Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

13 August 2010

Hukum mati jika sabit kesalahan buang bayi

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh.

Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam.

Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan.

“Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan ‘buang bayi’ kepada ‘pembunuhan bayi’. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Penyerahan Bantuan Khas Perbendaharaan dengan nilai bantuan RM2,657,010 kepada 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kementeriannya di sini hari ini.

Shahrizat berkata, pihaknya juga akan meminta PDRM menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kepada kes-kes tertentu supaya ibu dan bapa kepada bayi yang tidak berdosa dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, ujian DNA ini penting supaya lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya kes hamil luar nikah tidak akan dibiarkan lepas tetapi akan turut didakwa.

Beliau percaya dengan hukuman lebih keras ini dapat mengatasi gejala pembuangan bayi yang sehingga hari ini mencecah 60 kes.

Tambah beliau, sebelum ini kementerian hanya menggunakan pendekatan kebajikan yang mana ia selari dengan matlamatnya termasuk menangani isu pembuangan bayi.

“Selama enam bulan ini, kementerian melaksanakan pelbagai program termasuk ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendidik mahasiswa supaya bersama menangani gejala yang makin meruncing ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrizat meminta kerjasama NGO yang menerima bantuan kewangan supaya tidak lupa meletakkan logo dan nama kementerian yang telah membantu menjayakan program mereka.

No comments: