Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

10 November 2009

Khasiat dan kelebihan minyak sawit

Pancawarsa menyaksikan industri sawit di Malaysia mengalami revolusi memberangsangkan. Ia bermaksud anjakan paradigma yang dibawa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak ditubuhkan menampakkan hasilnya. Maka tidak hairanlah Malaysia pada masa kini dikenali sebagai pengeluar minyak sawit nombor satu dunia. Walaupun aliran harga komoditinya semakin meningkat, permintaannya di pasaran semakin bertambah.
Minyak Sawit adalah selamat untuk dimakan dan baik untuk kesihatan. Misalnya, minyak sawit mengandungi vitamin E (tokoferol dan tokotrienol). Vitamin E adalah antioksida yang kuat dan dapat menghapuskan radikal bebas oksigen dalam badan kita. Jadi, vitamin E dapat mencegah sel daripada cepat menjadi tua dan dirosakkan oleh proses metabolik dalam badan kita mahupun tindakan bahan toksik dari alam sekitar. Kerosakan sel badan oleh radikal bebas boleh menyebabkan kanser.
Selain itu, minyak sawit juga kaya dengan beta karotena, iaitu satu sumber bagi vitamin A. Seperti vitamin E, beta karotena juga antipengoksida. Beta karotena terbukti memainkan peranan dalam pencegahan kanser. Kajian menunjukkan kandungan asid oleic (sejenis asid lemak mono tak tepu) dalam minyak sawit dapat meningkatkan aras kolesterol yang berfaedah, iaitu kolestrol berketumpatan tinggi (HDL) dan menurunkan aras kolesterol berbahaya, iaitu kolesterol berketumpatan rendah (LDL).
Seterusnya, melalui beberapa kajian, minyak sawit dapat mengurangkan kecenderungan darah untuk membeku. Ini adalah kerana minyak sawit dapat mengawal peratusan hormon tromboksana dan prostasilin dalam darah. Pembekuan darah dalam arteri boleh menyebabkan strok dan serangan jantung.
Berbanding minyak sayuran lain, minyak sawit mempunyai daya tahan amat tinggi terhadap pengoksidaan. Kestabilan minyak sawit disebabkan komposisi asid lemaknya yang unik dan vitamin E dalamnya. Dengan ini, minyak sawit tahan lebih lama tanpa menjadi tengik berbanding minyak sayuran lain.
Tambahan pula, minyak sawit minyak masak yang ideal kerana masakan tidak akan dipengaruhi oleh rasa dan bau daripada minyak yang digunakan.
Kajian juga membuktikan pengambilan lemak melalui proses penghidrogenan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari. Sebaliknya, minyak sawit dapat digunakan dalam keadaan asalnya untuk menghasilkan produk lemak pepejal (misalnya majerin dan lemak untuk bakeri) tanpa proses penghidrogenan.
Tuntasnya, minyak sawit mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan. Oleh yang demikian, para penyelidik dan saintis perlulah lebih komited bagi menyelidik kegunaan ataupun pelbagai khasiat lain yang dapat kita manfaatkan dengan minyak sawit.

No comments: