Followers

Carian dalam Blog ini

10 August 2010

'Laptop.pc.rasis' lebih bahaya daripada lestospirosis?

PENYAKIT kencing tikus atau leptospirosis juga dikenali sebagai sindrom weil, demam canicola, demam ladang tebu atau demam 7 hari merupakan penyakit berjangkit zoonosis yang berpunca daripada spirochaete dalam genus Leptospira yang menjejaskan manusia dan sejumlah haiwan, termasuk mamalia, burung, amfibia dan reptilia.

'Laptop.pc.rasis' pula adalah satu istilah sosial yang amat berbahaya jika menjangkiti masyarakat bertamadun unik dan majmuk seperti Malaysia.

Virus ini menular melalui hujung jari manusia. Manusia yang menyebarkan virus ini selesa menaip apa sahaja di papan kekunci gajet komputer mereka.

Soalnya, adakah pihak yang dianggap peniup wisel (whistleblower) ini sanggup bertanggungjawab terhadap setiap pernyataan menyalahkan ras/bangsa lain hanya melalui teknologi hujung jari di atas lap top (komputer riba) mahupun di papan kekunci komputer peribadi (PC).

Pada masa wujud fenomena pihak yang memperjuangkan kaum dan ras masing-masing, golongan ini tiada segan silu membuat pelbagai tuduhan melalui dunia siber.

Adakah kelompok ini sedar dari segi tanggungjawab undang-undang bahawa mereka boleh dihadapkan ke mahkamah jika fakta yang disebutkan adalah dogma dan polemik semata-mata.

Perkara yang lebih menyakitkan hati apabila ada yang menyebut tentang bangsa lain hanya kerana beranggapan negara ini tegak hanya kerana disebabkan ekonomi semata-mata sedangkan kekuatan ekonomi adalah disebabkan perpaduan nasional antara rakyat berbilang bangsa. Terutama ras majoriti yang sanggup berkongsi warisan alam dan Perlembagaan negara.

Internet dan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace dan lain-lain sepatutnya digunakan untuk mempertingkatkan perpaduan, seterusnya kegiatan ekonomi boleh dirancakkan sebagaimana lebih separuh abad yang lalu.

Dengan laman-laman sosial yang mempunyai jaringan berjuta-juta manusia, kita perlu mempergunakan dunia siber sebagai dunia sebenar. Setiap bait dan patah kata menyentuh hak-hak istimewa ras lain pasti akan menyinggung perasaan pihak tersebut. Jika tuntutan dibuat di mahkamah bersedialah untuk membayar harganya.

Istilah babi sebagai binatang yang hina dan penghinaan lain kepada sesuatu bangsa di internet sebenarnya merupakan virus blog yang bukan sahaja merosakkan nama teknologi siber malahan ia menjadi virus sosial yang masih belum disedari oleh majoriti bangsa yang disebut-sebut itu.

Bayangkan jika bangsa tersebut semua sedar dan merasakan diri mereka dihina sesuka hati dan mengambil tindakan yang bukan bersifat menjawab dengan teknologi tetapi tindakan 'fizikal,' apa akan jadi kepada kebanggaan ekonomi negara puak itu kelak.

Sepatutnya komputer riba mahupun peribadi digunakan untuk tujuan meningkatkan ekonomi melalui E-Dagang dan E-Pengetahuan bukannya mencari musuh dan membuat kecaman membuta-tuli.

Isu blogger yang menjadi blogger upahan sepatutnya tidak timbul kerana jika blogger tersebut ada rasa tanggungjawab, beliau sepatutnya berani kerana benar bukan berani kerana tiada orang yang berani menegurnya meniup wisel sesuka hati.

Sikap jalak berkokok ekor penuh najis memang ramai di kalangan puak ini. Jangan menuding jari tanpa ada bukti yang kukuh. Jangan juga lari dan bersembunyi di sebalik pokok berduri setelah menuduh itu dan ini.

Sindrom 'Laptop.pc.rasis' perlu dihentikan daripada dunia siber. Jangan menyentuh soal hak istimewa bangsa lain kerana ia ibarat memusnahkan landskap kenegaraan sesuatu negara.

Sesungguhnya dunia siber masih dianggap dunia yang begitu asing bagi orang Melayu akibat jurang digital yang tinggi. Jika pihak ini diberi kesedaran bahawa bangsa mereka dihina dengan pelbagai nama oleh puak-puak yang selesa mengetuk papan kekunci di 'lap top' dan 'pc' kita takut nanti suasana aman negara dirosakkan oleh minoriti dajal internet ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) setakat ini masih lagi memberi lampu hijau untuk golongan penyebar 'laptop.pc.rasis' ini yang lebih bahaya dari penyakit leptospirosis yang merupakan jangkitan bakteria jarang berlaku pada manusia.

Jangkitan biasanya dipindahkan kepada manusia apabila air yang dicemari dengan air kencing haiwan menyentuh bukaan pada kulit, mata, atau dengan selaput lendir. Di luar kawasan tropika, kes leptospirosis berlaku mengikut musim dan kebanyakannya berlaku sekitar bulan Ogos-September/Februari-Mac.

Namun beringatlah penyakit laptop.pc.rasis ini pula sedang berkembang sepanjang masa dalam dunia siber dan ia ibarat HIV positif yang masih belum menjadi AIDS. Jangan sampai kebebasan yang diberi kerajaan disalah guna di alam siber dengan menyentuh asas kenegaraan negara.

Mengetuk papan kekunci memang mudah, menghina juga mudah, namun apa jadi apabila semua orang Melayu bersatu setelah sedar bahawa perbuatan melampau mempersoalkan hak istimewa mereka terus diuar-uarkan. ALT+CTRL+DEL pada rasisme dan tingkatkan pratiostisme sempena merdeka.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor

No comments: