| Abu Bakar Bin Yang Fellow 17/06/2011 | Utusan Malaysia |
Apabila kita berbicara mengenai pembangunan manusia kini, kita akan menjadi bingung buat seketika kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut semuanya ada dalam pembangunan masa kini. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu. Mengapakah boleh terjadi yang sedemikian sedangkan Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Begitu juga, Islam adalah satu cara hidup yang kukuh lengkap dengan teori dan praktiknya sama ada di bidang kerohanian maupun di bidang fizikal dan pembangunan. Sebabnya banyak dan telah banyak diperkatakan oleh orang sejak kebelakangan ini. Cuma dalam kesempatan ini ingin diajukan satu perkara pokok yang menjadi faktor utama, iaitu manusia kini sudah melupakan Allah, yang merupakan Tuhan sekelian alam. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, lupa akan fungsi dan fitrah dirinya, maka akhirnya lupa akan amanah yang dipikulkan ke atasnya. Dalam keadaan masyarakat kini, tahap melupakan Tuhan juga mempunyai beberapa peringkatnya yang tersendiri. Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak sedar menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Tidak kurang juga yang hanya meletakkan Allah hanya pada nama tetapi amalannya jauh terpesong dari landasan sebenar Islam. Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Bertitik tolak dari sini, maka segala yang memiliki nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, akhlak dan nilai-nilai murni yang berpandukan agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan yang penting dalam dunia perdagangan, dunia seni, dunia hiburan, dunia politik, dunia pendidikan, dan segala bentuk keduniaan yang membentuk kehidupan manusia itu sendiri. Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup mereka sendiri. Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan. Sesungguhnya bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini. Antara sebab lain yang turut membawa kepada keadaan melupakan Allah ini ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu. Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh Islam. Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia. Memang ada benarnya apa yang telah dinyatakan oleh Bertrand Russel, bahawa ilmu yang dibangun dan dikembangkan di dunia sekarang telah berjaya menghasilkan a lost man bukannya a better man. Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya. Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil kisah sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara seagamanya dengannya. Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada Kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertaqwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan kepada ilmu. Perbincangan mengenai ilmu yang baik dianggap tasbih, mempelajarinya dianggap ibadah, mengajarnya dikira sebagai sedekah, mempelajari dan mendalaminya pula dianggap satu jihad. Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang. Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ianya lebih meruntuhkan dan membahayakan manusia dan dunia. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikuathiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan. |
Followers
Carian dalam Blog ini
24 June 2011
Lupa Tuhan Mengundang Bencana
07 June 2011
Senjata Nuklear Ancaman Besar Kepada Dunia
| Suzalie Bin Mohamad Fellow 09/05/2011 | Artikel Bahasa Malaysia |
Bom nuklear pertama kali digunakan semasa Perang Dunia II di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada tahun 1945. Lebih 70,000 orang di Hiroshima dan 40,000nya di Nagasaki terkorban serta merta dalam peristiwa tersebut. Menurut kronologi kajian berkaitan senjata nuklear, pembuatan bom nuklear sudah bermula seawal tahun 1938 lagi. Penemuan ini mendorong penyelidikan senjata nuklear semakin rancak apabila bahan radioaktif seperti uranium ditemui oleh Marie Curie. Bermula dari penemuan ini, ia menjadi realiti setelah penemuan dan persamaan yang dihasilkan oleh Einstein berjaya dipraktikkan.
Ukuran pencapaian dalam bidang sains dan teknologi termasuk teknologi nuklear yang telah mengkategorikan negara di dunia ini kepada negara sedang membangun dan mundur. Justeru itu, kita menyaksikan sains dan teknologi nuklear menjadi wahana kepada sesetengah negara untuk menunjukkan kekuatan sehingga menekan negara-negara kecil yang dianggap lemah kerana terkebelakang dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Model pembangunan Barat yang diasaskan kepada sains dan teknologi itu telah menjadi mekanisme paling berkesan untuk mengekalkan atau mengembangkan dominasi Barat ke seluruh dunia. Lima negara kuasa utama nuklear yang diiktiraf iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat telah memiliki kemudahan simulasi ujian letupan nuklear, mereka boleh terus mengeluarkan senjata tersebut dengan melakukan ujian di dalam makmal tanpa melanggari perjanjian yang telah ditandatangani iaitu Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBT) dan Perjanjian Prolifirasi Nuklear (NPT). Menurut The World Nuklear Handbook (1988), terdapat kira-kira 50,000 senjata nuklear di seluruh dunia dan sebahagian besarnya dimiliki oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet Union (Russia), sementara selebihnya terdapat di United Kingdom, Peranchis dan China. Teknologi nuklear mencakupi agenda strategik global untuk mengusai politik antarabangsa. Dari sudut politik, penemuan teknologi nuklear telkah melakar konsep seperti pertahanan rintang, kemusnahan pasti bersama (MAD) perlumbaan senjata, kawalan senjata dan perlucutan senjata sebahagian besarnya berpunca dari teknologi ini. Kesan ini kekal sebagai kesan penting sehingga ke hari ini yang mana senjata nuklear mendominasi strategik global kuasa-kuasa besar dunia untuk mengawal keseimbangan politik antarabangsa. Perkembangan teknologi persenjataan nuklear telah mendorong negara-negara maju mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa dominan dunia. Negara yang bercita-cita menjadi kuasa utama dan mengekalkan statusnya, perlu mempunyai keupayaan untuk bertanding dan menjadi jaguh dalam mengamalkan pembaharuan dalam teknologi pertahanan berasaskan nuklear. Pembangunan senjata nuklear menjadi lebih rancak bila berlakunya perlumbaan dan permusuhan antara negara-negara. Negara yang telahpun mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah negara yang memliki senjata nuklear akan terus melakukan penerokaan baru untuk mencanggihkan penemuan lama. Negara-negara ini akan berada dalam situasi berlumba-lumba bagi mengekalkan keupayaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan kontroversi yang memungkinkan perang nuklear apabila keseimbangan sudah tidak dapat dikawal lagi. Penularan dan penjualan teknologi pertahanan berasaskan nuklear merupakan satu fenomena masa kini dalam industri ketenteraan. Ia disebabkan oleh keupayaan senjata nuklear berbanding senjata konvensional. Penularan atau prolifirasi senjata nuklear boleh berlaku apabila sebuah negara yang asalnya tidak memliki senjata ini mendapat atau membangunkan teknologi ini secara rasmi ataupun tidak. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan di mana sebuah negara memiliki senjata tersebut dan menyimpannya di luar pangkalan persempadanan negara seperti kedudukan senjata nuklear milik Amerika Syarikat yang terletak di Eropah Barat dan juga Asia Timur. Prolifirasi teknologi nuklear perlu dikawal dengan sebaik mungkin kerana dibimbangi teknologi persenjataan nuklear disalahguankan oleh-oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Amaran ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ruum ayat 41 yang berbunyi "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". Dalam logika peperangan, konsep cegah rintang menjadi begitu popular semasa Perang Dingin berlaku antara Amerika dan sekutunya dan Russia. Pertembungan kuasa dwipolar antara kedua-duanya telah mencetuskan keadaan cegah rintang (deterance). Istilah ini menjadi sangat penting di awal era senjata nuklear, idea bahawa kekuatan yang kukuh akan menghalang musuh daripada menyerang telah mempengaruhi pertumbuhan teknologi persenjataan berasaskan tenaga nuklear. Namun apabila dua buah negara mempunyai kekuatan yang hampir sama, berlaku satu keadaan genting di mana persepsi dan perasaan takut wujud sekiranya berlaku perang maka kemusnahan itu pasti merugikan kedua-dua pihak. Keadaan cegah rintang di zaman Perang Dingin memperlihatkan bahawa kedua-dua buah negara antara Amerika dan Rusia, saling berlumba-lumba untuk menghasilkan senjata yang lebih hebat. Ditambah pula dengan kepesatan pertumbuhan bidang teknologi dan kepakaran tertentu dalam bidang nuklear telah menyebabkan pembangunan teknologi tersebut tidak dapat dielakkan. Selain dalam Perang Dingin, keadaan cegah rintang ini juga wujud antara negara Pakistan dan India sekarang ini. Dalam persaingan ini, Pakistan perlu memiliki senjata nuklear setelah India memilikinya. Pakistan perlu mengambil tindakbalas tersebut untuk menyahut cabaran yang mungkin ditempuhinya. Apa yang berlaku seterusnya ialah senjata nuklear dan status kuasa nuklear ini menjadi penyebab atau halangan kepada kedua-dua negara ini untuk terlibat dalam peperangan besar-besaran sesama mereka. Namun wujud masalah di mana kedua-dua negara terus menjalankan pembangunan nuklear untuk mencapai keseimbangan. Ini dapat dilihat di mana India dan Pakistan berjaya membangunkan peluru berpandu masing-masing iaitu Pritvi milik India yang mempunyai jarak 150-250 km, manakala Pakistan mempunyai peluru berpandu Ghauri dan peluru Ghaznavi yang sangat berkesan untuk menghalang India dari bersikap lebih berani dan agresif daripada menyerang Pakistan dan wilayah-wilayahnya. Pembangunan teknologi nuklear memang tidak dapat dielakkan terutama sekali dalam kalangan negara kuasa nuklear. Mereka sentiasa mempunyai perasaan curiga, persepsi dan perasan terancam serta berada dalam keadaan dilemma. Kuasa ketenteraan terbesar seperti Amerika Syarikat serta lain-lain negara nuklear sepatutnya terlebih dahulu mengambil langkah awal untuk melucutkan atau melupuskan senjata nuklearnya sebelum mendesak negara-negara lain berbuat demikian sekiranya keamanan dunia ingin dicapai. Mereka menghalang pembangunan dan ujian teknologi nuklear yang dilakukan India dan Pakistan dengan memberi alasan bahawa kedua-dua negara itu miskin dan perlu menggunakan sumber domestik mereka untuk pembangunan rakyat bukannya kepada pembangunan persenjataan nuklear, sedangkan negara Perancia dan China mengadakan ujian nuklear sesuka hati tanpa mendapat sebarang tekanan yang kuat daripada Amerika atau badan-badan dunia yang bertanggungjawab menghalang pembangunan teknologi nuklear secara haram. Keadaan ini menyebabkan ketidak-seimbangan kerana seolah-olah negara Perancis dan China dan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhak menjadi kuasa nuklear. Walau bagaimanapun, manusia nampaknya tidak pernah merasa puas dan belajar daripada keterlanjuran yang pernah berlaku yang menyebabkan jutaan manusia menjadi korban akibat ledakan bom nuklear, apatah lagi sekiranya berlaku peperangan nuklear. Oleh itu masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin-pemimpin dunia harus bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mendesak semua kerajaan mengharamkan peperangan dan mengheret pemimpin-pemimpin yang gila berperang ke mahkamah keadilan jenayah perang antarabangsa. Sekiranya kita tidak memulai langkah ini, satu hari nanti pasti perang nuklear akan berlaku yang akan memusnahkan kehidupan manusia di muka bumi ini. Rasullullah ada bersabda memperingati kita supaya jangan mensia-siakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan hadis berbunyi “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab, apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” |
26 May 2011
Islam dan Alam Sekitar
| Abu Bakar Bin Yang Fellow 23/05/2011 | Artikel Bahasa Malaysia |
Krisis yang berkaitan dengan alam sekitar telah lama diperkatakan, dan perhatian yang diberikan terhadap krisis ini kelihatannya lebih serius sejak beberapa dekad yang lalu. Masalah yang berkaitan dengan alam sekitar seperti pencemaran air, udara dan tanah serta eksploitasi yang keterlaluan terhadap sumber bumi telah mengakibatkan ketidakseimbangan terhadap alam yang kita diami ini, sehingga permasalahan ini bukan lagi terbatas kepada perbincangan akademik di kalangan para sarjana dan pencinta alam sahaja, namun ianya juga telah melibatkan golongan politik, korporat, saintis, teknologis, idealis, aktivis masyarakat dan sebagainya. Sesungguhnya isu alam sekitar telah menjadi agenda penting sepanjang beberapa dekad yang lalu dan akan terus menjadi isu utama kehidupan manusia. Pada hakikatnya, alam sekitar dan permasalahannya telah menghasilkan bidangnya yang tersendiri, terutamanya perbahasan-perbahasan yang cuba mencungkil sebab musabab terjadinya masalah ini, dan tidak kurang juga usaha-usaha untuk memberikan penyelesaian terhadap kemelut yang nampaknya masih kabur dan belum ada jalan keluar. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis alam sekitar ini, hampir setiap negara di dunia telah mengambil inisiatif untuk menanganinya seperti membentuk jabatan atau kementerian yang berkaitan dengan alam sekitar, dan begitu juga kerjasama yang telah diwujudkan sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa yang kesemuanya terarah untuk membaik pulih alam sekitar yang sudah parah tercemar. Namun demikian, perbahasannya di kalangan umat Islam amat terbatas biarpun Islam telah menggariskan asas yang begitu kukuh mengenai konsep Alam Tabii terutamanya menerusi sains kosmologi. Sebagai agama yang syumul dan kamil, Islam mempunyai perspektif, pendekatan dan kaedah penyelesaiannya yang tersendiri dalam menghadapi krisis alam sekitar. Perspektif Islam yang berdasarkan ajaran tawhid telah memperincikan akan kedudukan dan peranan manusia sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini. Konsep ini telah diterangkan oleh Allah s.w.t. di dalam al Quran yang maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi……” [Al Baqarah : 30] Persoalannya sekarang adakah manusia telah menjalankan peranannya sebagai khalifah yang memakmurkan bumi atau menjadi manusia tamak yang merosakkannya. Bukti jelas telah terlihat di depan mata kita betapa bumi yang kita diami sekarang ini begitu parah tercemar gara-gara kehidupan rakus khalifah yang tidak menjalankan peranannya. Dengan keadaan alam sekitar yang sedemikian, pencemaran di setiap peringkat masyarakat dan menjangkau di setiap pelosok dunia, maka pastinya sukar untuk wujud unsur-unsur yang dapat membantu membangunkan kehidupan yang harmoni, apatah lagi untuk menjadikan alam sekitar sebagai tanda-tanda kebesaran Allah, petunjuk dan sumber ilham yang dapat mendekatkan diri hamba dengan Penciptanya. Sesungguhnya Allah telah mencipta sifat manusia yang secara tabiinya begitu akrab dengan alam sekitar yang memenuhi ciri-ciri mizan (imbangan) dan tawazun (keseimbangan). Kenyataannya, keseimbangan merupakan lanjutan kepada prinsip imbangan yang menghasilkan interaksi yang harmoni antara dua entiti atau lebih yang wujud pada sesuatu ruang atau waktu. Demikianlah tabii kejadian insaniah manusia yang secara fitrahnya sentiasa mencari dan memuji Allah Yang Maha Pencipta. Jika diteliti dengan saksama, dalam pembangunan tamadun Islam, aktiviti pembangunan dilaksanakan dengan mengambilkira kewujudan sistem alam sekitar yang saling berhubungan, terutamanya antara manusia dan alam sekitar. Maka sudah tentu keseimbangan seperti ini dapat dikekalkan sekiranya aktiviti pembangunan tidak melewati batas-batas tertentu, dan sistem keseimbangan itu sendiri dibentuk menerusi unsur-unsur keharmonian, saling melengkapi, ketertiban, rasa hormat dan menyayangi. Pada hakikatnya, konsep keseimbangan alam sekitar bukanlah sesuatu yang baru kerana ianya merupakan prinsip asas sains tradisional sejak dahulu lagi. Oleh hal yang demikian, bagi umat Islam, persidangan demi persidangan yang diadakan atas nama membela dan memperjuangkan masa depan alam sekitar dianggap sesuatu yang agak menghairankan. Ini adalah kerana isu-isu alam sekitar yang hangat dibincangkan itu timbul hanya selepas keharmonian dan keseimbangan alam sekitar itu musnah dikerjakan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Walhal isu-isu yang berkaitan dengan ketamakan dan kerakusan manusia moden memunggah habis khazanah alam anugerah Tuhan jarang sekali kedengaran. Apalagi sekiranya kerakusan itu datang dengan nama-nama seperti “sains dan teknologi”, “kemajuan” dan “canggih, moden dan saintifik” atau sebagainya. |
07 May 2011
Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa?
| Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa? |
| Norkumala bt. Awang Pegawai Penyelidik IKIM 06/05/2011 | Utusan Malaysia |
Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang. Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal pada pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap? Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes? Siapakah yang harus ditunding jari ? Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-anak. Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru itu, sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan awal kanak-kanak. Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan. Akhirnya mereka gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung untuk mengambil makanan secara berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka akhirnya akan menyumbang kepada masalah obesiti. Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak. Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut. Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan sebegini memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya. Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu bapa yang menentukan corak pemakanan mereka. Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga. Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massa memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak. Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan dan kemudahdapatan snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak. Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan yang tidak berkhasiat. Ini kerana makanan ringan akan menyumbang lebih banyak kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain seperti hidangan nasi dan sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya. Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap. Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan kefahaman yang mantap tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang sihat. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri. Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes pada masa akan datang. Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk anak-anak pada hari ini bermakna kita menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini. |
18 April 2011
Bandar semakin diancam krisis air
Bandar semakin diancam krisis air
Pada penghujung 2008, dianggarkan kira-kira separuh daripada penduduk dunia iaitu lebih tiga bilion menjadi penghuni bandar.
Setiap saat, penduduk bandar bertambah dua orang. Menjelang 2050, kira-kira 70 peratus penduduk dunia akan menjadikan bandar sebagai kediaman mereka!
Anggaran PBB yang terbaru menunjukkan penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.2 bilion pada 2050.
Air dan sanitasi dilihat sebagai dua cabaran utama untuk kesinambungan hidup penempatan manusia di bandar sehingga ada pakar yang berkata bandar akan menjadi porak peranda jika tidak ada bekalan air minuman yang bersih serta sanitasi yang mencukupi.
Perangkaan PBB menunjukkan antara 1998 dan 2008, kira-kira 1.052 bilion penduduk bandar mempunyai bekalan air minuman yang semakin baik kualitinya sementara 813 juta lagi memperoleh kemudahan sanitasi.
Bagaimanapun, dalam tempoh itu, penduduk bandar melonjak kepada 1.089 bilion orang sehingga menjejaskan kemajuan yang dicapai.
Menurut data PBB itu lagi kira-kira 27 peratus daripada penduduk bandar di negara sedang membangun tidak mempunyai akses kepada air paip di rumah mereka.
TEKANAN AIR
Banyak bandar di seluruh dunia kini berdepan dengan kemelut air. Pakar-pakar berpendapat menangani masalah permintaan air yang semakin meningkat di dalam kawasan bandar adalah satu daripada isu paling mendesak abad ini. Prof Dr Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia berkata di India umpamanya, majoriti bandar di negara itu tidak mendapat bekalan air 24 jam, dengan puratanya hanya memperoleh air selama beberapa jam sehari.
"Sesetengah bandar tidak mendapat air yang mencukupi. Golongan miskin di bandar terutamanya yang tinggal di kawasan setinggan dan yang sesak dan kotor tidak mempunyai bekalan air paip.
"Mereka ini terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli air dalam botol," beliau memberitahu Bernama, dengan menambah amat bertepatan sekali untuk sambutan Hari Air Sedunia tahun ini memilih tema "Air untuk Bandar".
Menurut Dr Chan, memandangkan kemelut air pada masa ini, semakin terdapat keperluan untuk mengamalkan pengurusan permintaan air.
Ini katanya adalah untuk semua pengguna termasuk rumah kediaman, hotel, premis perniagaan, kilang, sekolah, universiti dan jabatan kerajaan.
"Jumlah air adalah terhad sejak Bumi wujud lagi, maknanya kuantitinya tidak berubah mungkin bentuknya sahaja yang berubah. Air hanya dikitar semula secara semula jadi menerusi apa yang dipanggil sebagai Kitaran Hidrologi juga dikenali sebagai kitaran air.
"Bagaimana pun bilangan penduduk terus menerus bertambah. Aktiviti pertanian dan perindustrian turut berkembang bagi menampung keperluan manusia untuk makanan serta bahan-bahan lain. Ini menjadikan bekalan air sering tidak dapat memenuhi permintaan.
"Oleh sebab itu jumlah air di masa depan (yang sama dengan apa yang ada pada hari ini) akan terpaksa dikongsi dengan orang baru (bayi yang bakal dilahirkan di masa depan) dengan orang yang ada sekarang.
"Paling getir lagi, manusia mungkin terpaksa bersaing dengan aktiviti pertanian dan perindustrian untuk bekalan air," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan untuk mewujudkan kesedaran pemuliharaan sumber air dalam kalangan orang ramai.
PERMINTAAN TINGGI
Di Malaysia, dianggarkan antara 65 hingga 70 peratus daripada 28 juta penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar dan kemelut air semakin ketara akibat permintaan tinggi untuk kegunaan domestik dan bukan domestik.
S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memberitahu Bernama kebanyakan bandar di negara ini terletak jauh dari loji perawatan air.
Sebilangan kecil sahaja bandar di Malaysia, katanya mempunyai kemudian seperti ini dan memberikan Taiping sebagai contoh.
Bagaimanapun, katanya kawasan tadahannya iaitu Bukit Larut yang terletak di tengah-tengah bandar kini diancam oleh pembangunan.
Lebih daripada 200,000 penduduk bergantung kepada sumber air ini, tambahnya. Bercakap pula mengenai Kuala Lumpur, beliau memberitahu bahawa bandar metropolitan ini bergantung sepenuhnya kepada Selangor untuk bekalan air.
"Kos membawa air terawat daripada lokasi yang jauh ke kawasan permintaan yang tinggi adalah sangat mahal. Ini disebabkan perbelanjaan modal serta operasi seperti kos tenaga, perpaipan dan buruh. Bagaimanapun di Malaysia semua kos ini disamaratakan sebagai tarif," jelas Piarapakaran.
ISU PENCEMARAN
Bagi sumber air seperti Sungai Klang yang mengalir melalui bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Puchong, Klang dan Pelabuhan Klang, airnya tidak sesuai untuk dirawat bagi sumber bekalan air.
Ini disebabkan kadar pencemaran yang tinggi yang dilepaskan oleh semua peringkat masyarakat dan industri ke dalam sungai itu. Menurut Piarapakaran, keadaan itu akan hanya memburukkan lagi masalah kekurangan sumber air.
Tambahan pula, katanya semakin banyak sungai menjadi tercemar dengan cepatnya dan dengan peningkatan ekonomi, permintaan dan populasi, bandar selalunya mengalami risiko kekurangan air dan krisis air yang lebih meruncing.
"Ini bukan sahaja disebabkan kekurangan sumber air tetapi juga margin simpanan yang tidak mencukupi bagi perawatan dan bekalan air justeru perancangan yang teliti amat penting.
"Contohnya, jika terdapat gangguan bekalan air untuk sehari dan loji perawatan hanya mempunyai lima peratus margin simpanan, adalah mustahil untuk sistem bekalan air memenuhi semua reservoir perkhidmatan, tangki simpanan dan memenuhi permintaan seharian dalam masa yang sama sebaik sahaja bekalan air pulih.
"Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengisi penuh semua tangki dan reservoir bagi menjamin bekalan air," tambahnya.
Piarapakaran memberitahu Bernama bahawa situasi seumpama itu pernah berlaku semasa penutupan Loji Semenyih pada September 2010 disebabkan pencemaran serta kerja-kerja penyelenggaraan di Pulau Pinang pada Disember 2010.
"Keadaan seperti ini akan lebih menjadi-jadi di bandar jika sistem perawatan dan bekalan air tidak mengambil kira margin simpanan yang perlu diperuntukkan.
"Untuk itu, kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah dengan mewartakan semua sungai dan lembangannya termasuk kawasan tadahan daripada ancaman pembangunan. Kawasan yang ingin dibangunkan mestilah mempunyai standard pelepasan air sisa yang lebih ketat.
"Sebarang projek baru atau industri mesti patuh kepada standard yang lebih ketat. Ini akan dapat mengurangkan tahap pencemaran. Jika kita tidak bertindak dari sekarang, kita mungkin terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk kerja pemulihan di masa depan," tegasnya.
AIR TOKSIK?
Apakah air minuman kita bertoksik?
Piarapakaran segera menjawab "Tidak".
Beliau turut berkongsi dapatan tinjauan yang dijalankan AWER baru-baru ini yang menunjukkan kebanyakan syarikat penapis air ada memasukkan bentuk maklumat atau iklan yang agak menyelirukan mengenai penapis air.
"Penapis air kini menjadi gaya hidup di bandar. Ini turut melibatkan dakwaan kesihatan, bekalan air yang bertoksik dan tenaga yang boleh diperoleh dari air. Hanya sains yang dapat membuktikan dakwaan-dakwaan itu.
"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemantauan kualiti bekalan air secara berkala. Bagaimanapun, laporan pematuhan berdasarkan pencapaian setiap negeri tidak dilaporkan untuk makluman umum," katanya.
Beliau lalu mencadangkan supaya KKM menambah persampelan rawak berbanding membuat persampelan di lokasi yang tetap yang dilaksanakan sekarang.
Tambahnya saiz persampelan juga patut memberi gambaran jumlah penduduk yang semakin meningkat.
"Ini untuk memastikan hasil yang lebih tepat berdasarkan kualiti air minuman yang diambil dari lokasi air bermeter.
"Laporan mengenai pematuhan kualiti air juga patut dihebahkan untuk makluman umum. Orang ramai boleh membuat penilaian sendiri mengenai kualiti perkhidmatan serta kemampuan operator air," katanya.
STANDARD WHO Menurut Piarapakaran, air minuman di Malaysia mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu air terawat tidak akan dibekalkan kepada pengguna sekiranya tidak sesuai untuk tujuan diminum.
Beliau turut menjelaskan bahawa operator air hanya bertanggungjawab ke atas kualiti bekalan air sehingga ke meter air untuk perumahan biasa serta meter pukal bagi bangunan bertingkat.
"Selepas lokasi-lokasi ini, kita sendiri memikul tanggungjawab sebagai pengguna," katanya.
Dalam sistem bekalan air, perpaipan yang lama serta kebocoran sememangnya menyumbang kepada kemerosotan kualiti air dan operator air bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama Piarapakaran turut memperingatkan bahawa sistem perpaipan dalaman dan tangki simpanan di rumah kediaman perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala.
"Kebanyakan kita tidak melakukannya. Untuk itu, pengguna dinasihatkan memeriksa keadaan perpaipan dalaman dan tangki simpanan di kediaman mereka sebelum memasang penapis air atau membuat aduan kepada operator air mengenai kualiti air yang rendah," katanya.
IMPAK PAIP USANG
Menurut Laporan Malaysian Water Industry Guide 2010, sejumlah 127,275 kilometer paip telah dipasang dan berfungsi di Malaysia pada 2009. Laporan yang sama merekod hanya terdapat 32,693 kilometer paip di Malaysia pada 1983.
Paip-paip itu juga perlu diganti secara berkala berdasarkan tempoh hayatnya.
"Bandar-bandar lama masih mempunyai sistem perpaipan yang sudah usang. Keadaan semakin mencabar untuk operator air menyelenggara paip-paip ini kerana faktor lokasi dan ruang yang terhad atau untuk memindahkan paip akibat pembangunan.
"Pelaburan besar diperlukan untuk melaksanakan program penggantian paip lama dan biasanya ini dibuat secara berperingkat. Paip rosak disebabkan karat, retakan dan kemalangan. Ini juga memberi impak langsung ke atas kualiti air minuman," katanya.
Kerosakan pada paip turut meningkatkan paras Air Tidak Terhasil (NRW). Menurut Malaysian Industry Guide 2010, purata NRW direkod pada 2009 ialah 36.63 peratus berbanding 36.93 peratus pada 2008.
KEHILANGAN AIR
Jumlah kehilangan air terawat akibat NRW ialah kira-kira 1.8 bilion meter padu pada 2009. Menurut Piarapakaran, berdasarkan kajian AWER, jumlah kerugian kewangan akibat NRW di Malaysia dianggarkan RM1.62 bilion pada 2008 dan RM1.64 bilion pada 2009.
Katanya, jumlah pendapatan bagi sektor perkhidmatan air pada 2009 ialah RM3.93 bilion. Ini bermakna kerugian kewangan disebabkan NRW adalah kira-kira 41.7 peratus dari jumlah pendapatan berdasarkan kajian AWER.
"Jika NRW boleh dikurangkan lagi, ini akan meningkatkan pendapatan bagi sektor perkhidmatan air dan seterusnya meningkatkan kedudukan kewangan operator air supaya operasi sektor ini lebih lestari.
"AWER juga berharap semua operator air dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan program NRW tidak menjadi terlalu mahal.
"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memainkan peranan utama dalam memastikan program NRW tidak memberi impak besar ke atas tarif. Ini hanya boleh berlaku jika operator air dikawal selia sepenuhnya.
"Pengurangan NRW serta program penggantian paip sudah tentu akan meningkatkan kualiti air dan membantu menstabilkan kadar tarif. Ini antara lain kerana pengurangan kos perawatan, peningkatan pendapatan serta pengurangan dalam kos operasi," kata Piarapakaran.
16 April 2011
Hari Bumi, di manakah kita?
Pada 22 April ini, seluruh dunia akan menyambut Hari Bumi. Tema sambutan tahun ini adalah 'Berbilion Tindakan Hijau'.
Meneliti tema itu, apa yang dimahukan sambutan kali ini ialah kempen-kempen memulihara alam sekitar dijana oleh orang ramai yang boleh dilakukan dalam berbilion cara.
Di Malaysia, ada tiga program pemuliharaan alam sekitar untuk Hari Bumi 2011 iaitu Selamatkan Air Terjun, sementara Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MeNGO) turut mengadakan Mengo Green Hunt 2011.
Selain itu, Four Starwood Hotels & Resorts di Langkawi akan mengadakan program menanam 1,000 pokok di Sungai Bukit Hantu.
Bagi saya, kebanyakan program yang diadakan itu hanyalah promosi perhubungan awam untuk selari dengan program yang dijayakan di seluruh dunia. Ia hanya program berkala dan tiada kelestarian dalam pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.
Apabila program selesai dijalankan, tidak banyak pihak mahu berusaha untuk meneruskannya supaya dapat berkekalan dan betul-betul 'menjadi'.
Apa pun, saya tidak mahu komen banyak mengenai program yang dilakukan oleh pihak korporat kerana pada saya walaupun tidak berterusan tetapi mereka tetap melakukan sesuatu yang baik dan boleh dicontohi.
Apa yang ingin saya katakan ialah usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh individu yang tidak pernah diberikan promosi oleh media.
Mereka secara senyap melakukan pemuliharaan alam sekitar dengan usaha sendiri termasuk mengeluarkan kos sendiri.
Bagi saya, mereka ini yang sepatutnya dibantu kerana tidak ramai mahu melakukan usaha murni ini dengan perbelanjaan sendiri.
Usaha yang dilakukan tanpa mahu mempopularkan diri ini perlu diberi perhatian khusus supaya ia dapat diteruskan.
Yang peliknya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, usaha murni ini dilakukan secara berterusan sehingga ada yang berjaya sampai kepada matlamatnya.
Jika mereka boleh berjaya, kenapa mereka yang mempunyai bajet tinggi dan pelbagai tajaan daripada pihak korporat tidak boleh berjaya.
Kenapa perlu dilakukan dalam masa singkat sahaja. Adakah hanya disebabkan mahu popular dalam masa singkat atau hanya mahu mendapatkan pelepasan cukai?
Jadi, sempena Hari Bumi 2011 ini, saya amat berharap bukan hanya korporat, individu juga boleh memulakan kempen pemuliharaan secara berterusan.
Lebih mudah, ia boleh dimulakan di rumah dengan menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengasingkan bahan buangan secara teratur.Mampukah kita?
14 April 2011
Bunuh Diri dan Gangguan Mental
| Khairul Azhar Bin Idris Fellow 23/02/2011 | Utusan Malaysia |
Gejala bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini didapati semakin berleluasa pada masa kini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara luar, di mana masyarakatnya sudah biasa, lali atau masak dengan kejadian seperti itu. Umpamanya, di negara China, ia merupakan sebuah negara di mana rakyatnya paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih dari 300,000 penduduk China akan membunuh diri, lebih sepuluh kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi termasuklah Jepun dan Venezuela. Gejala yang sama turut menunjukkan tren yang mengejutkan di negara ini. Data dari Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya 2 orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan, satu tren yang didapati menyamai tren bunuh diri di negara Amerika. WHO atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati pada setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3000 kejadian setiap hari. Peningkatan gejala bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan tren yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti ini. Gejala yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat di negara ini untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Memang gejala ini berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah gejala bunuh diri lebih mudah berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan mentalnya, berbanding dari individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran yang waras. Apakah bunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan untuk memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupannya sendiri sehingga menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat dari ketidakmampuan seseorang individu itu untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan yang dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan. Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan. Gejala bunuh diri juga sering berlaku di kalangan pesakit mental kronik, seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan di kalangan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Malah, di kalangan individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri mereka sendiri akibat tidak mahu berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari. Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun tren seperti ini mula dipertikaikan. Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati bahawa kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia boleh juga berlaku akibat dari faktor ketagihan dadah dan gangguan mental lain. Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berlaku adalah berpunca sebagai kesan dari penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian. Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah dari kadar yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan ada peranan terhadap kejadian bunuh diri yang tinggi di China. Ada kemungkinan ia terjadi akibat dari kesan kadar pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah atau tekanan budaya dari luar. Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal dalam menyumbang kepada kes bunuh diri. Berdasarkan kepada penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan dari tekanan atau stres dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran. Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok dalam menjalani kehidupan mereka sanggup untuk membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud atau lemah dari segi fungsinya. Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, lantas membunuh diri dilihat sebagai satu-satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada. Secara tidak langsung, ia berkaitan dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri. Selain gejala bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperolehi, atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan yang seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apa pun keadaan dan alasan, bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu dosa yang amat besar. |
23 March 2011
Pembangunan Sistem Pengangkutan Awam Secara Efektif Pulihara Alam
| Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin Pegawai Penyelidik 03/03/2011 | Artikel Bahasa Malaysia |
Usaha kerajaan untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam wajar dipuji. Ini memandangkan ia bukan sahaja untuk kemudahan dan kepentingan rakyat, tetapi juga merupakan usaha ke arah mengurangkan kadar pencemaran hasil daripada penggunaan bahan api fosil yang tinggi di dalam sektor pengangkutan di Malaysia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak zaman revolusi perindustrian pada abad ke-18 di Britain sehinggalah ke hari ini, kita banyak bergantung kepada bahan api fosil bagi menggerakkan pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi dunia. Namun demikian, kesan daripada penggunaan bahan api fosil sejak berdekad lamanya telah pun kita rasai pada hari ini. Buktinya dampak daripada penggunaan bahan api fosil yang berleluasa telah mengakibatkan berlakunya fenomena pemanasan global yang akhirnya turut mempengaruhi perubahan iklim dunia. Pernahkah kita terfikir, apakah yang bakal kita hadapi jika kita terus berada pada tahap selesa dengan hanya bergantung kepada sumber bahan api fosil semata-mata? Sedangkan sumber tersebut merupakan antara penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran yang kita hadapi pada hari ini. Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah sejauh mana tahap kesedaran masyarakat kita terhadap kepentingan teknologi hijau? Jika kita amati, pada hari ini tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi hijau masih lagi rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan. Buktinya dapat kita lihat apabila masih banyak kilang-kilang yang mengeluarkan asap hitam yang membahayakan. Begitu juga dengan penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor yang begitu membimbangkan kita. Malahan, pada hari ini kita juga menyaksikan alam semulajadi kita dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya, sungai-sungai dikotori dan pelepasan karbon ke udara dilakukan secara berleluasa dan dalam kuantiti yang besar. |