Followers

Carian dalam Blog ini

01 November 2010

Telefon lebih banyak dari tandas di India

MUMBAI 31 Okt. - Kehidupan tanpa sumber air bersih, bekalan elektrik yang diperoleh dari kabel-kabel haram, keadaan kotor dengan sampah-sarap yang tidak diangkut serta jalan raya yang berlopak, merupakan perkara biasa yang dihadapi penduduk di kawasan setinggan sesak Rafiq Nagar di sini, setiap hari.

Lebih memburukkan keadaan, penempatan miskin itu tidak mempunyai satu pun tandas bagi 10,000 penduduknya.

Namun, hampir setiap keluarga di setinggan itu mempunyai telefon bimbit, adakalanya sehingga tiga buah.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya 366 juta penduduk India mempunyai akses kepada tandas persendirian, sementara baki lagi 655 juta penduduk terpaksa 'membuang air' di tempat terbuka.

"Sekurang-kurangnya kena ada air paip dan sistem kumbahan. Bagaimana kita boleh bercakap tentang pembangunan jika dua perkara asas ini tidak dipenuhi?

"Bagaimana kita boleh bercakap tentang kesihatan tanpa pendidikan?," kata Anita Patil-Deshmukhl, Pengarah Eksekutif PUKAR, sebuah kumpulan yang menjalankan penyelidikan dan mendekati penduduk setinggan Mumbai.

India merupakan negara yang terkenal sebagai pusat panggilan perdagangan dunia dan sering melahirkan pakar-pakar perisian, namun ia 'lumpuh' disebabkan gejala rasuah yang berleluasa dalam kerajaan, yang gagal memberikan kemudahan-kemudahan asas.

Kadar jangkaan pertumbuhannya yang berada pada 8.5 peratus setahun, merupakan antara yang tertinggi di dunia tetapi kualiti jalan-jalan rayanya masih rendah selain gagal menawarkan penjagaan perubatan terbaik kepada pelancong Barat di hospital-hospital swasta.

Ketika berpuluh-puluh juta penduduk mendapat manfaat daripada kebangkitan ekonomi India, kebanyakannya masih tinggal di kawasan setinggan berlumpur di tempat paling miskin di dunia.

Ahli perniagaan Mukesh Ambani yang juga individu keempat terkaya dunia, baru sahaja menyiapkan pembinaan rumah mewahnya setinggi 27 tingkat dan tiga tapak pendaratan helikopter yang bernilai AS$1 bilion (RM3.2 bilion), namun para petani di India masih tinggal di gubuk buruk dan kawasan berlumpur yang dipenuhi najis lembu. - AP

No comments: