario sebelum dan selepas berakhirnya pasar malam, pasar pagi atau apa sahaja yang bergalaskan kepada perkataan 'pasar'.

Ramai orang, sudah tentu sama ada mereka adalah kalangan pembeli mahupun penjual. Malah, kiri kanan terasa kemeriahannnya dengan gelagat si penjual cuba meraih perhatian si pembeli. Itu adalah fenomena biasa ketika berada di pasar.

Namun, apa berlaku selepas itu?

Suasana lengang, tiada si penjual tiada si pembeli, tetapi yang tinggal hanyalah sampah merata-rata! Bukan senario baru, tetapi bagaikan sudah menjadi kebiasaan setiap kali adanya 'pasar' yang berlokasikan bukan di kawasan bangunan berbumbung.

Bukan itu sahaja. Lihat pula di kawasan taman rekreasi air terjun. Pemandangan menghijau yang indah, serta sering kali menjadi lokasi pilihan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, lihat pula kiri kanan anda. Tulang ayam, tulang ikan, bekas air kotak pelbagai jenama, bekas polisterin, menyuntik dekorasi 'kotor' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Semua ini merungkai kepada 'kurangnya keprihatinan masyarakat' dalam aspek kebersihan, kepentingan penglibatan terhadap pengurusan sisa pepejal, dan ini diakui sendiri oleh Pensyarah Undang-undang Pengurusan Sisa Industri dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Bakri Ishak.

IKUT SUKA HATI

Kewujudan penyakit seperti 'leptospirosis' serta meningkatnya kes denggi sepanjang tahun lepas, sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai amalan kebersihan sesetengah masyarakat negara ini.

Ia juga mengeksplisitkan betapa rendahnya keprihatinan masyarakat dalam penglibatan mereka sebagai antara komuniti penting pengurusan sisa pepejal yang teratur.

Malah, laporan pihak berkuasa berhubung penyakit 'leptospirosis' serta denggi menyebut punca berlakunya penyakit itu adalah sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli aspek kebersihan.

Ekoran mengambil mudah perkara itu, penyakit leptospirosis yang juga dikenali sebagai 'kencing tikus', mula dikesan pada pertengahan tahun lepas apabila beberapa orang meninggal dunia selepas mangsa dikatakan terlibat dalam aktiviti air di beberapa taman rekreasi.

Begitu juga dengan denggi. Kawasan persekitaran yang kotor, sampah merata-rata akhirnya mengundang pembiakan nyamuk Aedes.

Tidak sekadar itu, fenomena menjijikkan di belakang restoran, kawasan persekitaran penjaja yang kotor dengan longkangnya penuh sisa makanan sehingga tersumbat, boleh mengundang kedatangan binatang pembawa penyakit seperti tikus, lalat dan lipas.

Semua ini bermula daripada sikap 'ikut suka hati aku', mengurai kepada amalan membuang sampah merata-rata tanpa memikirkan implikasi pada masa akan datang.

ASAL BUKAN RUMAH AKU, SUDAH CUKUP

Kurangnya keprihatinan masyarakat turut dapat dilihat apabila mengamalkan konsep 'asalkan bukan rumah aku, sudah cukup ataupun 'Not in my backyard' (NIMBY), iaitu istilah popular yang digunakan di United Kingdom.

Senario ini dapat dilihat apabila ada sesetengah individu hanya menitikberatkan kebersihan di rumahnya, tetapi tidak ketika berada di luar.

"Sampah ini bukan di kawasan aku sudah cukup, lantaklah. Ada juga orang sebegini melonggokkan sampah ke rumah jiran ketika menyapu kerana tidak mahu kawasan rumahnya kotor.

"Biarpun kawasan perumahan kita bersih, tetapi persekitaran di luar sana yang kotor, ada kemungkinan kita akan mendapat balik kesannya," kata Mohd Bakri kepada Bernama baru-baru ini.

Sambil menegaskan bahawa senario ini jelas menunjukkan ketidakprihatinan masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal, Mohd Bakri juga melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap negatif masyarakat yang menyerahkan seratus peratus tanggungjawab sisa pepejal kepada pihak berkenaan (yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal).

Mempunyai persepsi "Buang sahaja sampah di sini kerana tiada tong sampah, lagipun nanti mereka tiada kerja pula", sekali gus memaparkan secara eksplisit sikap masyarakat yang terlalu mementingkan diri.

"Ungkapan itu seharusnya tidak diamalkan. Sekiranya ada sikap begini, amat sukar untuk kita menjadi negara maju," katanya.

SAMPAH BANYAK AIR

Rendahnya penglibatan masyarakat dalam program kitar semula, iaitu sekadar lima peratus berbanding negara lain, sekali gus menunjukkan betapa kurangnya keprihatinan mereka dalam pengurusan sisa pepejal.

Lebih gemar mencampur-adukkan pelbagai jenis sisa pepejal domestik dalam satu tong sampah, secara tidak langsung menyukarkan proses kitar semula.

"Ketika menghadiri satu persidangan berkaitan pengurusan sisa di Sarawak anjuran SIRIM baru-baru ini, saya mendapat maklumat menarik dinyatakan bahawa sisa pepejal kita mengandungi banyak air.

"Malah, diberitahu sisa pepejal kita adalah paling basah berbanding dengan Germany dan beberapa negara lain di Eropah," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Bakri berkata senario tersebut menyebabkan barang-barang yang boleh dikitar semula perlu mengalami proses 'pengeringan' dan ini secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada kejayaan program kitar semula.

Tidak boleh dipandang ringan akan senario tersebut kerana ia (air yang terkandung dalam sisa pepejal) akan menyebabkan wujudnya air larut lesap atau leachate yang bukan sahaja berbau busuk malah boleh mengundang bahaya kepada kesihatan manusia.

"Pada tahun 2006, kita dikejutkan dengan pencemaran air sungai yang berpunca daripada air larut resap ini," kata Mohd Bakri. Seharusnya pengasingan sisa pepejal daripada awal dalam mengkategorikan antara yang boleh dikitar dan sebaliknya perlu dilakukan oleh masyarakat.

MENGAPA?

Ia adalah satu tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun syarikat konsesi.

Sikap masyarakat yang tidak prihatin dan menyerahkan seratus peratus tanggungjawab pengurusan sisa pepejal kepada pihak berkuasa, seharusnya diubah. Menganggap senario ketidakprihatinan ini lahir ekoran kurangnya kempen kesedaran, Mohd Bakri berkata sudah tiba masanya ia diberi penekanan utama.

"Bukan kempen kesedaran yang dibuat sebelum ini tidak berjaya, tetapi ia tidak banyak, masih banyak yang kurang. Lagipun masih ada yang tidak mengetahui sisa pepejal mana yang boleh dikitar semula dan sebaliknya.

"Ini berdasarkan kepada pengalaman saya ketika membuat penyelidikan untuk sisa elektrikal dan elektronik di beberapa buah bandar. Ketika itu, ramai mencadangkan untuk memperbanyakkan kempen kesedaran.

"Dan saya rasa ini adalah masa sesuai untuk memperbanyakkan lagi kempen kesedaran sesuai dengan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa pada 1 Sept lepas," katanya.

Melalui penguatkuasaan akta itu, sesebuah isi rumah perlu mengasingkan antara sisa pepejal boleh dikitar semula dan sebaliknya.

Percaya akta itu mampu meningkatkan keprihatinan masyarakat dalam penglibatan mengurus sisa pepejal mereka, Mohd Bakri berkata ini kerana ia (akta) mementingkan pengasingan sisa pepejal dari rumah lagi.

Dengan adanya didikan sedemikian, isu pasar dibanjiri sampah, konsep NIMBY, sisa pepejal banyak air dapat diatasi kerana ia semuanya berbalik kepada skop 'keprihatinan masyarakat'.

Apabila masyarakat mempunyai nilai prihatin dan merasakan diri mereka turut terlibat dalam pengurusan sisa pepejal negara, senario sedemikian tidak akan terjadi.

27 September 2011

Pengurusan Sisa Pepejal

Kita, Akta 673 dan Akta 672
Azrina Binti Sobian
Fellow

27/09/2011 | Artikel Bahasa Malaysia
Tahukah anda apa itu Akta 673 dan 672? Bila ia dikuatkuasakan? Dan, apa pula kaitan akta tersebut dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia?

Akta 672 atau Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pembersihan Awam ialah akta yang telah merealisasikan kewujudan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Secara rasminya, perbadanan ini ditubuhkan pada 1 Jun 2008 dan berfungsi sebagai satu badan yang merancang dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara secara menyeluruh. Peranan ini penting untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang seimbang dan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat awam. Dalam bahasa yang mudah, melalui Akta 673 ini, kerajaan telah mewujudkan satu badan yang akan memastikan seluruh ahli masyarakat dapat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sama tidak kira di mana kita berada.

Jika dahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tetapi kini PPSPPA mengambil alih tanggungjawab tersebut. Perkhidmatan oleh PBT menyaksikan mutu perkhidmatan yang berbeza-beza mengikut kemampuan PBT sendiri. Namun kini, dengan kewujudan PPSPPA, masyarakat awam di Malaysia akan dapat menikmati mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sama.

Akta 672 atau Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pula ialah akta yang memberi kuasa eksekutif kepada PPSPPA untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT. Dengan kata lain, sampah-sampah yang kita hasilkan kini tidak lagi diuruskan oleh PBT tetapi bermula dari 1 September 2011, ia diletakkan di bawah bidang kuasa PPSPPA.

Matlamat akhir kewujudan akta ini ialah untuk membangunkan satu sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik untuk manfaat masyarakat awam. Dengan itu, masyarakat awam dijangkakan dapat menikmati sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik, moden, setara dan memberi manfaat tertinggi demi kesejahteraan hidup mereka. Lebih baik lagi, buat masa ini, perkhidmatan yang ditawarkan itu masih lagi percuma.

Berita sebegini pastinya amat dialu-alukan oleh pelbagai lapisan masyarakat awam. Apatah lagi, dengan kewujudan akta ini, masyarakat awam telah dijanjikan dengan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik. "Lebih baik" yang dimaksudkan di sini membawa maksud satu perkhidmatan yang mematuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan digariskan oleh PPSPPA. KPI ini meliputi peningkatan mutu dalam jadual dan kekerapan kutipan, penghantaran sisa ke lokasi pelupusan yang ditetapkan, mengelakkan keciciran kutipan, memastikan sisa di dalam dan di luar tong dikutip, memastikan tiada tumpahan bahan larut lesap (leachate) dan penggunaan lori kompaktor yang mempunyai kelengkapan bin-lift bagi memastikan kutipan sampah yang lebih cekap, cepat dan bersih.

Selain menikmati satu sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik, apa pula kaitan lain kedua-dua akta ini kepada kehidupan masyarakat Malaysia? Sekurang-kurangnya terdapat dua kaitan secara langsung kedua-dua akta ini kepada masyarakat awam.

Pertamanya, salah satu tujuan lain penubuhan PPSPPA ialah untuk meningkatkan amalan kitar semula masyarakat Malaysia. Dengan itu, perbadanan akan melaksanakan kutipan sehari dalam seminggu untuk sampah dan barangan yang boleh dikitar semula di rumah. Ini merupakan satu usaha yang baik untuk meningkatkan amalan kitar semula dalam masyarakat. Dengan ini, barang yang dikitar semula pengguna akan dikutip oleh pihak konsesi yang diamanahkan dengan tugasan tersebut.

Oleh itu, tidak timbul lagi isu penghantaran barangan kitar semula yang dikatakan jauh, melecehkan dan sukar dicari. Ini akan memberi peluang ahli masyarakat belajar dan mengamalkan kitar semula barangan di rumah. Matlamat akhirnya ialah agar ahli masyarakat dapat menghargai usaha ini sebagai satu tanggungjawab mereka untuk memelihara alam sekitar. Diharapkan juga segala macam aduan dan rungutan tentang kegiatan kitar semula yang sering kita dengar sekarang dapat dikurangkan atau lebih baik dihapuskan sama sekali. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan kepada amalan kitar semula itu bukannya hanya suka merungut itu dan ini.

Dalam masa yang sama, diharapkan pelaksanaan kitar semula ini diiringi dengan usaha penyebaran maklumat yang tepat dan mudah difahami pengguna. Dalam masa yang sama, usaha ini seharusnya memudahkan pengguna. Akhir sekali, kita juga berharap agar usaha ini dapat dilebarkan kepada kutipan bahan kitar semula yang lebih kerap berbanding satu hari seminggu seperti yang disebutkan sebelum ini.

Keduanya, berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar. Sebagaimana yang disebutkan di atas, matlamat akhir pembentukan kedua-dua akta ini ialah untuk mencapai kesejahteraan alam sekitar yang baik. Apabila sisa diuruskan dengan baik dan cekap, alam sekitar akan menjadi lebih bersih. Alam sekitar yang bersih bukan sahaja dapat dinikmati oleh kita tetapi dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Dengan itu, pengenalan akta-akta ini membantu usaha memulihara alam sekitar. Dalam masa yang sama, kita, sebagai ahli masyarakat dapat memberikan sumbangan terhadap usaha baik ini. Penglibatan yang dimaksudkan di sini ialah dalam bentuk kerjasama pengguna dalam menguruskan sisa pepejal di rumah masing-masing, penglibatan dalam kegiatan kitar semula dan penglibatan dalam bentuk membuat aduan atau menyalurkan maklumat terhadap kekurangan atau kepincangan dalam pengurusan sisa pepejal di bawah seliaan PPSPPA.

Berdasarkan maklumat yang diberikan ini, jelas bahawa pengenalan kedua-dua akta yang disebutkan tadi amat berkaitan dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Namun sejauh mana pengetahuan mereka? Sewajarnya, sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita mengambil tahu dan membuat persediaan yang sewajarnya untuk sama-sama terlibat dalam segala usaha pengurusan sisa pepejal. Ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan sisa pepejal yang berjaya tidak akan dapat dijadikan kenyataan jika kedua-dua pihak - penawar perkhidmatan dan penerima perkhidmatan - gagal bekerjasama dalam menjayakan usaha tersebut.

Semoga dengan penulisan makalah dan maklumat yang dikongsikan ini, kita dapat bersedia dari segi pemikiran dan tindakan untuk menjadi ahli masyarakat yang sedia terlibat dan akan menjayakan usaha pengurusan sisa pepejal negara yang baik dan cekap. Sudah tiba masanya kita menghulurkan tangan membantu dan bukannya hanya menunggu pihak lain menguruskan sampah yang kita sendiri hasilkan.

21 August 2011

Tragedi 19 : tak cukup menginsafkan kah?



JELI 20 Ogos – Hasrat tiga sahabat berkonvoi menaiki kenderaan berasingan untuk memancing di Tasik Banding, Perak tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Gerik, berhampiran Gemang, Ayer Lanas itu berlaku pukul 8.10 pagi.

Dalam nahas tersebut, kereta Perodua Kancil dipandu Zazemi Mat Jusoh, 27, dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tilam.

Kereta mangsa itu kemudian diseret sejauh 35 meter sebelum rakannya, Aniq Arshad Mohd. Roseli, 18, yang menunggang motosikal muncul dan merempuh kedua-dua kenderaan tersebut.

Zazemi yang berasal dari Bukit Gading, Tanah Merah dan Aniq Arshad, dari Kuala Krai maut akibat cedera parah di seluruh badan manakala pemandu lori tersebut, Abu Hassan Husin, 34, dan kelindannya, Karna Bahadut, 42, hanya cedera ringan.

Rakan kedua-dua sahabat itu, Mohd. Zaid Mohd. Zamri, 17, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mereka bertiga merancang untuk memancing di Tasik Banding dengan membawa kenderaan masing-masing yang mana dia sendiri turut menggunakan motosikalnya.

“Kereta dipandu Zazemi berada paling depan diikuti motosikal Aniq sebelum saya mengekori di belakang, menyebabkan mereka berdua sama-sama terlibat dalam nahas itu.

“Kami memilih untuk membawa motosikal disebabkan lokasi tempat memancing itu hanya boleh dimasuki menggunakan motosikal kerana jalannya sempit,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan Felda Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi ini.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, ibu dan adik lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain, 2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan.


Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

19/08/2011 | Utusan Malaysia

Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.

Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.

Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.

Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.

Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis riwayat Abu Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.

Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan-amalan lain sepanjang malam itu. Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah menghidupkan malam-malam tersebut dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah SWT.

Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya.

Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"(hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).

Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan?

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.

18 August 2011

Tragedi 18 : tak cukup menginsafkan kah?



SRI AMAN 17 Ogos - Sembilan lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jelukong, Engkilili dekat sini awal pagi ini.

Nahas ngeri itu berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika SUV jenis Toyota Rush itu yang menghala ke Kuching dipercayai hilang kawalan akibat kabus tebal.

Ia kemudian bertembung dengan sebuah lori pengangkut buah dan sayur yang datang dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan lori dinaiki dua lelaki tempatan terbabas manakala SUV tersebut remuk teruk menyebabkan sembilan daripadanya maut di tempat kejadian.

Mangsa yang terbunuh ialah Juhran, 26; Asmadi, 51; Yusran Said, 29; Maulidi Jabiah, 25; Ilham Tamrin, 27; Ilham Muzani, 26; Jafri Annuar, 26; Junaidi Tamrin, 38, dan Muslimin Jabiah, 25.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan bersama rakannya hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mayat serta mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber polis, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua warga Indonesia terbabit mempunyai permit kerja dan pasport serta memasuki negara ini secara sah.

Pihak polis juga dikatakan sedang berhubung dengan pihak Konsulat Kedutaan Indonesia bagi menguruskan penghantaran pulang mayat mangsa.

"Punca sebenar kemalangan masih disiasat. Turut menjadi persoalan adalah jumlah penumpang yang begitu ramai dalam sebuah kenderaan itu," katanya.


12 August 2011

Mengurus Risiko Daripada Terjebak Dengan Perlakuan Fitnah


Mohamad A'sim bin Ismail
Pegawai Penyelidik

12/08/2011 | Utusan Malaysia
Fitnah boleh membawa pelbagai erti. Mengikut kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah bermaksud tuduhan, khabar, kisah yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Dalam maksud ayat 191 surah al-Baqarah ada disebut "Fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan". Kebanyakan ulama tafsir memberi erti fitnah di dalam ayat Al-Quran ini membawa maksud perlakuan kufur dan syirik. Imam Fakhrulrazi dalam tafsir Kabir memetik Ibn Abbas sebagai berkata ini kerana pelaku syirik melakukan dosa besar yang melayakkan mereka kekal dalam neraka berbeza dengan kesalahan membunuh. Syirik dan kufur menjadikan pelakunya terkeluar daripada agama. Ada sebahagian ulama pula memberi erti fitnah sebagai perkara yang mengancam hidup beragama orang Islam samada dengan meracuni akidah orang Islam dengan pelbagai perkara yang meragukan atau pun dengan siksaan seperti yang berlaku ke atas sahabat nabi Muhammad SAW seperti Bilal, Sohaib dan Ammar bin Yasir. Apapun, semua takrifan fitnah ini membawa maksud negatif yang boleh membawa kucar-kacir dalam masyarakat.

Dari konteks maksud fitnah oleh kamus Dewan, kita dapat melihat di dalam kehidupan bermasyarakat, timbul pelbagai dakwaan terhadap pihak kedua. Dakwaan yang timbul datang daripada pelbagai latar belakang individu dan kelompok dalam masyarakat. Ada dakwaan yang bersifat jelas dengan bukti sokongan ke atas dakwaan tetapi sebaliknya ada juga yang dibuat tanpa bukti dan tanpa mengetahui latar belakang selok belok perkara yang didakwa. Ini termasuk pihak ketiga yang membuat dakwaan terhadap suatu isu melibatkan dua pihak lain tanpa terlebih dahulu mengetahui dan menyelidik duduk sebenar perkara, khasnya daripada kedua-dua belah pihak itu sendiri.

Dalam zaman serba canggih dengan teknologi internet di hujung jari, penyebaran segala dakwaan yang dibuat tidak terbatas kepada sesuatu kampung, daerah, negeri atau negara bahkan ke seluruh dunia. Dakwaan yang dibuat apatah lagi jika tidak benar sudah tentu memberi kesan besar kepada orang yang didakwa seperti menjejaskan maruah dan menimbulkan pandangan negatif masyarakat serta boleh mempengaruhi persepsi masyarakat awam dalam sesuatu isu.

Pada masa yang sama golongan yang berkepentingan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat dakwaan tanpa usul periksa, mengadakan-adakan dakwaan untuk menjatuhkan pihak kedua demi memenuhi pelbagai motif seperti mengembangkan fahaman mereka, menguasai minda masyarakat dengan acuan dan agenda mereka atau untuk menjaga kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu. Mereka dengan mudah pula mencanangkan dakyah mereka itu ke seluruh lapisan masyarakat.

Sebagai orang Islam, kita tidak harus terikut-ikut menyokong dan menerima sebarang dakwaan apatah lagi yang datang daripada golongan berkepentingan dengan menambah tokok lagi dakwaan mereka sehingga menjadikan dakwaan golongan berkepentingan tersebut seolah-olah benar walaupun dakwaan yang dibuat itu sebenarnya belum lagi jelas atau matang.

Orang Islam mempunyai asas panduan yang telah pun digariskan oleh agama Islam apabila ingin mengatakan pandangan dalam sesuatu isu yang timbul atau menerima berita yang berlaku dalam masyarakat.

Asas ini termaktub dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6).

Ayat ini memberi kesimpulan bahawa berita yang diterima dan sebarang ulasan atau dakwaan yang ingin kita lakukan hendaklah berdasarkan kepada kesahihan kebenaran berita berkenaan. Jika kita memberi komen tanpa maklumat yang matang dan tepat tentang berita berkenaan maka sudah tentu ia boleh menjadi suatu dosa yang disesali kemudian. Apatah lagi berita yang diterima daripada orang fasik.

Jika kita melihat lebih lanjut, maksud fasik dari segi bahasa ialah menyimpang daripada sesuatu atau daripada matlamat tertentu iaitu tidak taat. Dari segi istilah, imam al-Qurtubi mentakrifkan fasik iaitu mereka yang tidak mentaati Allah SWT daripada kalangan orang Islam yang ahli maksiat dan orang kafir. Al-Alusi pula mentakrifkan fasik itu termasuk orang berakal daripada kalangan orang kafir dan juga orang Islam tetapi ahli maksiat yang selalu melakukan dosa kecil dan besar. Ayat di bawah menerangkan lebih lanjut maksud fasik.

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran) dan tidak ada yang akan mengkufurkannya (mengingkarinya) melainkan orang-orang yang fasik. (Al-Baqarah:99)

Di samping itu agama Islam juga menggalakkan umatnya agar menyatakan perkara kebaikan atau diam tidak memberi ulasan dalam sebarang perkara atau dakwaan yang tidak ada kaitan dengan mereka. Jika sesuatu perkara tidak diketahui latar belakangnya maka sudah tentu itu merupakan perkara yang kita sebagai umat Islam tidak diberi mandat untuk memberi komen apatah lagi menyokong dakwaan berkenaan.

Kesan sebarang kenyataan menyokong oleh orang Islam khasnya pemimpin masyarakat tanpa usul periksa dan maklumat tepat dalam dakwaan dan isu yang timbul sudah tentu memberi gambaran yang mengelirukan kepada masyarakat awam Islam. Pada masa yang sama, tindakan ini sebaliknya lebih memberi keuntungan kepada pihak tertentu yang ingin melihat kelemahan umat Islam.

Oleh itu dalam isu-isu masyarakat apatah lagi yang berkaitan dengan hidup beragama orang Islam, kita perlu menyelidik berita atau isu yang ditimbulkan dengan teliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang pendirian dan tindakan agar tidak terjebak ke dalam perlakuan fitnah.

Rasuah dan Kebocoran Pintu Masuk Negara 26/07/2011

“Corruption Ranges From Active Involvement To Passive Negligence, And It Is Often The Lubricant That Allows Victims Be Selected, Transported And Held Against Their Will”.

Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia bukanlah perkara baru. Peluang pekerjaan di negara ini menjadi daya tarikan kepada pekerja asing untuk merebut peluang mencari rezeki. Walau bagaimanapun, kemasukan warga asing tanpa kawalan dan penguatkuasaan boleh menyebabkan pelbagai gejala negatif selain masalah pemerdagangan manusia. Antaranya kaitan dengan pertambahan kadar jenayah, permasalahan sosial, pertembungan budaya dan aspek kesihatan. Namun begitu, tidak kurang pula wujudnya pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kebanjiran kemasukan PATI dengan perlakuan rasuah dan penyelewengan yang mereka lakukan.

Menyedari wujudnya ruang dan peluang perlakuan rasuah dalam isu kemasukan PATI ke negara ini, SPRM mengambil tindakan menjalankan operasi terhadap kebocoran pintu masuk negara. Sebelas Kertas Siasatan (KS) telah dibuka bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan enam KS dibuka bagi tujuan siasatan bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009. Antara tindakan operasi yang dijalankan adalah ke atas maklumat berhubung kemasukan warga Indonesia tanpa permit perjalanan yang sah. Mereka telah dikehendaki oleh dalang-dalang tertentu untuk membayar sejumlah wang kepada pegawai Imigresen sebagai jaminan agar tiada masalah timbul khususnya di pintu masuk Pelabuhan Klang.

Daripada pemerhatian risikan SPRM Selangor, dianggarkan 1,000 hingga 1,500 orang PATI masuk ke negara ini setiap hari. Anggaran juga mendapati kira-kira 35% daripada jumlah ini telah membayar wang rasuah antara RM70.00 hingga RM100.00 seorang bagi mengelakkan prosedur pemeriksaan imigresen. Kebanyakan mereka ini yang masuk ke Malaysia semata-mata hendak mencari peluang pekerjaan. Kadar bayaran levi pekerja asing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah antara RM360.00 hingga RM1,800.00 setahun mengikut sektor pekerjaan. Manakala yuran pemprosesan pas lawatan (kerja sementara) adalah antara RM60.00 hingga RM110.00 seorang. Anggapan dengan menggunakan bilangan pendatang tersebut dan purata bayaran yuran pas lawatan (kerja sementara) serta levi yang sepatutnya dikenakan adalah RM800.00, Kerajaan dianggarkan boleh mengalami kerugian mencecah RM86.4 juta setahun akibat daripada ketidakpatuhan prosedur imigresen yang berpunca daripada amalan rasuah.

Menurut laporan berita BERNAMA bertarikh 23 Mac 2010, Menteri Dalam Negeri menganggarkan kira-kira RM171 juta dibelanjakan ke atas pengurusan tahanan dan pengusiran PATI dalam tahun 2009. Kos makan sahaja bagi tahanan di 13 depoh tahanan seluruh negara boleh mencecah RM341,881.00 sehari. Akibat kebanjiran PATI ini Kerajaan terpaksa menanggung kos-kos lain yang sukar dianggarkan daripada aspek keselamatan, implikasi sosial dan perkhidmatan kesihatan.

Melalui tindakan SPRM untuk membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan dalang kemasukan PATI, didapati wujudnya segelintir pegawai Jabatan Imigresen yang hidup mewah dengan wang haram apabila terdedahnya penglibatan mereka yang menerima sogokan sehingga RM60,000.00 sebulan di Jeti Penumpang Pulau Ketam. Ini adalah antara punca yang menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi PATI. Malah terdedah perlakuan rasuah mereka sehingga terdapat penguatkuasa yang dipercayai dibayar sehingga RM2,000.00 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram. Ini termasuklah bagi melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Hasil tindakan operasi yang dijalankan, seramai sebelas orang pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tujuh orang awam telah ditangkap. Sembilan daripada pegawai JIM yang ditangkap bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, manakala dua lagi adalah pegawai yang bertugas di Jeti Port Dickson. Secara keseluruhannya sebanyak RM231,608.36 nilai wang tunai atau dalam akaun simpanan pegawai tersebut telah disita. Jumlah nilai aset yang disita adalah berjumlah RM117,400.00.

Kejayaan membanteras kebocoran pintu masuk negara dalam operasi yang dijalankan ini adalah hasil risikan dan operasi khas yang dijalankan di pelabuhan atau pintu masuk. Hasil siasatan, operasi dan pendedahan mengenai gejala rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen ini telah menyebabkan satu langkah drastik dilakukan JIM iaitu dengan melakukan rombakan besar-besaran. Antara tindakan yang diambil adalah dengan menukarkan dua puluh anggota dan pegawai yang bertugas di Pelabuhan Klang ke cawangan lain. Rombakan ini dilakukan bagi memastikan ‘jalinan rangkaian’ antara pegawai Imigresen dengan dalang-dalang yang membawa masuk PATI ke Malaysia dapat dihentikan. Dalam masa yang sama, JIM dan SPRM mengadakan perbincangan bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur yang membuka ruang dan peluang gejala rasuah hingga menyebabkan ’pencerobohan’ berlaku di pintu masuk negara oleh anggota penguatkuasa undang-undang di negara ini.

Sumber: Web SPRM

31 July 2011

Pentingnya Penekanan Syariat Islam Dalam Aspek Pelestarian Alam


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

25/07/2011 | Artikel Bahasa Malaysia


Nikmat alam dan kepelbagaian ekosistem ciptaan Allah SWT untuk kelangsungan hidup manusia dan spesies lain yang terdapat di muka bumi ini sememangnya sangat bernilai. Oleh yang demikian, ia seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah dan bijaksana. Antara nikmat yang begitu besar ialah kepelbagaian ekosistem hutan menghijau yang membekalkan oksigen secara berterusan kepada penghuni bumi untuk meneruskan hayat. Tidak kurang juga aliran sungai-sungai yang membekalkan sumber air kepada kehidupan. Namun persoalannya sejauh manakah kita sebagai hamba-Nya mensyukuri nikmat yang telah kita nikmati?
Jika diamati, senario pada hari ini jelas mempamerkan bahawa alam semulajadi kurniaan Ilahi kian terancam dan hampir mencapai tahap kepupusan disebabkan oleh kelalaian manusia yang enggan bersyukur dengan segala curahan nikmat dan kewujudan khazanah alam yang begitu berharga. Amat malang sekali, dek kerana kealpaan manusia yang mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata didapati secara purata sebanyak 25 hektar pokok ditebang pada setiap hari.

Keadaan ini begitu menggusarkan kerana penebangan secara tidak terancang boleh mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap bumi serta keseluruhan ekosistem termasuklah masalah pencemaran, kepupusan habitat flora serta fauna dan juga pemanasan global. Natijahnya, ia seterusnya akan mengundang berlakunya pelbagai bencana alam termasuk tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya.

Sedangkan kita seharusnya sedar bahawa ekosistem hutan merupakan harta yang perlu dipelihara. Ini memandangkan pokok-pokok hutan banyak memberi manfaat kepada alam semulajadi dan seluruh hidupan di bumi.Misalnya, sebatang pokok boleh mengeluarkan 91 kilogram oksigen setiap tahun. Jadi, bayangkan berapa banyak oksigen yang dapat dihasilkan jika kita memelihara keseluruhan ekosistem hutan yang masih lagi bersisa pada hari ini. Malah, dengan memelihara ekosistem hutan, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau ekoran daripada pembebasan gas-gas yang mencemarkan secara terbuka oleh kenderaan bermotor dan industri.

Dengan pemeliharaan ekosistem hutan juga , ia dapat membantu menyejukkan suhu rumah dan persekitaran. Ini sekaligus dapat menjimatkan kos penyaman udara atau dengan perkataaan lain penggunaan tenaga dapat diminimumkan. Bayangkan jika sebatang pokok muda bersamaan dengan kos penyaman udara di 10 bilik yang beroperasi selama 20 jam, berapa banyak kos dan tenaga yang dapat kita jimatkan dengan memelihara ekosistem hutan.

Begitu juga sekiranya kita memelihara 40 batang pokok, didapati sebanyak 37 kilogram pencemaran udara berupaya disingkirkan. Daripada maklumat-maklumat tersebut, ia memberi gambaran yang jelas kepada kita betapa besarnya peranan setiap pokok yang kita pelihara. Jika kita menyedari dan memahami hakikat ini dengan sedalam-dalamnya pasti kita akan lebih menghargai ekosistem hutan dan alam semulajadi yang kita miliki pada hari ini.

Lebih-lebih lagi, ketetapan mengenai kepentingan aspek pelestarian alam sekitar dan segala sumber yang ada di dalamnya adalah termasuk dalam kerangka syariat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW telah memperlihatkan kepada kita bahawa aspek pelestarian alam sekitar merupakan tunjang penting dalam kehidupan manusia. Bahkan, memelihara dan menjaga alam sekitar serta komponen-komponen yang ada di dalamnya merupakan suatu kewajipan yang tergolong sebagai satu ibadah.

Malahan, di dalam Islam terdapatnya konsep kawasan haram yakni kawasan yang diperuntukkan untuk melindungi sumber semulajadi alam. Semasa zaman pemerintahan Rasulullah SAW, baginda telah menetapkan kawasan-kawasan yang tidak boleh dicerobohi dan dilanggar peraturan ekosistemnya seperti mengehadkan aliran-aliran air, memelihara beberapa kemudahan umum dan kota-kota tertentu. Di dalam kawasan haram, kemudahan umum seperti kawasan tadahan air harus dilindungi daripada sebarang bentuk kemusnahan. Begitu juga, sumber air perlu sentiasa dijaga agar tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran.

Tuntutan syariat Islam juga adalah bertujuan mewujudkan kesejahteraan umum yang menyeluruh terhadap semua makhluk Allah di muka bumi mencakupi kesejahteraan manusia di dunia dan juga di akhirat. Tujuan kesejahteraan umum yang menyeluruh adalah sesuatu yang khas daripada syariat Islam dan merupakan implikasi penting daripada konsep tauhid. Justeru, manusia perlu mengerjakan sesuatu perkara yang dituntut oleh Islam demi kesejahteraan seluruh makhluk. Daripada sini dapat difahami bahawa jika sesuatu peraturan tergolong dalam unsur syariat, maka Ia juga bererti mengandungi unsur ibadah. Oleh yang demikian, aspek penjagaan dan pelestarian alam sekitar adalah merupakan salah satu bentuk perlaksanaan ibadah.

Syariat Islam telah diakui oleh para penganutnya sebagai ‘rahmatan lil alamin'. Justeru, penekanan Islam terhadap penjagaan ekosistem dan alam semulajadi yang bersumberkan al-Quran dan hadis sesungguhnya merupakan rahmat bagi kehidupan manusia dan segala hidupan di alam ini. Kebiasaan dan perilaku yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam aspek pemeliharaan alam sekitar (termasuk flora dan fauna), yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat baginda mencerminkan suatu pola pemeliharaan ekosistem yang cukup baik.

Oleh yang demikian, ia sewajarnya diteladani dan diteruskan oleh para pengikutnya sehingga ke hari ini. Di samping melaksanakan aturan syariat sebagai suatu ibadah, umat Islam juga dapat memahami pengertian ibadah tersebut dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam konteks hubungan mereka dengan alam dan seluruh komponen yang ada di dalamnya. Ini memandangkan, perbahasan mengenai aspek keseimbangan ekosistem telah banyak dibahaskan dan ia merupakan isu penting yang sering mendapat perhatian baik pada peringkat nasional mahupun pada peringkat global.

Melihat kepada situasi alam sekitar yang kian meruncing pada hari ini, mungkin timbul persoalan bagaimana ahli-ahli fuqaha pada awal abad pertengahan telah mempunyai wawasan yang cukup luas dengan menetapkan syariat yang kemudiannya mempunyai implikasi yang cukup penting dan berkesan terhadap aspek pelestarian alam sekitar. Sedangkan dengan pelbagai usaha yang telah kita lakukan pada hari ini, kita masih lagi tidak mampu menangani segala kepincangan yang berlaku terhadap alam sekitar sehingga mencapai impak positif seperti yang diharapkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah kemusnahan alam sekitar seolah-olah kelihatan sebagai suatu proses yang tidak dapat dielakkan memandangkan manusia hidup berinteraksi dengan alam dan komponen-komponen yang ada di dalamnya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang kukuh untuk kita menggunakan segala sumber yang ada sehingga mengabaikan aspek pelestarian alam sekitar sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Apa yang penting ialah kesediaan kita untuk mengendalikan dampak daripada pengeksploitasian komponen-komponen alam tersebut dengan penuh bijaksana supaya ia memberi dampak sifar atau paling minimum terhadap alam sekitar.

Maka, di sinilah perlunya penekanan syariat Islam dalam segala aspek kehidupan seharian termasuklah dalam konteks pemeliharaan alam sekitar. Jika kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam, pastinya segala urusan kita sebagai hamba-Nya akan menjadi lebih teratur dan sempurna. Bahkan, alam sekitar yang kita diami juga akan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh memusnahkannya dan keseimbangannya akan terus terpelihara.

06 July 2011

Peranan Hutan Sebagai Paru-paru Bumi


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

06/07/2011 | Artikel Bahasa Malaysia

Pelancaran Tahun Hutan Antarabangsa 2011 Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada awal tahun 2011 yang lalu merupakan antara salah satu usaha untuk memberi dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pelestarian ekosistem hutan. Dengan pengisytiharan Tahun hutan dan seumpama ini, ia diharap tahap kepekaan masyarakat terhadap ekosistem hutan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Penglibatan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dalam setiap aktiviti yang dianjurkan diharap bukan sahaja menjadi perintis untuk mereka mengenali dengan lebih dekat lagi ekosistem hutan, tetapi juga memahami setiap kitaran semulajadi yang berlaku antara ekosistem hutan dengan komponen-komponen yang ada di dalamnya sehingga terhasilnya keseimbangan terhadap keseluruhan ekosistem. Bayangkan, begitu sempurnanya hakikat kejadian alam yang masing-masing mempunyai peranan tersendiri yang telah diprogramkan oleh Allah SWT dengan cukup teratur tanpa sebarang cacat cela.

Namun, sayangnya kesempurnaan itu hanya bersifat sementara apabila ia jatuh ke tangan manusia yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Maha Pencipta. Hari demi hari ekosistem hutan kian menyusut lantaran sikap buas manusia yang tiada penghujung. Kelangsungan ekosistem hutan tidak lagi menjadi keutamaaan untuk dipelihara. Sebaliknya nilai kebendaan yang dikejar serta menjadi kemegahan. Betapa angkuhnya makhluk yang bernama manusia. Keangkuhan tersebut semakin jelas terpamer di depan mata apabila saban hari kita masih lagi disogokkan dengan berita-berita mengenai pembalakan haram baik di media massa mahupun di media elektronik. Sedangkan perkara seumpama ini seharusnya dihentikan segera agar tidak mengundang sebarang implikasi yang tidak diingini.

Tiada gunanya kita merungut apabila sukar tidur malam kerana bahang panas yang kian terasa lewat kebelakangan ini. Usah juga kita keluh kesah apabila keadaan cuaca semakin tidak menentu sehingga kadangkala mengganggu kelancaran aktiviti seharian kita. Jangan pula kita memberontak dan marah apabila haiwan lliar menceroboh ke kawasan penempatan kita. Sebaliknya, tanya pada diri kita sendiri, mengapa semua itu berlaku? Apakah yang telah kita buat untuk mengelak daripada ianya berlaku? Apakah pula sumbangan kita untuk memulihkan segala kecelaruan dan kepincangan yang hadir? Jawapan kepada persoalan-persoalan berkenaan ada pada diri kita sendiri. Jadi, tepuk dada tanya selera.

Kesediaan kita untuk berubah merupakan kunci penyelesaian kepada segala permasalahan alam sekitar yang timbul. Justeru, langkah awal perlu digerakkan agar kita lebih cenderung mempraktikkan amalan hijau dalam kehidupan seharian kita. Anak-anak perlu dilatih sejak seawal usia agar mereka memahami konsep hijau dan bagaimana ia membantu dalam pelestarian alam sekitar. Salah satu amalan hijau yang boleh dilatih dan dipraktikkan di rumah ialah meminimumkan penggunaan sumber dengan mengitar semula bahan-bahan kegunaan seharian. Mungkin usaha ini nampak kecil sahaja, namun jika seluruh anggota masyarakat mempraktikkannya ia akan memberi impak yang cukup besar untuk kelangsungan alam sekitar.

Jika kita amati, saban tahun terdapat pelbagai program berkaitan alam sekitar dianjurkan. Daripada aktiviti-aktiviti dan program-program yang dianjurkan dengan mengetengahkan tema yang berbeza dari semasa ke semasa jelas memberi cerminan bahawa tampuk kepimpinan kita begitu serius menangani permasalahan alam sekitar. Namun demikian, jika kesungguhan hanya di peringkat atasan kepimpinan sahaja tanpa disokong padu oleh rakyat, ia hanya akan menjadi sia-sia.

Justeru, dengan pengisytiharan tahun hutan antarabangsa ia diharap menjadi platform terbaik kepada seluruh anggota masyarakat untuk melibatkan diri secara langsung dalam program-program yang dianjurkan. Penglibatan secara langsung daripada anggota masyarakat diharap dapat memberi pendedahan yang lebih praktikal kepada mereka tentang kepentingan ekosistem hutan dan kesan terhadap kehidupan sejagat jika ekosistem ini dimusnahkan. Mudah-mudahan, dengan segala pendedahan dan pengalaman yang diperolehi daripada program-program yang dianjurkan dapat menitipkan kesedaran dalam kalangan mereka untuk lebih menghargai ekosistem hutan pada masa akan datang.

Salah satu perkara utama yang rata-rata kita perlu fahami dan sedari ialah hutan memainkan peranan penting sebagai paru-paru bumi. Dalam konteks ini, jika hutan dimusnahkan ia akan menyebabkan bekalan oksigen di bumi akan semakin berkurang. Lebih buruk lagi ia akan menyebabkan kadar pencemaran udara meningkat sehingga membawa kepada pemanasan global yang seterusnya mengundang berlakunya pelbagai bencana alam yang tidak diduga. Melihat kepada perumpamaan hutan sebagai paru-paru bumi, mungkin terdetik di benak segelintir kita bagaimanakah hutan dikatakan bertindak sebagai paru-paru bumi?

Bagi menjawab persoalan tersebut, contoh mudah yang boleh dilihat untuk kita fahami peranan hutan sebagai paru-paru bumi ialah fungsi di dalam tubuh badan kita sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, organ yang sangat penting di dalam badan kita ialah paru-paru. Ia berperanan mengawalatur pertukaran oksigen dan karbon dioksida di dalam badan. Dalam fungsi badan, oksigen diperlukan untuk tujuan pernafasan dan kelangsungan hidup sel-sel badan bagi memastikan manusia dapat menjalankan tugas dengan baik. Manakala, karbon dioksida pula ialah gas yang dibebaskan hasil daripada pernafasan dan ia perlu disingkirkan oleh badan kerana sifatnya yang boleh merosakkan fungsi badan.

Begitu juga dengan kitaran semulajadi bumi kita. Dalam kitaran bumi, ekosistem hutan bertindak sebagai penjana oksigen dan sekaligus mengurangkan kandungan karbon dioksida serta pencemaran udara di bumi. Dalam hal ini, ekosistem hutan berperanan menyerap karbon dioksida untuk tujuan penghasilan makanan yang dinamakan sebagai proses fotosintesis. Melalui proses fotosintesis, oksigen yang diperlukan oleh seluruh makhluk hidup di atas muka bumi dihasilkan. Oleh yang demikian, pemeliharaan ‘paru-paru bumi' ini sangat penting dalam memastikan bekalan oksigen dihasilkan secara berterusan bagi membolehkan manusia dan hidupan lain memperolehi bekalan oksigen yang cukup untuk melakukan aktiviti seharian dengan sempurna dan lancar.

Selain bertindak sebagai paru-paru bumi, terdapat pelbagai lagi manfaat yang akan kita perolehi jika kita memelihara dan melestarikan ekosistem hutan. Antaranya, ia dapat mengurangkan kesan rumah hijau, mengekalkan kepelbagaian serta kekayaan spesies flora dan fauna yang menghuninya, membekalkan udara yang bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan, mengelak daripada berlakunya limpahan air kerana mempunyai kawasan tadahan air yang mencukupi, sekaligus dapat mencegah berlakunya kejadian banjir dan hakisan tanah. Melihat kepada besarnnya peranan hutan kepada kita, sewajarnya ia dipelihara dan dijaga dengan sebaik baik mungkin agar tidak member implikasi yang buruk kepada kita dan alam sekitar di kemudian hari.