Followers

Carian dalam Blog ini

14 June 2013

Panas Bawa Maut

SETIAP hari kita pasti terdengar rungutan orang di sekeliling berkenaan cuaca yang teramat panas di negara kita. Manakan tidak, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang baru sahaja bermula bulan lalu.

Menurut JMM, kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan dan tempoh penerimaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.

Maka semakin ramailah yang mula berdoa dan berharap hujan akan turun bagi menghilangkan rasa panas yang membuatkan semua orang lesu dan tidak produktif.
Namun, di sebalik cuaca hangat dengan suhu yang mencecah sehingga lebih daripada 35 darjah Celcius, ramai yang masih tidak memandang berat akan kesannya terhadap tubuh badan kita.
Ramai yang dengan santainya bersiar-siar di bawah terik matahari tanpa mengambil langkah berjaga-jaga. Alasannya panas adalah perkara biasa di Malaysia.
Bagi mereka yang keadaan pekerjaannya memerlukan mereka berjemur panas seperti buruh binaan terus gigih bekerja tanpa berehat secukupnya dan menghiraukan bahaya yang mereka berdepan dengan panas mentari.

Ujar Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi, pendedahan terhadap panas yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit berkaitan dengan cuaca panas iaitu (heat related illness (HRI)).
“HRI adalah pelbagai dari sederhana iaitu ruam panas, kelesuan dan pitam akibat panas kepada teruk seperti kekejangan, keletihan yang melampau akibat panas dan strok haba.
“Keadaan yang paling teruk boleh berlaku akibat HRI ialah kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati malah ia boleh menyebabkan maut.

“Di Amerika Syarikat (AS), kematian akibat HRI sejak 1979 hingga 2003 dilaporkan sebanyak 8,015 pesakit, bilangan kematian yang lebih ramai daripada mereka yang kehilangan nyawa akibat gabungan taufan, banjir, gempa bumi dan puting beliung.
“Di Malaysia sendiri ada kes kematian akibat panas yang melampau," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.

Gejala
Ujar Dr. Hazlee, Gejala masalah HRI ialah pelbagai bergantung kepada tahap keseriusan masalah itu.
Antaranya ialah sakit kepala, keletihan, tumpuan lemah, pening, lemah otot-otot badan atau kekejangan, mual dan muntah.
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dinyahhidrat (kekeringan), kekeliruan, dan tidak sedarkan diri atau koma.
Komplikasi boleh berlaku jika lambat melakukan rawatan terutamanya mereka yang berdepan dengan strok haba iaitu kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati serta boleh menyebabkan maut.

Kumpulan berisiko
Ujar Dr. Hazlee, sesiapa sahaja boleh berdepan dengan masalah HRI tetapi beberapa kumpulan yang berisiko terutama kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun kerana lebih sensitif terhadap kesan panas dan mereka memerlukan bantuan dari orang dewasa untuk menyejukkan badan serta memberi hidrasi yang cukup.
Golongan tua berumur lebih daripada 65 tahun turut berisiko tinggi kerana sistem tubuh mereka mungkin tidak lagi efektif untuk menurunkan suhu badan dan mereka juga tidak dapat mengesan kenaikan suhu badan dengan baik.
Orang dewasa iaitu yang berusia 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.
HRI juga berisiko kepada mereka yang secara fizikal telah sakit terutama masalah sakit pernafasan, lemah jantung, dan mereka yang mengambil ubat untuk penyakit kemurungan.
Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti turut lebih berisiko kerana badan mereka menyimpan lebih banyak haba.
Ada sesetengah penyakit membuatkan HRI lebih senang berlaku seperti penyakit tiroid yang menyebabkan suhu badan tinggi.
Pengambilan ubat-ubatan yang menyebabkan badan panas dan keadaan bertambah buruk apabila berjemur juga menambah risiko berlakunya HRI.
Selain itu, cara pakaian tebal dan berlapis yang tidak sesuai dengan suhu, aktiviti fizikal serta keadaan pekerjaan dan beban kerja seperti mereka yang bekerja menyelenggara lebuh raya dan buruh binaan berisiko berdepan dengan HRI.

Maut
Pengsan akibat cuaca panas yang melampau dilihat seperti perkara biasa. Namun, serangan strok haba itu sebenarnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Ini kerana organ-organ penting tidak dapat air yang membawa mineral-mineral penting lalu ia akan gagal berfungsi satu demi satu jika tidak mengganti air secepat mungkin.
Oleh itu, rawatan kecemasan perlu dilakukan segera jika mempunyai tanda-tanda strok haba.

Pencegahan
“Mencegah adalah baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi.
“Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan.
“Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.
Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang, golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan, lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.

Ujar Dr. Hazlee kebanyakan majikan di AS telah menyediakan pendingin hawa bagi setiap ruang untuk pekerjanya.
Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.
Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.
Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.

Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.
Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.
Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.

Air yang cukup
Terang Dr. Hazlee, musim panas ini memerlukan kita minum air yang banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.
“Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.

“Minum air isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang melalui peluh.
“Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi, kerana ia boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita kehilangan cecair badan.
“Jika doktor mengehadkan pengambilan air, garam dan mineral disebabkan penyakit tertentu seperti sakit buah pinggang dan lemah jantung, dapatkan nasihat doktor tentang jumlah pengambilan yang selamat semasa cuaca panas," terangnya terperinci.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tradisi pencemaran pasar malam

Masalah kekurangan kemudahan tong sampah serta kesedaran sivik yang rendah dalam kalangan peniaga dan pembeli perlu ditangani segera kerana dikhuatiri mencetuskan masalah susulan yang lain. - Gambar hiasan.
BERBICARA tentang pasar malam, pasti terbayang dalam kotak fikiran kita tentang aneka makanan yang lazat lagi menyelerakan.
Namun di sebalik kerancakan dan riuh rendah suasana pasar malam, mungkin ramai di antara kita terlupa akan masalah alam sekitar yang boleh timbul akibat pengurusan pasar malam yang kurang efisien.
Pemerhatian di beberapa lokasi pasar malam yang popular di sekitar Pulau Pinang seperti Pasar Malam Tun Sardon, Pasar Malam Sungai Nibong dan Pasar Malam Sg. Dua mendapati wujudnya masalah pengurusan dan pembuangan sampah yang kurang cekap.
Kekurangan tong sampah di sekitar pasar malam menjadi alasan utama para pengunjung membuang sampah terutamanya plastik dan lidi pencucuk makanan sesuka hati di atas jalan raya.
Selain daripada kurangnya kemudahan tong sampah, kesedaran sivik yang rendah dalam kalangan peniaga dan pembeli juga menjadi punca masalah lambakan sampah sarap di pasar malam.
Lebih teruk lagi, para peniaga seolah-olah tidak mengendahkan sisa sampah sarap dan meninggalkan kawasan pasar malam tanpa rasa tanggungjawab. Sampah sarap dibiarkan begitu sahaja sehinggalah petugas majlis pembandaran datang untuk membersihkannya.
Masyarakat seolah-olah ingin lepas tangan tentang tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar yang sepatutnya diuruskan secara bersama.
Hakikatnya masalah pembuangan sampah sarap terutamanya plastik ini boleh dikurangkan seandainya para peniaga sedar dan menyertai kempen tanpa beg plastik yang giat dijalankan di seluruh Malaysia.
Malangnya kempen ini hanya disahut oleh para peniaga di kedai dan pasar raya sahaja. Bagi peniaga pasar malam, penggunaan beg plastik masih lagi diteruskan dengan alasan untuk memudahkan para pembeli terutamanya barangan makanan.
Selain daripada masalah pembuangan sampah, aktiviti pembakaran makanan secara terbuka juga merupakan salah satu masalah alam sekitar yang berlaku di sekitar pasar malam.
Lambakan gerai di pasar malam yang menjual makanan bakar menjadikan kualiti udara di kawasan berkenaan merosot dan persekitaran pasar malam seolah-olah diselubungi oleh asap yang mengganggu sistem pernafasan serta penglihatan pengunjung.
Kunci penyelesaian bagi merungkai masalah sebegini sebenarnya terletak pada sikap dan kesedaran masyarakat untuk lebih bertanggungjawab serta peka terhadap alam sekitar.
MOHAMAD SAIFUDIN MOHAMAD SALEH
Sarjana Komunikasi Sains & Alam Sekitar, Universiti Sains Malaysia

© Utusan Melayu (M) Bhd

25 May 2013

Sains dan Teknologi: Suatu kelebihan atau kemudaratan?

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Artikel
Dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.

Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan.

Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi. Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam. Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina sendiri sebuah bom nuklear.

Kini kawalan terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya kian meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear tetapi boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan yang lebih luas. Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul kekalutan dan ketakutan yang akan menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat. Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi juga menelan belanja yang tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang canggih. Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan kegawatan ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara ke negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak pihak kerana penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada.

Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, jalan dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kemajuan teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku pula pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana maklumat sulit sesebuah negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas sesuatu gambar boleh dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan fitnah.

Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah sumber genetik yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap kesihatan manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui kesan buruknya.

Isu pengklonan juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi mampu memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan menghasilkan satu organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak dibimbangi kerana takut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan agama yang sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak kelebihannya dalam membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang dikhuatiri jika penggunaan "embryonic stem cell" bakal disalahgunakan juga untuk pengklonan manusia.

Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.

Ukuran Nilai Kebahagiaan Sesebuah Negara

Ditulis oleh Nur Syahidah binti Abd Jalil. Posted in Berita Harian


Institusi kekeluargaan merupakan isu penting terutama dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan berciri ketimuran. Di peringkat masyarakat dan undang-undang negara tidak mengiktiraf hubungan individu berlainan jantina yang hidup bersama tanpa melalui perkahwinan. Ini termasuklah perkara-perkara seperti hak dan tanggungjawab terutama sekali apabila timbul insiden kelahiran dan kematian.

Pengiktirafan kepada institusi perkahwinan tidak hanya berkisar mengenai hubungan kekeluarga semata-mata tetapi menyumbang kepada kerangka dasar pembangunan sosio ekonomi negara. Ini kerana pada hari ini nilai kekayaan semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama bagi sesebuah negara. Nilai-nilai murni, kebahagiaan dan kesihatan mental menjadi tren kepada pengukuran pembangunan yang terkini di pelbagai negara termasuklah di negara-negara maju.

Di antara data-data yang boleh ditekuni dalam konteks pembangunan sosial ialah seperti kesuburan wanita di Malaysia misalnya. Pada tahun 2007 kadar kesuburan jumlah bagi setiap 1000 wanita ialah 2.3 dan menurun kepada 2.1 pada tahun 2010. Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan jumlah merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan sekiranya seseorang perempuan terus hidup sehingga akhir tempoh reproduktifnya.

Dalam konteks ini, walaupun berlaku peningkatan jumlah penduduk setiap tahun namun tren pertumbuhan ini adalah perlahan berdasarkan maklumat kadar kesuburan jumlah yang diperoleh. Dalam perspektif yang berbeza ia memberi gambaran bahawa terdapat perubahan-perubahan sosial dan gaya hidup dalam masyarakat yang mencetuskan insiden ini.

Pertama, mengenai isu berkahwin lewat pada umur yang produktif yang mungkin disebabkan oleh kesedaran mengenai pendidikan tinggi semakin berkembang di kalangan masyarakat. Lazimya pelajar lepasan sekolah yang menyambung pengajian tinggi komited kepada pengajian mereka dan tidak cenderung untuk berkahwin. Namun terdapat juga sebahagian daripada pelajar-pelajar ini belajar dan berkahwin dalam masa yang sama.

Peningkatan kos sara hidup juga boleh menyebabkan individu cenderung untuk menunda perkahwinan dengan mencari pekerjaan atau mengambil masa untuk mengumpul wang bagi tujuan perkahwinan. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan seterusnya mengehadkan kelahiran anak berdasarkan faktor umur. Diakui bahawa pada hari ini kos sara hidup menyebabkan sebilangan besar masyarakat mempunyai pilihan yang terhad. Ini termasuklah pilihan tempat tinggal, pilihan pekerjaan, pilihan kenderaan dan pilihan pendidikan. Walaupun pada hakikatnya keinginan untuk berumah tangga itu wujud, kekangan yang dihadapi oleh individu menyebabkannya menangguh perkahwinan.

Kedua adalah mengenai kesediaan untuk memberi komitmen kepada orang lain. Arus kemodenan yang dibawa oleh barat terutamanya sedikit sebanyak telah diadaptasi oleh masyarakat kita. Bagi individu yang berkenaan, hubungan tanpa perkahwinan dilihat lebih selamat dan menyeronokkan kerana tiada tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mana-mana pihak dan juga bebas untuk bertukar-tukar atau mempunyai pasangan yang ramai dalam masa yang sama.

Kesan daripada kegiatan ini boleh mengundang risiko penyakit berjangkit seperti AIDS, penyakit kelamin, insiden pembuangan bayi, masalah mental dan lain-lain. Di antara akibat daripada insiden seperti ini ialah perbelanjaan sosial negara meningkat misalnya untuk mengawal penyakit berjangkit dan menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pelindungan untuk individu yang berkenaan dengan lebih banyak dan meluas. Selain itu, insiden seperti pembuangan bayi memperlihatkan betapa perasaan untuk bertanggungjawab, belas kasihan dan kemanusiaan semakin berkurang di kalangan ahli masyarakat.

Dalam konteks agama, Islam sebagai satu cara hidup memandang tinggi kepada institusi kekeluargaan. Bahkan hidup berkeluarga merupakan fitrah kejadian manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Rum yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan  kekuasaan dan rahmatNya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kebahagiaan yang pada hari ini diukur oleh kebanyakan negara harus bermula dengan institusi keluarga. Perasaan kasih sayang disemai dalam satu unit kecil iaitu keluarga boleh memberi impak kepada pembentukan masyarakat penyayang dan penuh dengan belas kasihan. Dalam konteks semasa, negara yang paling bahagia seharusnya bermula dengan negara yang menyokong institusi keluarga termasuklah dalam dasar pembangunannya dan polisi semasa.

Di antara  perkara-perkara yang boleh mengukuhkan institusi keluarga ialah memastikan keperluan asasi masyarakat dipenuhi. Ini termasuklah tempat tinggal yang sesuai bagi menjadikan rumah sebagai tempat berkasih sayang, menyemai budi dan menanam adab. Kes-kes seperti anak melarikan diri, ahli keluarga yang banyak menghabiskan masa di luar di antara sebabnya adalah berasa tempat tinggal yang didiami tidak selesa dan melemaskan.

Dalam perspektif yang berbeza, dasar pekerjaan perlu menyokong kepada pembangunan keluarga. Antara lain menggalakkan amalan penyusuan susu ibu di tempat kerja, menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak kecil di setiap tempat kerja dan menawarkan jadual bekerja anjal atau bekerja dari rumah dengan lebih meluas dengan mempertingkatkan penggunaan teknologi pada tahap maksimum.

Kebahagiaan juga dapat diperoleh menerusi kemantapan ekonomi keluarga. Tidak dinafikan wang adalah elemen penting untuk memperoleh kebahagiaan namun bukanlah secara mutlak. Malah Islam sendiri mengajak umatnya untuk mencari rezeki untuk mencapai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaanAllah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya(dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.

Sebagai salah satu unit yang paling kecil dalam negara, intsitusi keluarga merupakan agen kebahagiaan dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam rentaknya yang tersendiri. Ini adalah kerana Institusi kekeluargaan tidak hanya berkisar mengenai keseronokan dan kesenangan tetapi mengajar manusia akan sifat tanggungjawab dan saling membantu sesuai dengan kematangan yang akan dilalui mereka.

19 May 2013

Tentang Cerun - PBS Geo

http://www.scribd.com/doc/10880103/JenisJenis-Kegagalan-Cerun

05 May 2013

e-Rokok: Bukan pilihan untuk berhenti merokok

RAMAI perokok tegar mendakwa rokok elektronik atau e-rokok mampu menjadi pilihan untuk mengurangkan tabiat merokok dan sekali gus mampu membuang tabiat merokok mereka sejak bertahun-tahun lamanya.
Tetapi, tanpa disedari, sebenarnya rokok elektronik ini mengundang pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan paru-paru kepada mereka yang menggunakannya.
Berdasarkan kajian terbaharu yang dibentangkan dalam Laporan Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) mendapati e-rokok ini mampu merosakkan paru-paru.
Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.
Perkara ini juga disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa "tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai bahan gantian kepada nikotin".
Oleh itu, pihak pengeluar harus melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.
Malah, kenyataan ini juga disokong oleh Jabatan Kesihatan Kanada (2009) yang berpendapat penggunaan e-rokok tidak digalakkan kepada rakyatnya kerana mempunyai kesan negatif ke atas penggunaannya.
Kesimpulannya, pengambilan rokok elektronik sememangnya mempunyai impaknya yang tersendiri terhadap kesihatan sama dengan rokok tembakau.
Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh membantu dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. Namun, semuanya terpulang kepada diri anda sendiri, sejauh mana anda nekad untuk berhenti merokok?
Ingatlah kesihatan sangat berharga dan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.


© Utusan Melayu (M) Bhd

13 January 2013

Contoh Tajuk PBS PA

ContokTajuk Klik PBS PA 2013

Wawasan 2020 -

Wawasan 2020 -

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Cabaran utama

Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan.

Adakah matlamat menjadi negara maju dari segi ekonomi itu realistik?

Pada dekad 1960-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata sebanyak 5.1% setahun. Pertumbuhan purata ini dinaikkan menjadi 7.8% semasa dekad pertama Dasar Ekonomi Baru dalam dekad 1970-an, dan 5.9% setahun pada dekad 1980-an, akibat kemelesetan bertahun-tahun. Pertumbuhan KDNK pada 30 tahun tersebut dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata 6.3 peratus setahun, dengan kadar pada 20 tahun yang lalu merupakan 6.9 peratus setahun pada puratanya. Oleh itu, yang diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus untuk mencapai matlumat ekonomi Wawasan 2020, sesuatu matlamat yang bukannya tidak mungkin.

KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah $115 bilion, dengan sasaran kira-kira $920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun akan datang. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar), berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK Malaysia akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990.

19 October 2012

Insinerator Selamat Digunakan

Insinerator Selamat Digunakan
Ini adalah bahagian akhir daripada dua siri mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan bagi menangani pelupusan sisa pepejal negara.

Oleh Sakini Mohd Said

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Teknologi insinerator sisa pepejal telah lama diketahui kewujudannya dan cadangan pemilihan kaedah itu perlu dipertimbang sekali lagi sebelum menganggap ia membawa kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Insinerator bertindak membakar sisa di samping meminimumkan jumlah pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah. Insinerator bukanlah bermaksud untuk menggantikan tapak pelupusan sampah dengan sepenuhnya tetapi sebaliknya adalah sebagai pelengkap kepada pelupusan sisa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya ketika ditemubual Bernama berkata, "Tanggapan salah mengenai insinerator mungkin berdasarkan kepada insinerator yang terdapat pada masa dahulu.

"Kita perlu maju ke hadapan. Teknologi sudah berubah dan bertambah maju sehingga boleh menghalang pembentukan dioxin, bahan kimia (hasil daripada pembakaran sisa menerusi insinerator) yang dikatakan boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan alam sekitar dan ditentang oleh mereka yang tidak bersetuju dengan penggunaan insinerator", katanya.

Dioxin ialah racun kelas pertama, yang mendedahkan masyarakat kepada kanser.

KEBAIKAN INSINERATOR

Memandangkan isu insinerator ini boleh diperbesarkan seperti mana yang berlaku untuk projek Lynas, di Kuantan, Nadzri percaya orang ramai perlu mendapatkan penjelasan sebenar teknologi insinerator untuk menangani kebimbangan itu.

Untuk menyalahkan komuniti ini pun, adalah satu tindakan tidak wajar kerana ia berlaku ekoran ketidakfahaman mahupun kurangnya pengetahuan mereka berhubung teknologi itu.

Akan tetapi, kelantangan mereka seharusnya merujuk kepada fakta, bukti sambil melihat keberkesanan dan kejayaan beberapa buah negara maju menggunakan insinerator untuk pelupusan sisa pepejal mereka.

"Tokyo ada 21 insinerator, Singapura sebuah negara kecil pun ada lima insinerator, adakah kita dengar ramai rakyat mereka mati akibat kanser?

"Sekiranya benar teknologi ini memudaratkan, sudah pasti ramai, beratus penduduknya kena kanser, tetapi tiada pula," jelas beliau.

Sebaliknya, negara berkenaan masih mempunyai nilai pelancongan apabila tetap menjadi antara destinasi pilihan ramai. Ini membuktikan, pembinaan insinerator bukan sahaja tidak menjejaskan kesihatan malah ekonomi.

"Dengan teknologi terkini, pembentukan dioxin boleh dikawal menerusi pengawalan suhu, yakni mesti melebihi 850 darjah selsius", kata Nadzri.

DIKAWAL KETAT

Teknologi hijau itu juga akan dilengkapi dengan peralatan yang akan menyerap serta peka kepada sebarang pelepasan gas yang memudaratkan kesihatan termasuklah penghasilan dioxin.

Dikawalselia setiap masa oleh Jabatan Alam Sekitar, proses pembakaran mahupun operasi loji insinerator ini perlu mengikut garis panduan ditetapkan bagi memastikan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar terjamin dari mengenalpasti tapak sehinggalah insinerator itu siap dan diserahkan.

Insinerator berkenaan perlu memenuhi banyak syarat khas termasuk suhu pelepasan gas antara 850 hingga 1000 Celsius dan sekiranya ia melebihi tahap dibenarkan akan menyebabkan insinerator diberhentikan operasi dan langkah-langkah pembaikan akan dijalankan.

"Disebabkan itulah, hanya bahan buangan tertentu sahaja kita ambil untuk dibawa ke loji insinerator seperti sisa makanan dan komersial. Bagi sisa industri, ia masih diambil tetapi bukan daripada jenis berbahaya atau sisa terjadual yang disenaraikan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling," katanya.

"Ramai juga salah faham dan menyangkakan kalau ada insinerator tidak perlu tapak pelupusan. Sebenarnya, masih perlu kerana abu yang terhasil daripada proses pembakaran perlu dibuang ke tapak pelupusan.

"Tidak timbul kesan berganda kerana penggunaan insinerator dapat mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, sekali gus memanjangkan tempoh hayatnya," katanya.

Abu-abu atau 'bottom ash' yang terhasil hanyalah antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dibakar.



LEBIH BANYAK BAIK DARIPADA BURUK

Kebaikan di sebalik pemilihan teknologi insinerator adalah lebih banyak berbanding keburukannya.

Selain menjimatkan ruang kerana berkapasiti kecil berbanding tapak pelupusan, kawasan loji insinerator masih boleh digunakan bagi tujuan lain seperti perumahan, pertanian.

"Selepas usia tapak pelupusan habis tempoh hayatnya, ia perlu ditutup dan dicari tapak baru. Tapak ini sudah tidak boleh digunakan untuk pembangunan dan hanya boleh dijadikan sebagai taman rekreasi mahupun taman permainan.

"Berlainan dengan insinerator. Sekiranya lokasi loji itu ingin diubah, tapak asal masih boleh digunakan balik," katanya.

Istimewanya, sisa pepejal yang dibakar di insinerator juga berupaya menjana tenaga elektrik dan haba yang boleh digunakan untuk operasi loji, sekali gus mengurangkan kos pengurusannya.

Menurut laporan Lab Pengurusan Sisa Pepejal, loji insinerator di Copenhagen, Denmark, berupaya menghasilkan elektik dan haba, bersamaan dengan penggunaan 70,000 isi rumah untuk tahun 2004.

Justeru, ada munasabahnya untuk mengkategorikan insinerator sebagai antara satu teknologi hijau kerana selain menghasilkan tenaga ia juga membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar.

ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA

Merujuk kepada empat loji mini insinerator di Langkawi (Kedah), Tioman (Pahang), Pangkor (Perak) dan Cameron Highlands (Perak) yang dibina bagi mengatasi isu setempat, kata Nadzri ini menunjukkan bahawa negara sudah bersedia.

"Kita sudah bersedia. Kalau tidak, takkanlah kita bina. Cuma, yang berskala besar itu memerlukan kita mempunyai kepakaran, jadi adalah lebih baik sekiranya ia dilakukan menerusi kerjasama dengan pengusaha atau pembekal teknologi berkenaan," katanya.

Biarpun begitu, semua ini tidak akan berhasil tanpa adanya jaringan kerjasama masyarakat.

Harus diingat, kebergantungan sepenuhnya kepada tapak pelupusan tidak lagi sesuai pada masa ini, kata Nadzri mengakhiri temubual dengan Bernama.

-- BERNAMA

Insinerator Bantu Pelupusan Sisa Pepejal

Oleh Sakini Mohd Said

Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai insinerator, sebagai antara kaedah pemilihan dalam menangani pelupusan sisa pepejal negara.

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Penduduk di Malaysia menjana sisa pepejal sehingga 25,000 tan sehari dan ini bukanlah satu jumlah yang kecil!

Ditambah dengan jumlah penduduk kian meningkat, ada kemungkinan besar tapak pelupusan sebanyak 165 merangkumi lapan berstatus sanitari, tidak dapat menampung sampah yang semakin menimbun.

Untuk mencari tapak baru, mungkin ia bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik berikutan masalah kekangan tanah di samping kos pembinaan yang sangat tinggi. Bagi mendirikan tapak pelupusan berstatus sanitari adalah lebih tinggi berbanding kaedah tapak pelupusan konvensional.

Tambahan pula, kaedah tapak pelupusan hanya dapat bertahan dalam jangka masa tertentu, yakni bergantung kepada kadar penjanaan sisa pepejal setiap tahun. Kalau banyak penjanaannya, maka cepatlah tarikh hayatnya.

Melihat kebimbangan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah dengan menubuhkan Lab Pengurusan Sisa Pepejal dalam mencari kaedah terbaik.

Setelah meneliti pelbagai kaedah yang dijalankan oleh pihak lain, makmal berkenaan menjuruskan pemilihan kepada sistem loji insinerator bercirikan teknoloji hijau.

TAPAK PELUPUSAN, KESAN RUMAH HIJAU

Namun begitu, pemilihan teknologi ini sebagai kaedah alternatif pengurusan sisa pepejal turut tidak terkecuali daripada menerima bantahan.

Hanya membabitkan komuniti kecil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan kepada kepentingan alam sekitar, mereka mempertikaikan keselamatan masyarakat apabila insinerator diaplikasikan.

Berdasarkan laporan Lab itu, mendapati tapak pelupusan merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau serta penyebab kepada perubahan iklim dan pemanasan global.

Malah, dianggarkan peratusan pembebasan gas rumah hijau akan meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun 2020 dan oleh itu kaedah tapak pelupusan bukanlah satu pilihan.

Walaupun kaedah tapak pelupusan berstatus sanitari dianggap lebih mesra alam, jumlahnya adalah terhad berikutan penglibatan kos yang tinggi untuk mengada dan menguruskannya.

Dikenalpasti sebagai antara kaedah mesra alam, tapak pelupusan berstatus sanitari dilengkapi loji rawatan air larut resap (leachate) yang akan memastikan pelepasan leachate menepati standard Jabatan Alam Sekitar.

Ia juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan sampah yang dilupuskan bagi menangani masalah pemanasan global dan kejadian kebakaran.

"Tapak ini juga dilengkapi lapisan (liner) bagi menangani masalah bau serta menghalang air hujan memasuki tapak pelupusan yang boleh menambah kepada penghasilan leachate," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya kepada Bernama.

Namun, untuk menaiktarafnya kepada status sanitari, yakni tapak pelupusan lestari alam sekitar tentunya ia melibatkan kos yang tinggi. Jadi insinerator berasaskan kepada teknologi hijau mungkin jawapan kepada pengurusan sisa pepejal pada masa akan datang.

CADANGAN PENEMPATAN

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dipetik berkata tender bagi insinerator teknologi hijau itu akan dibuka pada Mac 2013 selepas kertas kerja mengenainya siap.

Untuk tujuan ini, KPKT bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan kertas kerja pembinaan tiga insinerator itu.

Menteri itu berkata, teknologi insinerator yang bercirikan teknologi hijau dirancang pembinaannya di Taman Beringin (Kuala Lumpur), Bukit Payung (Johor) manakala satu lagi sama ada di Selangor atau Melaka.

SUARA NEGATIF

Dipetik dalam satu laporan akhbar, kebimbangan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan adalah tertumpu kepada penularan bahan kimia seperti dioksin, furan dan merkuri hasil daripada pembakaran sisa menggunakan teknologi insinerator.

Dikatakan, penularan bahan kimia itu boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan bekalan makanan.

Ini disusuli pula dengan kajian impak kesihatan Greenpeace, menunjukkan risiko kematian akibat kanser paru-paru meningkat dalam kalangan penduduk di sekitar tapak pembakar sebuah perbandaran di Itali.

Bagaimanapun, kajian teliti yang dijalankan oleh Lab dan jabatan yang berkenaan mendapati bahawa insinerator teknologi hijau adalah selamat dan faedahnya adalah lebih banyak daripada yang sebaliknya.

ADAKAH PILIHAN LAIN?

Apapun, seseorang itu akan bertanya sama ada terdapat pilihan lain bagi Malaysia termasuk dengan mengaktifkan program kitar semula.

Walhal, kajian sebelum ini menunjukkan tahap pengasingan sisa di punca menerusi program kitar semula hanyalah sekadar lima peratus!

Satu peratusan sangat kecil berbanding kebergantungan kita terhadap tapak pelupusan, iaitu 95 peratus.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada konsep 3R, Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula) dalam pengurusan sisa pepejal.

"Malah, tidak ada mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang bergantung 100 peratus menerusi kaedah kitar semula," kata Nadzri kepada Bernama.

Biarpun dilihat ada 'sinar harapan' pengaktifan program kitar semula menerusi penguatkuasaan sistem pengasingan dipunca bermula 1 Sept lepas ekoran pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), namun ia tidak boleh disandarkan harapan sepenuhnya.

Hakikatnya, sistem pengasingan dipunca ataupun kitar semula, bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian ke arah pengurangan kadar penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

SUSAHNYA UBAH MINDA

Semuanya berbalik kepada minda masyarakat. Kata Nadzri, masih ada segelintir masyarakat yang acapkali mengambil mudah akan perihal berkaitan dengan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal.

"Bukan senang untuk mengubah minda masyarakat terutama yang berkaitan dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan teknologi terkini.

"Ia (ubah minda) antara cabaran terbesar dan paling susah. Contohnya, mereka kata kita tidak sediakan tong sampah kitar semula, walhal yang sebenarnya kita sudah sedia. Tetapi masyarakat (bukan semua) masih lagi mencampurkan sisa," katanya.

Begitu jugalah dalam hal mengaplikasi teknologi insinerator bagi pengurusan sisa. Negara lain seperti Denmark turut menerima bantahan pada peringkat awal.

Namun, selepas penerangan demi penerangan diberikan akhirnya insinerator bukan sahaja diterima penduduk negara itu malah ada dibina kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.

Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya hidup, 3R dan teknologi pelupusan terkini seperti insinerator.

-- BERNAMA