Followers

Carian dalam Blog ini

14 January 2012

Berhenti Merokok - Sukar Tapi Boleh Dilakukan

Adalah mudah untuk menyalakan rokok. Namun adalah sukar untuk menghentikan tabiat buruk itu. Foto oleh BernamaFotoOleh Melati Mohd Ariff

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk!

Pun bagi mereka yang mungkin tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil!

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian dua daripada tiga siri.



KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- "Mana boleh." "Susahlah nak berhenti." "Nanti berat badan naik." Ini antara alasan yang lazim digunakan perokok apabila dinasihatkan berhenti merokok.

Bak pepatah Melayu "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"!

Hakikatnya memang payah berhenti merokok tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pengalaman ini dikongsi beberapa pelanggan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN, Jalan Tun Razak baru-baru ini.

HABIS WANG

Lebih dua tahun berhenti merokok! Ini kejayaan perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Kali yang merokok lebih 45 tahun.

Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an mula merokok ketika berusia 25 tahun.

Pujukan rakan serumahnya untuk mencuba sebatang rokok ketika mereka bercuti ke Port Dickson akhirnya menjadikan dia seorang perokok.

Daripada beberapa batang sehari sehinggalah Kali merokok antara 50 hingga 60 batang rokok sehari sebelum dia mengambil keputusan untuk menghentikan tabiat buruknya itu.

"Mula-mula merokok, harga murah. Harga satu paket rokok 10 batang pada tahun 60an sekitar 30 hingga 40 sen sahaja. Sekarang harga satu paket 20 batang sudah naik jadi RM10," kata Kali yang kematian isteri akibat barah payu dara kira-kira 12 tahun lepas, kepada Bernama.

FAKTOR SUNYI

Kesunyian menjadikan Kali, pesara kerajaan terus merokok sehinggalah dia terasa kesempitan wang. Walaupun dia tinggal dengan anak lelaki dan menantunya, dia tidak mahu meminta wang daripada mereka.

Wang pencennya habis digunakan untuk membeli rokok. Sebulan dia membelanjakan antara RM500 dan RM600 untuk rokok sahaja.

Kesedaran untuk berhenti merokok timbul apabila Kali menyertai program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN dan kemudian menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.

Walaupun tidak menghidap penyakit kronik kecuali batuk yang teruk, Kali sudah bertekad mahu berhenti merokok.

Kali mengaku tempoh awal berhenti merokok bukanlah mudah. Dia menjadi mudah marah dan untuk menghilangkan keinginan merokok, dia makan dan makan sehingga berat badannya naik berlipat kali ganda.

"Kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN banyak tolong saya. Sudah dua tahun lebih tak hisap rokok. Saya sudah boleh kawal diri saya," katanya.

SUSAH TAPI BOLEH

Perokok tegar, Mohamad Lofti, 62, yang mula merokok pada usia 12 tahun memberitahu bahawa ketagihan merokok membuatkan dia tidak lagi puas dengan rokok-rokok biasa.

Dia beralih kepada menghisap paip atau setidak-tidaknya rokok Gudang Garam.

Lofti berkata dia pernah cuba berhenti merokok dua tahun lepas dan mengambil sejenis ubat untuk merawat ketagihan merokoknya.

Dia juga paling bersyukur sebagai orang Islam dia pasti dapat mengawal nafsu merokok.

Bagaimanapun dia yang berjaya mengawal ketagihannya sepanjang bulan puasa terpaksa akur kepada keinginan merokok apabila dia pergi menghadiri jamuan Hari Raya, dua minggu selepas berakhir bulan Ramadan.

"Anak buah semua hulur rokok. Mereka kata saya sudah hisap rokok 40 tahun, nanti saya yang susah," cerita Lofti.

Bulan Ramadan 2011, dia mencuba sekali lagi untuk berhenti merokok dan sehingga pada hari perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok, dia berjaya menahan keinginan merokoknya.

"Bukan senang untuk perokok tegar berhenti merokok. Apatah lagi saya penghisap paip. Semua bapak nikotin ada," katanya sambil diikuti deraian ketawa peserta Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

Menurut Lofti, bulan pertama adalah paling teruk bagi dirinya terutama apabila melihat orang merokok.

"Masa memandu kereta, nampak penunggang motosikal merokok, bawa kereta dekat-dekat nak ambil bau asap rokok. Sampai begitu sekali giannya.

"Ramai orang kata kalau berhenti merokok nanti berat badan naik. Memang berselera makan tapi saya kawal makan.

"Sekarang sudah lima bulan saya berhenti. Bukan mudah, kecuali anda perokok biasa," katanya sambil memberitahu langkah pertama yang diambil ialah menyorokkan paipnya.

PERLU SIFU

"Nak hisap rokok tak perlu sifu tapi kalau nak berhenti kena cari sifu," demikian kata perokok tegar Zulkiflee Mohd Ramlan, 47, yang baru dua bulan berhenti merokok.

Sifu bagi beliau ialah kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN.

Beliau yang mula merokok ketika berusia sekitar 14 tahun, menghisap rokok sehingga 40 batang sehari sebelum ini dan telah beberapa kali mencuba untuk berhenti merokok.

"Tiga tahun saya belajar untuk berhenti merokok. Setiap kali bulan puasa, saya juga cuba berhenti merokok tetapi tidak berjaya.

"Kira-kira dua bulan lepas saya berhenti, itu pun bila saya kena serangan sakit jantung dan kena buat pembedahan pintasan jantung. Doktor berani bedah kerana paru-paru saya ok.

"Cuma doktor kata, saya pesakit paling degil yang pernah dirawatnya. Kenapa? Semasa nak kena bedah, saya dibenar pulang seminggu, doktor kata jangan merokok tapi bila balik ke rumah, saya merokok balik," cerita Zulkiflee kepada Bernama.

Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 27 Sept 2011 di IJN setelah didapati tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

KERANA ANAKM

Tahu keburukan merokok, beliau mempunyai kawasan larangan merokoknya sendiri terutama untuk menjaga kesihatan keluarganya.

Beliau tidak merokok di depan anak atau dalam kereta kerana dia tidak mahu kereta berbau asap rokok.

Zulkiflee nekad berhenti merokok kerana beliau diberitahu peluang untuk berjaya tipis sekiranya beliau perlu lagi membuat pembedahan pintasan jantung.

"Saya ingat anak yang masih kecil, hendak tak nak saya mesti berhenti merokok," katanya

Zulkiflee turut berpendapat pendidikan mencegah anak daripada merokok perlu bermula dari rumah.

"Emak ayah kena main peranan. Dari rumah kena didik tapi kalau dia sudah hisap rokok, sudah lepak dengan kawan-kawan, jadi susah.

"Duit yang kita habiskan untuk beli rokok juga sepatutnya digunakan untuk membeli insurans kesihatan, itu yang terbaik," kata beliau.

TIGA KALI CUBA

Perokok tegar, M.Arumugam yang telah merokok selama 47 tahun, memberitahu Sesi Sokongan Berhenti Merokok IJN bahawa beliau baharu berhenti merokok tiga hari.

Beliau berhenti merokok apabila diserang sakit jantung pada 1994 tetapi kemudian merokok semula kerana tekanan kerja.

Pada 2000, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN kerana tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

"Enam hari saya di Unit Rawatan Intensif (ICU). Doktor kata urat darah saya macam paip berkarat, nak sambung pun susah. Pembedahan pintasan jantung mengambil masa empat jam," kata Arumugam.

Selepas pembedahan itu, beliau sekali lagi berhenti merokok tetapi hanya bertahan selama tiga bulan.

Ternyata cubaan berhenti merokok tanpa sebarang rawatan dan kaunseling adalah tidak berhasil bagi Arumugam.

Sekarang, beliau cuba sekali lagi berhenti kerana masaalah gastrik dan doktor memberitahunya penyakit itu boleh baik jika beliau berhenti merokok.

"Doktor saya juga memberitahu saya supaya mendapatkan khidmat kaunseling di Klinik Berhenti Merokok IJN," katanya.

Beliau mula dengan mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara berperingkat.

Daripada 20 batang, ia berkurangan sehingga paling rendah, enam batang rokok sehari.

Menurut Arumugam, beliau kemudian membuat keputusan untuk berhenti langsung merokok selepas pulang daripada menghadiri sebuah parti dengan kawan-kawan.

"Saya tak tahu apa yang membuatkan saya memberhentikan kereta dan buang kotak yang mengandungi rokok serta pemetik api ke dalam longkang," katanya.

JAUHI PEROKOK

Hari pertama berhenti merokok, Arumugam sudah merasa keperitannya. Bila bangun pagi, beliau teringin sangat hendak merokok.

Apa yang dilakukannya?

"Saya buat-buat sibuk. Saya bawa anjing saya berjalan-jalan dan saya juga banyak berjalan.

"Sebab saya baru berhenti merokok, saya juga tidak menghampiri mereka yang merokok sehingga saya boleh menahan diri daripada ingin merokok bila melihat orang merokok," kata Arumugam.

Keputusan beliau berhenti merokok turut mendapat sokongan jirannya, seorang anak muda yang juga perokok tegar.

"Saya beritahu dia jika dia hendak merokok jangan merokok di luar rumah di mana saya boleh nampak dia merokok.

"Anak muda itu beritahu saya dia akan menolong saya dan tidak akan merokok di luar rumah," katanya.

KURANGKAN ROKOK

Bagi Low Sam Guan, 62, beliau masih dalam proses untuk berhenti merokok.

Setakat ini beliau hanya mengurangkan bilangan rokok yang dihisap, secara perlahan-lahan sehinggalah sekarang beliau mengambil sekitar enam batang sahaja.

Mula menghisap rokok semasa berusia 17 tahun, Low sebelum ini menghisap rokok antara 40 dan 60 batang sehari.

Jika dulu beliau membeli berpaket rokok dan menghabiskan sehingga RM600 sebulan, sekarang beliau hanya membeli sebatang-sebatang sahaja.

Beliau perlu menjalani pembedahan kerana tiga saluran besar darah ke jantungnya tersumbat dan beliau berdepan dengan risiko serangan jantung yang teruk.

"Doktor tak nak bedah sebab paru-paru saya lemah," kata Low yang ditemani anak lelakinya hadir pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok.

"Anak lelaki saya tidak merokok dan dia banyak beri sokongan kepada saya untuk berhenti merokok," tambahnya, sesekali beliau terbatuk. Suaranya juga menjadi garau kerana batuk yang kuat.

Low memberitahu bahawa beliau akan terus cuba mengurangkan bilangan rokok yang diambil supaya paru-parunya menjadi kuat.

Lagi pun sekarang, katanya setelah mengambil ubat untuk merawat ketagihannya, bau rokok sudah menjadi 'tidak sedap'.

Low mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk betul-betul bebas rokok tetapi sekurang-kurangnya beliau sudah mengambil langkah pertama dengan mengurangkan bilangan rokok yang dihisapnya.

Kesungguhan itu juga terbukti dengan mengikuti program Klinik Berhenti Merokok IJN dan hadir di Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan setiap dua bulan sekali.

Bagaimana pula dengan anda di luar sana yang masih tegar merokok?

Apakah anda mampu melakukan seperti yang dilakukan Kali, Lofti, Zulkiflee dan Arumugam?

Atau setidak-tidaknya seperti Low.

Anda mungkin beranggapan anda tidak mampu melakukannya tetapi orang tua-tua ada berpesan "Di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan!"

-- BERNAMA

No comments: