Followers

Carian dalam Blog ini

14 January 2012

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rokok: Usah Biar Diri Terjerat

Rencana tiga siri ini membincangkan isu merokok yang semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan.

Ini adalah bahagian pertama daripada tiga siri

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Lazimnya tabiat ini bermula secara suka-suka. Lihat kawan buat, dia pun mahu mencuba. Kawan merokok, dia pun teringin merokok.

Kalau pun ada yang tidak mahu, pengaruh kuat rakan sebaya akhirnya menjeratnya kepada perangkap rokok.

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai DJ hanya mula merokok ketika dia melangkahkan kaki belajar di menara gading.

"Cuma dua hari sahaja saya merokok kerana saya terlalu teringatkan kata-kata ayah saya supaya jangan sekali-kali merokok," dia memberitahu Bernama.

Ayah DJ, seorang perokok tegar sehinggakan kahaknya bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.



Merokok sehingga 40 batang sehari, ayah DJ pada penghujung usia 60-an menderita serangan sakit ahmar dan paru-parunya turut rosak.



MEROKOK PADA USIA MUDA

Ada juga yang merokok pada awal usia belasan tahun. Kaki baru melangkah ke sekolah menengah rendah, sudah mula suka bau wangi asap rokok.

Lazimnya mereka yang mencuba sekali, meskipun ada yang terbatuk-batuk menyedut asap rokok, tidak akan berhenti dengan hembusan asap rokok yang pertama.

Merokok boleh menyebabkan ketagihan! Menurut laman sesawang "Info Sihat" Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini kerana tembakau dilaporkan mengandungi sejenis bahan penyebab ketagihan dipanggil nikotin.

Nikotin dilaporkan menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh dadah kokain dan heroin!

Terperangkap dengan ketagihan, akhirnya bukan sahaja duit belanja sekolah habis digunakan untuk membeli rokok malah ada juga yang berani ponteng sekolah untuk melepas gian kerana tidak boleh merokok di sekolah.

Tidak cukup dengan wang saku sekolah, ada juga yang mula menjadi pandai mengebas duit ibu bapa sendiri.

Kalau pun tidak bergelumang dengan tabiat buruk mencuri, sesetengahnya mula menipu orang tua meminta wang dengan mencipta pelbagai alasan, asalkan dapat menampung belanja membeli rokok.



TIDAK KISAH

Melepak di kafe siber, warung, perhentian bas atau pusat membeli-belah, anak-anak ini tidak segan silu menghembus asap rokok, sebatang lepas sebatang dalam masih berpakaian seragam sekolah!

Malah tidak kurang juga perokok-perokok ini yang kemudian dilaporkan terlibat dengan jenayah juvana dan penyalahgunaan dadah!

Bekas pesalah juvana, Paul (bukan nama sebenar) mengakui dia menjadi liar dan kerap ponteng sekolah kerana ketagih merokok.

Masalah hidup Paul bermula ketika dia masuk ke sekolah menengah rendah apabila dia terpengaruh dengan ajakan kawan untuk mencuba merokok.

Bermula dengan suka-suka akhirnya ketagih. Itu yang berlaku kepada Paul. Dia mula menjadi malas ke sekolah, melepak dan menipu orang tua sehingga akhirnya terpaksa menghabiskan usia mudanya di penjara atas kesalahan mengedar dadah.

Merengkok di penjara selama lima tahun menjadikan anak muda ini menanam azam untuk memilih jalan hidup yang lurus setelah dibebaskan.



FAKTA PEROKOK

Menurut laman sesawang 'infosihat' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan sekitar 1.15 bilion.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Lebih kurang 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit.

Info Sihat menyebut dalam kalangan remaja di seluruh dunia yang berumur antara 13 dan 15 tahun, dianggarkan seorang daripada lima adalah perokok.

Secara kasar, 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari dan separuh daripada jumlah itu di negara-negara Asia.

Info Sihat turut memetik kajian yang dijalan di Amerika Syarikat mendapati kecenderungan kanak-kanak yang merokok untuk menjadi penagih dadah adalah 13 kali ganda berbanding kanak-kanak yang tidak kerap merokok!



PEROKOK MALAYSIA

Fakta sepintas lalu Info Sihat mengenai senario dan tabiat merokok di Malaysia pula antaranya menunjukkan hampir separuh daripada lelaki Malaysia merokok!

Golongan remaja nampaknya tidak terlepas daripada perangkap merokok di mana setiap hari dilaporkan sekitar 45 hingga 50 remaja bawah umur 18 tahun mula merokok.

Statistik bilangan remaja perempuan yang merokok juga dilaporkan semakin meningkat.

Dua kajian ke atas remaja yang dijalankan, masing-masing pada 2000 dan 2004 menunjukkan bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat dari 4 peratus hingga 8 peratus.

Kajian 2004 menunjukkan secara keseluruhannya hampir seorang daripada lima remaja adalah perokok.

Kes kanser paru-paru dalam negara juga dilapor bertambah dengan kadar 17 peratus setahun dan tabiat merokok juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).

Infosihat menyebut bahawa berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ke-2 yang dijalankan KKM pada 1996, tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang setahun!

Sementara itu, lebih lima juta perokok tegar negara ini dilapor membelanjakan sekitar RM15 juta sehari untuk membeli rokok.

Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkifli Ahmad baru-baru ini dipetik sebagai berkata jumlah itu termasuk mereka yang merokok dari bangku sekolah lagi.

Beliau memberikan fakta itu ketika menyampaikan syarahan umum sempena pelantikannya sebagai profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986.



BANYAK PENYAKIT

Asap rokok yang mungkin tampak seakan-akan berwarna putih sebenarnya tidaklah sebersih sebagaimana yang lazimnya dikaitkan dengan warna putih.

Hakikatnya asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membunuh!

Infosihat memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata tembakau adalah penyebab paling utama kematian di seluruh dunia di mana tabiat merokok dilaporkan boleh membunuh satu bilion orang dalam abad ini.

Menurut infosihat KKM, terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau di mana 2,000 daripadanya adalah toksik dan 63 karsinogenik.

Separuh daripada perokok jangka masa panjang diuar-uarkan akan mati akibat penggunaan tembakau yang antaranya menyebabkan kanser paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik serta penyakit jantung.

Secara puratanya juga, hayat seseorang itu akan menjadi pendek lima minit bagi setiap batang rokok yang dihisap!



Fakta Infosihat turut memaparkan bahawa 30 peratus daripada semua kematian berkaitan kanser berpunca daripada tabiat merokok.

Di samping itu, 90 peratus daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah juga kerana tabiat merokok!



KEMPEN DEMI KEMPEN

Kalau hendak diikutkan bahaya merokok ini sudah lama dibincangkan sehingga mungkin ada yang sudah lali mendengar atau membaca sehingga menjadi anggota masyarakat yang langsung tidak kisah dan tidak peduli!

Kerajaan pula bukan tidak peka dengan gejala serta budaya merokok yang semakin menular dalam kalangan masyakarat negara ini.

Malah bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk menanam sikap benci kepada rokok, umpamanya menerusi Kempen 'Tak Nak Merokok'.

Pelbagai jenis media digunakan. Bermacam jenis strategi juga disusun termasuk memaparkan gambar-gambar yang 'mengerikan' di kotak-kotak rokok yang menunjukkan kesan buruk rokok kepada perokok!

Usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat negara ini supaya memberhentikan tabiat buruk merokok dilapor melibatkan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit!

"Walaupun kerajaan menjalankan kempen antimerokok, namun ia masih gagal membendung tabiat merokok ini.



"Bagaimanapun, saya berharap Kementerian Kesihatan akan meneruskan kempen ini meskipun kesannya yang tidak memberangsangkan," Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu Bernama.



Usaha itu, katanya, perlu diteruskan memandangkan syarikat-syarikat rokok secara agresif menjalankan kempen merokok terutama dalam kalangan golongan remaja.



"Ini dapat dilihat dengan penglibatan syarikat rokok dalam pelbagai pesta yang melibatkan golongan remaja," tambahnya yang juga berharap agar Kementerian Kesihatan terus menguatkuasakan larangan merokok di zon-zon yang ditetapkan.

Sehingga kini sebanyak 21 premis telah dikenal pasti sebagai zon larangan merokok.

Antaranya ialah hospital/klinik, lapangan terbang, lif serta tandas awam, restoran berhawa dingin, pengangkutan awam, premis kerajaan, institut pendidikan, stesen petrol, kafe internet, pusat membeli-belah di samping ruangan pejabat swasta dengan sistem pendingin hawa yang berpusat.



TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Beban menyedarkan rakyat tentang bahaya merokok sewajarnya bukan sahaja digalas kerajaan.

Mohd Yusof berpandangan pelbagai pihak perlu 'turun padang' dengan melaksanakan kempen kesedaran anti merokok.

Fomca sendiri, katanya, pernah mengadakan kempen anti merokok pada tahun 1990-an.

"Meskipun pihak kami tidak lagi mengadakan kempen itu, namun Fomca masih memperkatakan amalan gaya hidup sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan terutama amalan merokok yang memudaratkan kesihatan," jelasnya.



Menurut beliau, pihak sekolah turut berperanan penting dalam membanteras budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah.

"Walaupun pelajar menghisap rokok di luar kawasan sekolah, tindakan disiplin juga perlu dikenakan kepada mereka terutama melalui peranan penguatkuasaan agensi seperti polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Kerajaan juga perlu menghadkan umur mereka yang dibenar merokok agar mereka yang di bawah umur yang ditetapkan itu boleh dikenakan tindakan jika melanggar peraturan," katanya.

Mohd Yusof lalu menasihatkan golongan remaja, terutama yang ingin mencuba, agar tidak meneruskan hasrat itu.

"Selain daripada perbuatan itu membazir, ia boleh menyebabkan masalah ketagihan yang sukar diatasi.

"Hanya mereka yang menghidap penyakit atau mempunyai keazaman yang tinggi sahaja mampu menghilangkan ketagihan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: