Followers

Carian dalam Blog ini

13 July 2013

PENGUKUHAN ASEAN




 ASEAN merupakan asas bagi dasar luar negara Malaysia. ASEAN juga penting dari segi geopolitik dan ekonomi berkaitan Malaysia dan kepada negara di rantau ini. Pendirian ASEAN yang menolak kekerasan dan menggalakkan penyelesaian masalah secara aman menjadi asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini. Menjelang tahun 2015, sebuah komuniti Asean akan ditubuhkan. Komuniti ini dibina berdasarkan tiga tunggak kerjasama, iaitu Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).

 ASEAN berazam untuk mempercepat pelaksanaan sepenuhnya bidang, langkah dan prinsip program Komuniti ASEAN dengan kefleksibelan yang sewajarnya selain mengenal pasti pentingnya negara anggota ASEAN mengamalkan pendekatan seimbang ke arah mencapai semua tiga tunggak Komuniti ASEAN.  Dengan Pelan Tindakan dan Protokol yang bersungguh-sungguh, ASEAN semakin menghampiri matlamatnya untuk membina Komuniti ASEAN yang mempunyai ciri interaksi dan penglibatan politik dan keselamatan yang lebih baik, pasaran tunggal dan asas pengeluaran dengan aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan modal dan buruh mahir serta masyarakat penyayang, menumpukan kepada pembangunan sosial, pendidikan dan modal insan, kesihatan awam, kebudayaan dan maklumat serta penjagaan alam sekitar.
 ASEAN mengemukakan rangka tindakan bagi tiga tunggak komuniti yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan penyelarasan dalam kalangan sektor berkaitan bagi negara anggota ASEAN. Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN digunakan oleh pemimpin ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 pada November 2007. Dua rangka tindakan lain – Rangka Tindakan Keselamatan Politik Komuniti ASEAN dan Rangka Tindakan Sosiobudaya Komuniti ASEAN telah menjalani proses pendrafan dan sedia untuk digunakan oleh pemimpin ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Thailand. Untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran serantau yang berubah dan cabaran masa depan, ASEAN mengemukakan Piagam ASEAN. Dengan Piagam ini, ASEAN akan mengalami perubahan untuk menjadi pertubuhan yang berasaskan peraturan dan bercirikan undang-undang.

 Piagam ini menekankan prinsip sama yang mengikat kesemua 10 negara anggota ASEAN, iaitu kedaulatan undang-undang, pentadbiran yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan; perkongsian komitmen dan tanggungjawab kolektif dalam mempertingkat keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau; serta mempertingkat rundingan dalam perkara yang mempengaruhi kepentingan bersama ASEAN. Isu Sebagai anggota asal ASEAN, dasar luar negara Malaysia terus menekankan kerelevanan dan kepentingan ASEAN sebagai forum dan pemangkin untuk dialog serantau. Perkongsian Dialog ASEAN, Forum Rantau ASEAN, ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur membolehkan anggotanya untuk mengajak kuasa-kuasa besar membincangkan isu penting serantau dan sejagat. 

 Dalam usaha menjadikan ASEAN pertubuhan serantau yang lebih berkesan, bersepadu, berdasarkan peraturan dan berorientasikan penduduk, negara anggota ASEAN memutuskan untuk merumuskan Piagam ASEAN yang akhirnya ditandatangani dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 di Singapura. Piagam ASEAN akan menetapkan rangka kerja institusi yang baru dan sah untuk memperbaik pelaksanaan, penyelarasan dan proses membuat keputusan. Piagam ini berkuat kuasa pada 15 Disember 2008.   

Strategi

 Dalam strategi dasar luar negara, Malaysia akan terus menegaskan komitmen dan tugasnya dalam ASEAN untuk mencapai keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini. Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan rakan negara anggota ASEAN ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2015. Dalam skala yang lebih besar, ASEAN akan menggalakkan hubungan yang lebih erat dengan kumpulan serantau lain tentang isu kepentingan dan manfaat bersama.

ASEAN SEBAGAI TONGGAK DASAR LUAR NEGARA MALAYSIA
 Di peringkat subwilayah, usaha dipertingkat untuk memperoleh manfaat daripada konsep segi tiga pertubuhan, seperti BIMP-EAGA. Usaha tersebut pastinya membolehkan kemakmuran disebarkan ke kawasan yang kurang membangun, lalu menjadikan “dasar makmurkan jiran anda” menjadi lebih bermakna.

 Di peringkat serantau, Malaysia akan terus mendesak supaya ASEAN diperkukuh menjadi kumpulan serantau. Ini termasuk memberikan sokongan kepada semua fungsi kerjasama yang berasaskan sub-serantau (contohnya Kerjasama Pembangunan Mekong ASEAN) atau yang berasaskan seluruh ASEAN, pelaksanaan AFTA secara berperingkat dan kawasan pelaburan ASEAN.

Dalam dasar luar negara Malaysia, kerjasama serantau sentiasa menjadi tumpuan utama. ASEAN terus menjadi asas dalam dasar ini. Dalam hal ini, Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara di rantau Asia Tenggara. ASEAN akan terus menjadi asas dalam dasar luar negara kita dan forum paling berpengaruh untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau melalui dialog dan kerjasama. Keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati oleh Malaysia pada hari ini sebahagian besarnya disebabkan peranan ASEAN sebagai pertubuhan yang memupuk kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan negara anggotanya.

 Selaras dengan Perjanjian Bali I dan II, usaha kita akan ditumpukan kepada mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2020 yang terdiri daripada tiga tunggak, iaitu Komuniti Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio- Budaya ASEAN. Kita akan terus memberikan tumpuan untuk mempertingkat mekanisme ASEAN, ASEAN, +3 ARF, merapatkan jurang teknologi dan pembangunan antara negara anggota ASEAN yang lama dengan yang baru serta menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan melalui diplomasi dan dialog.

Sejak penubuhannya, ASEAN telah membentuk dan memperhalus pelbagai mekanisme dan pengaturan untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan dan aktiviti usaha sama yang lain. Sebahagian besar daya tarikan ASEAN terhadap dunia luar dibina atas kejayaan ekonomi negara anggotanya dan potensi untuk terus berkembang. Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi ASEAN, seperti keganasan antarabangsa, kelembapan ekonomi, keadaan ekonomi semasa dan krisis kewangan, kejayaan kita ialah hasil daripada usaha sama yang dilaksanakan oleh ASEAN.
Selanjutnya, dalam situasi pra-perang dingin yang menyaksikan kemunculan kumpulan ekonomi serantau lain yang memberikan persaingan dan persekitaran keselamatan serantau yang tidak menentu, Malaysia percaya bahawa ASEAN yang kukuh dan berjaya bukan sahaja perlu dalam ekonomi, tetapi juga merupakan keperluan yang strategik. ASEAN makmur, utuh dan stabil dan hidup secara harmoni dengan negara jiran terdekatnya akan menjamin keselamatan seluruh rantau Asia Tenggara dan Asia Timur.

 ASEAN yang berkembang daripada negara anggota, asalnya dengan memasukkan negara Asia Tenggara yang lain memberikan sumbangan yang besar dalam membina daya pulih negara, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mempertingkat kerjasama serantau dan memastikan wujudnya keamanan dan keselamatan serantau.

 Malaysia percaya bahawa kewujudan ASEAN telah menggalakkan corak tindakan yang mengurangkan risiko keselamatan dengan meningkatkan hubungan dua hala serta menerapkan tabiat berdialog secara terbuka tentang perkara berkaitan politik dan keselamatan secara terbuka termasuk mengadakan langkah membina keyakinan. Dialog melalui proses ASEAN PMC dan Forum Serantau ASEAN (ARF), dengan ASEAN berfungsi sebagai kumpulan asas, dapat membantu mencapai matlamat tersebut.

 Malaysia berharap bahawa kewujudan awal zon yang aman bebas dan berkecuali (ZOPFAN) termasuk zon bebas senjata nuklear Asia Tenggara (SEANFWFZ) akan membantu mempertingkatkan keselamatan serantau.

Walaupun ada kritikan yang dilemparkan kepada ASEAN, ternyata bahawa kerjasama dengan negara ASEAN kini bertambah kukuh. ASEAN tidak pernah hilang kedinamikannya, daya maju dan kerelevanannya dengan kemasukan negara anggota yang baru. Sebaliknya, minat yang meningka terhadap ASEAN dan permintaan yang dibuat untuk menjadi rakan dialog sektor oleh beberapa negara Asia, Afrika dan Amerika Latin menunjukkan penghargaan tinggi yang diberikan oleh mereka kepada ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Dasar Luar Malaysia



1.         Kementerian Luar Negeri yang dikenali juga sebagai Wisma Putra diberi mandat untuk melaksanakan dasar luar negara ini mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan objektif untuk melindungi dan memajukan kepentingan negara pada peringkat antarabangsa.

2.         Dasar luar Malaysia berasaskan prinsip untuk menjalinkan hubungan erat dan baik dengan negara lain dalam komuniti negara. Malaysia akan terus menghormati hal ehwal dalaman negara lain dan menyokong dasar tidak campur tangan yang mengiktiraf kedaulatan negara lain.

3.         Sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957 sehingga kini, wawasan dasar luar kita sentiasa konsisten, iaitu untuk melindungi kepentingan negara Malaysia di samping menyumbang ke arah mewujudkan sebuah komuniti negara yang adil dan saksama. Wawasan ini dicapai dengan menegakkan kedaulatan negara dan memupuk keamanan sejagat; menjalinkan hubungan baik dengan negara asing dan melindungi kepentingan Malaysia di arena serantau dan antarabangsa. Dengan kata lain, Malaysia akan terus mengukuhkan hubungannya dengan negara lain dan pertubuhan antarabangsa, pada peringkat serantau dan antarabangsa.

4.         Selaras dengan objektif kita untuk melindungi dan memajukan kepentingan Malaysia di luar negara, Kementerian telah menubuhkan sejumlah 105 perwakilan di 83 negara dan melantik 53 Konsul Kehormat yang memberikan sokongan dan bantuan dalam memajukan kepentingan Malaysia di luar negara.

 5.         Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, dasar luar negara telah melalui beberapa fasa peralihan yang penting dengan penekanan berbeza di bawah lima Perdana Menteri terdahulu. Dasar itu banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri kebangsaan yang sudah mantap dan pucuk pimpinan politik yang silih berganti di samping oleh persekitaran serantau dan antarabangsa yang dinamik.

6.         Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengambil pendirian anti-Komunis dan pro-Barat yang jelas kerana negara menghadapi ancaman pemberontakan Komunis pada zaman itu. Dasar luar semasa zaman Tunku perlu mengambil kira pertarungan kuasa dwipolar antara dua ideologi bertentangan, iaitu demokrasi dan komunisme.

7.         Di bawah pimpinan Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak, dasar luar Malaysia mula beralih kepada prinsip berkecuali dan internasionalisme, dengan Malaysia menyertai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

 8.         Tempoh pengukuhan menyusul di bawah pimpinan Tun Hussein Onn, apabila ASEAN menjadi teras dasar luar Malaysia berikutan kejatuhan Saigon (kini Ho Chi Minh City) pada 1975, pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Asia Tenggara dan serangan ke atas Kampuchea (kini Kemboja) oleh Vietnam.

 9.         Semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri mulai 1981, Malaysia mula membuka pintunya untuk menjalinkan hubungan dengan lebih banyak negara dan menjadi simbol sebuah negara membangun yang semakin meningkat. Semasa perkhidmatan Tun Mahathir, dasar luar negara mula mengambil orientasi ekonomi yang jauh lebih ketara dalam hubungan luar negara sambil memperjuangkan hak, kepentingan serta aspirasi negara membangun. Pendekatan ini membawa kepada sokongan kuat terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, peranan lebih proaktif dalam G-77, penubuhan G-15 dan permulaan ‘Dasar Pandang ke Timur’. Peralihan ke Timur ini banyak sekali mempengaruhi pembangunan ekonomi Malaysia. Malaysia menjadi suara dunia membangun dan merupakan model ikutan bagi banyak negara membangun apabila negara ini menjadi terkenal kerana mengambil pendirian aktif di PBB dan persidangan antarabangsa yang lain. Penyertaan Malaysia dalam misi pasukan pengaman di bawah panji PBB juga membuktikan kesungguhan negara ini dalam melaksanakan kehendak masyarakat antarabangsa. Sejak 1960, Malaysia telah menghantar anggota tentera ke Republik Congo, Bosnia Herzegovina, Somalia, Sierra Leone, Namibia, Sahara Barat, Iraq, Timor Leste dan Lebanon.

 10.       Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi terus memastikan Malaysia aktif di arena antarabangsa. Semasa perkhidmatannya, Malaysia memainkan peranan utama dalam perumusan dan penerimaan Piagam ASEAN yang telah diratifikasi oleh semua negara anggota ASEAN dan seterusnya mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2008.

11.       Dalam tempoh itu, Malaysia turut aktif dalam meluaskan fokus OIC daripada menjadi sebuah organisasi yang tertumpu semata-mata kepada isu politik kepada sebuah pertubuhan yang tertumpu kepada pembangunan sosioekonomi negara-negara Islam. Konsep Islam Hadhari yang menggalakkan pendekatan pembangunan berdasarkan perspektif tamadun Islam juga diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan diterima serta diiktiraf oleh negara anggota OIC pada Sidang Kemuncak Khas OIC yang ke-3 di Mekah pada Disember 2005.

12.       Di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik dan memandang ke hadapan sambil terus berusaha untuk memudahkan kegiatan perdagangan, menarik pelaburan asing di samping memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan aman. Semasa mengambil alih teraju kerajaan pada April 2009, Perdana Menteri juga menekankan bahawa dasar luar Malaysia di bawah pentadbirannya akan banyak dicorakkan oleh konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

13.       Antara elemen utama konsep 1Malaysia ialah menyedari kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian masyarakatnya. Konsep ini menepati wawasan utama Dasar Luar Malaysia, iaitu untuk melindungi dan memajukan kepentingan negara di luar negara dan pada masa yang sama menyumbang secara bertanggungjawab dan berkesan ke arah membina sebuah dunia yang adil dan saksama. Dato’ Seri Najib percaya hubung kait antara negara-negara di dunia bermakna Malaysia akan mendapat manfaat dengan menerapkan konsep 1Malaysia dalam usahanya menjalankan diplomasi dan hubungan luar.

 14.       Sinonim dengan konsep 1Malaysia, Malaysia akan terus menjalinkan hubungan erat dengan semua negara di dunia dan akan terus bekerjasama dengan negara yang sehaluan dalam memajukan kepentingan negara.

 15.       YAB Perdana Menteri juga memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mengenal pasti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian sebagai janji komitmen Kerajaan terhadap rakyat. Selaras dengan janji ini, Kementerian telah mengenal pasti 14 Petunjuk Prestasi Utama untuk mengukur kejayaan Kementerian.

16.       NKRA Kementerian adalah seperti yang berikut:

 a.         Melindungi dan memajukan kepentingan Malaysia di peringkat bilateral, serantau dan antarabangsa menerusi diplomasi proaktif;

 b.        Merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015 menerusi Rangka Tindakan Komuniti Keselamatan Politik ASEAN, Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Rangka Tindakan Kebudayaan Sosial ASEAN;

c.         Meningkatkan kedudukan Malaysia dalam masyarakat antarabangsa terutamanya dalam kerangka 1Malaysia dalam senario geopolitik yang sentiasa berubah; dan

 d.         Menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan di dalam dan luar negara.

17.       Malaysia juga menjalinkan hubungan sangat baik dengan negara lain, di peringkat bilateral dan multilateral, melalui mekanisme serantau dan antarabangsa yang sedia ada dalam ASEAN, PBB dan pertubuhan lain yang kita anggotai.

18.       Dasar luar Malaysia distruktur berdasarkan kerangka bilateral, serantau dan multilateral yang jangkauannya seperti pola bulatan sepusat. ASEAN membentuk teras keutamaan dasar luar semasa Malaysia, memandangkan jiran kita merupakan sekutu kita yang terdekat. Melihat lebih jauh ke luar, Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam juga mementingkan perpaduan Ummah dan semangat kerjasama dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Status Malaysia sebagai sebuah negara membangun bermakna bahawa adalah mustahak untuk negara ini memainkan peranan aktif dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Kumpulan 77 (G77), Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8), Dialog Asia-Timur Tengah (AMED), Forum Kerjasama Asia Timur Jauh-Amerika Latin (FEALAC), Persatuan Pinggir Lautan Hindi bagi Kerjasama Serantau (IOR-ARC), Mesyuarat Asia Eropah (ASEM) dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Tidak kurang penting ialah penyertaan negara ini secara aktif dan berterusan dalam Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan antarabangsa yang lain.

 19.       Menerusi pertubuhan tersebut, Malaysia berusaha untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan dalam kalangan negara membangun dan dunia Islam. Malaysia juga mendukung dasar ‘Memakmurkan Jiran’ untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama ekonomi dengan negara jiran menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) dan entiti lain.

20.       Malaysia akan terus memainkan peranan penting berhubung dengan pelbagai isu multilateral yang melibatkan kepentingan kita. Antara isu itu termasuk pelucutan senjata, kempen menentang keganasan, pemerdagangan manusia, perubahan iklim dan isu alam sekitar. Selaku anggota PBB, Malaysia berpegang teguh pada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan mendukung undang-undang antarabangsa.

21.       Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi 2010 dan Pengerusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuktikan lagi imej positif Malaysia di arena antarabangsa.

 22.       Malaysia juga akan terus menjalinkan hubungan dengan negara-negara sehaluan, baik di rantau ini mahupun di luarnya bagi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan ekonominya dipelihara dan dilindungi. Malaysia akan terus mengamalkan prinsip menjalinkan hubungan dan kerjasama, bukan menyisihkan diri dan bertindak secara unilateral.

 23.       Peluang perdagangan dan pelaburan akan terus diterokai dengan rakan dagangan tradisi kita dan serentak dengan itu, perkongsian strategik untuk perdagangan dan pelaburan dijalinkan dengan negara di Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin dan bahagian lain di Asia.

24.       Dalam dekad menjelang 2020, Malaysia akan perlu menangani perubahan besar dalam persekitaran global sambil memperbaik dan menaikkan taraf situasi domestik di negara ini. Menyedari cabaran ini, adalah penting dasar luar Malaysia terus tertumpu kepada usaha melindungi kepentingan negara sambil menyumbang secara bertanggungjawab dan berkesan ke arah membina sebuah dunia yang adil dan saksama.

25.       Prinsip asas, iaitu kesamaan kedaulatan, menghormati kedaulatan wilayah satu sama lain, menyelesaikan pertikaian secara aman di samping menjalinkan hubungan saling berfaedah akan terus menjadi panduan dalam hubungan Malaysia dengan negara lain. Prinsip tersebut telah melepasi ujian zaman. Malah, dengan berpegang teguh pada prinsip itu, disokong pula dengan dasar luar yang konsisten, Malaysia mendapat imej sebagai sebuah negara berwibawa di mata masyarakat antarabangsa.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia

11 July 2013

Cabaran Ekonomi Dekad Baru

Cabaran Ekonomi Dekad Baru

MALAYSIA memasuki dekad baru bermula tahun Masihi 2010 dan tahun Hijrah 1431 dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ekoran tergugatnya sistem kewangan negara maju.

Keadaan ini diakibatkan oleh lemahnya sistem tadbir urus dan kawalan sektor bank pelaburan (investment bank) atau apa yang disebut sebagai ‘shadow banking’, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Ia juga disebabkan oleh sifat tamak haloba (greed) dan kurang berhemah (imprudences) di kalangan pihak pengurusan.

Akibatnya ekonomi Malaysia dan juga negara-negara lain terjerumus dalam keadaan pertumbuhan negatif pada tahun 2009. Kewibawaan kita untuk mengurus ekonomi negara sekali lagi diduga, selepas pengalaman pahit tahun 1997/1998.
Dalam tempoh terdekat ini, ada tiga isu utama yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan ekonomi negara. Pertama, keperluan memantapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesan daripada kemerosotan ekonomi global dalam 2009.

Kedua, usaha memantapkan kedudukan kewangan awam atau ‘public finance’ yang mengalami defisit sejak 1998. Dan ketiga, hasrat untuk merombak beberapa dasar bagi meningkatkan daya saing negara serta membolehkan usaha mencapai model pertumbuhan berasaskan pendapatan (nilai tambah) yang tinggi.

Dalam isu pertama, kita boleh menimba pengalaman dari usaha mengatasi krisis ekonomi bagi tahun 1986 dan kegawatan tahun 1997/1998. Pada tahun 1986, negara telah terjejas oleh kejatuhan harga komoditi dan kedudukan kewangan awam yang lemah. Kerajaan telah mengambil tindakan liberalisasi dan deregulasi serta mengurangkan cukai dan mengawal perbelanjaan awam bagi memperbaiki iklim pelaburan swasta. Kesannya, ekonomi tumbuh dengan sangat pesat pada kadar 8-9 peratus setahun sepanjang tempoh 1988-1997.

Semasa kegawatan tahun 1997/1998 pula, atau apa yang selalu disebut sebagai ‘East Asian financial crisis’, akibat aliran modal jangka pendek tidak terkawal (unregulated) di rantau ini serta serangan ke atas mata wang serantau dan kegiatan ‘hedge fund’, tindakan kerajaan (menerusi MTEN) untuk mengawal modal (capital control) dan penetapan mata wang (pegging of the Ringgit) serta meningkatkan permintaan agregat menerusi perbelanjaan awam dan dasar kewangan (monetary) telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. Dengan dibantu oleh kedudukan pasaran eksport yang menggalakkan pada masa itu, Malaysia telah berjaya keluar dari kegawatan ekonomi itu berasaskan kepada ‘formula’ sendiri, tanpa menggunakan preskripsi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Namun demikian, cabaran bagi mengatasi krisis ekonomi semasa (2009) menjadi lebih ketara. Kali ini, hampir seluruh ekonomi dunia, termasuk China dan India tergugat dan terperangkap dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi AS dan negara-negara maju lain, seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Dari itu, sektor eksport kurang memainkan peranan untuk memantapkan proses pemulihan ekonomi negara. Dengan demikian, kesan Pakej Rangsangan Ekonomi sepenuhnya hanya berputar dalam sektor domestik. Pasaran domestik kita pula tidak sebesar pasaran dalaman China, India dan juga Indonesia. Oleh itu, ia tidak mampu memacu pertumbuhan positif bagi tahun 2009.

Kedua, kerajaan akan berdepan dengan cabaran mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil (revenue). Kemungkinan mengawal perbelanjaan terhad kerana beberapa jenis perbelanjaan operasi adalah wajib disediakan (locked-in expenses) seperti emolumen, gaji dan elaun, geran kepada negeri-negeri (per capitation grant) dan kerajaan tempatan, bayaran hutang awam serta beberapa subsidi yang sukar dirungkai akibat penyediaannya yang sebegitu lama sehingga menjadikannya seperti satu amalan fiskal biasa.

Usaha mengurangkan subsidi-subsidi ini perlu dibuat secara komprehensif dan dilaksanakan berperingkat-peringkat kerana penghapusannya akan menyebabkan satu kerumitan. Untuk membantu masyarakat, kerajaan telah menyediakan subsidi seperti bantuan buku sekolah, biasiswa, kos perubatan di hospital dan klinik awam yang sangat rendah, serta subsidi untuk bahan api (minyak petrol dan diesel). Manakala bagi bidang industri pula, kerajaan memberi subsidi tenaga untuk industri, baja untuk pengeluaran padi dan pengecualian dan potongan cukai (sistem galakan industri) untuk sektor pembuatan.

Fikirkan bagaimana sukarnya subsidi-subsidi ini boleh dirungkai dan dikurangkan dalam masa terdekat setelah ia menjadi elemen penting dalam perkiraan cara hidup rakyat dan sistem pengeluaran negara. Namun demikian usaha mengurangkan subsidi perlu diteruskan.

Dari perspektif hasil kerajaan pula, kesungguhan kerajaan untuk mengadakan ‘Goods and Service Tax’ (GST) perlu disokong. Memang sudah sampai masanya kita mengurangkan cukai berasaskan pendapatan tetapi bergerak maju ke arah cukai berasaskan penggunaan (consumption based tax).

Sebenarnya cadangan GST ini bukan baru. Ia pernah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam ucapan Belanjawan 1987 bagi pelaksanaan tahun 1989.

Cukai GST adalah lebih cekap berbanding dengan cukai jualan dan ia kurang mempunyai unsur ‘arbitrariness’ yang terdapat dalam cukai jualan. Unsur penting dalam formula GST adalah ia jangan dikenakan kepada barangan eksport serta barangan keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. Skim ‘zero rating ' boleh dicadangkan bagi produk-produk ini.

Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kesan GST ke atas inflasi memang wujud tetapi ia hanya berlaku pada tahun pelaksanaan sahaja dan tidak selepas itu. Jika kesannya berlarutan selepas itu, ia bukan disebabkan GST tetapi kelemahan sistem pasaran sendiri akibat tiadanya undang-undang persaingan dan perdagangan adil (fair trade) di negara ini yang boleh membendung amalan perniagaan tidak beretika.

Satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan negara adalah meneruskan peringkat kedua dasar penswastaan yang meliputi inisiatif pembiayaan swasta bagi kegiatan awam yang pada ketika ini sudah boleh dilaksanakan. Bagi dasar ini, yang pentingnya segala kelemahan pelaksanaan yang lalu perlu diperbaiki.

Kawal selia yang mantap boleh menjaga kepentingan sosial, manakala pemilihan syarikat berasaskan tender terbuka mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan dan pembayar cukai.

Isu ketiga, meningkatkan daya saing dan melaksanakan pembangunan berteraskan ‘value added’ yang tinggi. Usaha ini memerlukan pengorbanan semua pihak untuk membantu melaksanakan proses transformasi sosial bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar.

Perubahan dalam sistem subsidi, sistem kawalan harga, pembaikan sistem penyampaian (delivery system), liberalisasi, peningkatan produktiviti dan kemahiran modal insan serta memperkayakan harta intelek negara adalah antara perkara-perkara pokok dan utama yang perlu dilaksanakan secara serentak dan terancang. Satu pelan tindakan perlu disediakan bagi merencanakan apa yang perlu dibuat dan diukur bagi setiap pihak.

Kita juga perlu mencari model pertumbuhan baru yang mengimbangi antara pertumbuhan pendapatan pada kadar yang tinggi dan aspek pengagihan (distribution) yang bersesuaian dengan kedudukan semasa. Dasar pengagihan perlu diteruskan kerana ia merupakan dasar jangka panjang negara yang termaktub dalam Rukun Negara (bahagian pertama) dan dalam sejarah kesefahaman antara kaum utama negara ini. Yang pentingnya pelaksanaan dasar ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Kita juga perlu merombak struktur industri perkhidmatan kepada industri yang membawa kepakaran dan kemahiran yang canggih dan tinggi (seperti R&D, designing) serta mempunyai value added yang lebih banyak untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber KDNK serta mencanggihkan struktur guna tenaga negara dan menghasilkan pendapatan per kapita yang lebih tinggi.

Keadaan dan corak industri sedia ada kurang mewujudkan kekayaan harta intelek negara. Yang demikian akan melemahkan asas jangka panjang negara dalam bidang persaingan dan keupayaan mencapai Wawasan 2020.
Cabaran-cabaran ini tidak boleh diperlekehkan. Kita perlu berfikir dan mengambil tindakan yang jitu. Kita perlu mengurangkan ‘politicking’ dan sebaliknya membantu kerajaan merencanakan pembangunan negara ke arah kestabilan ekonomi, pembangunan mapan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan generasi akan datang yang bakal berdepan dengan persaingan ketara di persada antarabangsa. Mereka memerlukan warisan daripada kita berbentuk infrastruktur, harta intelek, pengalaman, dan modal sosial untuk dimajukan seterusnya.

Untuk memastikan kejayaan mereka kelak, pembangunan modal insan sedia ada dan dasar pembangunan mapan (sustainability) serta asas-asas pertumbuhan ekonomi perlu diperkukuhkan lagi. Budaya persaingan yang sihat serta kerangka mental yang sentiasa ingin mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dan disemarakkan di bangku sekolah lagi.

Memandangkan kita telah melangkah masuk ambang dekad baru dan tahun baru, Hijrah dan Masehi, Malaysia mungkin tiada jalan lain selain menangani isu-isu di atas dengan penuh tabah dan keyakinan. Masyarakat kita perlu bersedia untuk ‘berhijrah’ kepada pendekatan pembangunan yang baru bagi pembangunan sosial yang lebih makmur, berimbang dan mapan.

Oleh:TAN SRI DR. SULAIMAN MAHBOB
Berita disunting daripada sumber : Utusan Malaysia

Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM)

Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM)

1. Perbezaan dan persaingan ideologi anatara blok barat (diketuai Amerika Syarikat) dengan blok Timur (diketuai bekas Soviet Union) mencetuskan perang dingin pada 19-50an.
2. Negara-negara baru merdeka seperti di Afrika, Asia, Amerika latin, dan karibia ingin mengelak daripada berpihak kepada mana-mana blok.
3. Negara-negara tersebut mengamalkan dasar berkecuali untuk mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan politik amsing-masing.
4. Dasar berkecuali bemaksud tidak menyertai mana-mana blok ketenteraan, atau politik, persekutuan, atau kumpulan.
5. Pada tahun 1955, 25 buah negara merdeka afro-asia mengadakan persidangan di Bnadung Indonesia yang membawa kepada penubuhan NAM.
6. NAM ditubuhkan pada tahun 1961 atas inisiatif Presiden Yugoslavia, Josip Broz Tito
7. NAM merupakan gabunagan negara negara yang tidak memihak kepada mana mana kuasa Perang Dingin.
8. Pada awal penubuhan NAM, hanya ada empat negara yang menyertainya iaitu India, Mesir, Brazil dan Republik Rakyat China.
9. Kini NAM mempunyai 116 anggota.

Mesyuarat pertama NAM;
• Diadakan di Belgrade pada September 1961 dan menyaksikan
• Melibatkan penyertaan 25 ahli, 11 daripadanya datang dari Asia dan Afrika, bersama sama Yugoslavia, Cuba dan Cyprus.
• berhasrat untuk menentang kolonisme, imperialisme dan neo-kolonialisme.

Mesyuarat berikutnya;
• Diadakan di Kaherah pada 1964.
• Disertai oleh 46 negara dengan kebanyakan ahli baru datang dari negara negara Afrika yang baru merdeka.
• Membincangkan konflik Arab-Israel dan Perang India-Pakistan.

Mesyuarat ketiga;
• Diadakan di Lusaka
• Perhimpunan yang paling penting dalam sejarah NAM
• Menubuhkan organisasi untuk membantu hubungan ekonomi dan politik.
• Kenneth Kaunda, presiden Zambia memainkan peranan yang penting dalam perhimpunan ini.

1. Pada 1973, mesyuarat diadakan di Algiers menyaksikan pergerakan ini berhadapan dengan realiti ekonomi terkini. Kejutan Minyak (Oil Shock) menyebabkan sesetengah ahli anggota lebih kaya daripada yang lain.
2. Ketika jawatan sekretariat NAM dipegang oleh Malaysia, pembaharuan yang dilakukan oleh Malaysia ialah penubuhan Majlis Perniagaan NAM.
3. Majlis ini ditubuhkan dengan tujuan mengukuhkan kerjasama selatan-selatan dan membantu perdagangan dan pelaburan antara negara anggota.
4. Majlis diketuai oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai penasihat dan Azman Hashim sebagai presiden.

10 Prinsip NAM (Dasa sila Bandung)
* Menghormati hak asasi manusia serta prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
* Menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara.
* Mengiktiraf persamaan ras dan negara samada kecil atau besar.
* Tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain.
* Menghormati hak setiap negara mempertahankan dirinya secara bersendirian atau berkumpulan selaras dengan piagam PBB.
* Tidak mengenakan tekanan terhadap negara lain.
* Mengelakkan ugutan pencerobohan atau kekerasan terhadap kedaulatan wilayah atau kebebasan politik sebarang negara.
* Menyelesaikan pertikaian antara negara dengan cara aman.
* Menggalakkan kepentingan dan kerjasama bersama.
* Menghormati keadilan dan tanggungjawab antarabangsa

Peranan Malaysia
1. Menggalakkan negara membangun terus bersuara tentang masalah yag dihadapi dan mengekallkan keamanan dunia;
2. Mengadakan diplomasi pelbagaian melalui PBB;
3. Memberi penekanan kepada isu pembangunan sosial terutama masalah kemiskinan;
4. merangsang perpaduan dan penyatuan sesama negara anggota;
5. menyertai mesyuarat NAM di Colombo, Havana, New Delhi dan Luanda;
6. Sidang kemuncak NAM diadakan di Kuala Lumpur pada 2003 dan mengisytiharkan Deklarasi Kuala Lumpur yang menggalakkan kerjasama multilateral anata negara anggota;
7. mewujudkan pejabat perwakilan di Ethiopia, India, Nigeria, Sri Lanka, Yugoslavia dan Mesir;
8. melancarkan “portal e-Sektretariat NAM 2004” yang bertindak sebagai pengkalan data;
9. Menganjurkan Mesyuarat Khas Peringkat Menteri Luar berkenaan Palestin di Putrajaya pada 13 Mei 2004 dan di Durban, Afrika Selatan pada 18 Ogos 2004;
10. menggabungkan penyataan tentan Palestin dalam dokumen Muktamad;
11. menghadiri Persidangan Afro-Asia di Bandung, Indonesia pada tahun 2005.

Deklarasi Putrajaya

1. Deklarasi ini merupakan lanjutan daripada Deklarasi Nairobi dan Deklarasi Beijing.
2. Deklarasi Putrajaya disitiharkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri (NAM) tentang kemajuan wanita dari 7-10 Mei 2010 di Kuala Lumpur.
3. Objektif Deklarasi Putrajaya
a) memperkasakan wanita
b) menggalakkan wanita melibatkan diri dalam pelbagai sektor
c) memperkukuhkan kedudukan kaum wanita.

4. Isu yang dibincangkan;
a) wanita, kemiskinan dan pembagunan ekonomi
b) wanita dalam kuasa dan membuat keputusan
c) wanita dan pendidikan
d) wanita dan kesihatan
e) wanita, media dan ICT
f) wanita dan konflik bersenjata (Palestin dan Syria)
g) keganasan terhadap wanita
h) wanita dan situasi bencana
i) kesaksamaan jantina di arus perdana.

Sumber diperoleh daripada: Buku Teks Pra-U Pengajian Am Kertas 1

AFTA

AFTA

Pengenalan

AFTA atau Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area) adalah perjanjian yang dibuat oleh Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk pengeluaran tempatan semua negara-negara yang terlibat.

Ketika perjanjian AFTA ditandatangani secara rasmi, ASEAN memiliki enam buah negara anggota iaitu, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Vietnam bergabung pada 1995, Laos dan Myanmar pada 1997 dan Kemboja (Kampuchea) pada 1999. AFTA sekarang terdiri dari sepuluh buah negara ASEAN. Keempat-empat buah negara-negara anggota baru tersebut diwajibkan menandatangani perjanjian AFTA untuk menyertai ASEAN. Namun begitu, kelonggaran waktu telah diberi untuk memenuhi kewajiban pengurangan tarif AFTA.

Tujuan Perjanjian AFTA

Antara tujuan perjanjian AFTA dibuat adalah untuk meningkatkan daya saing ASEAN sebagai pangkalan pengeluaran dalam pasaran dunia melalui penghapusan halangan tarif dan bukan tarif dalam ASEAN. Selain itu, dengan wujudnya AFTA, ia mampu menarik pelaburan asing langsung ke ASEAN. Pada masa yang sama, pengguna dapat memperoleh barang dagangan dari pengeluar yang lebih cekap di ASEAN serta mewujudkan perdagangan intra-ASEAN. Seiring dengan peningkatan persaingan harga dalam industri-industri pembuatan dan saiz pasaran yang lebih besar, pelabur-pelabur dapat menikmati pengeluaran secara besar-besaran.
Perlaksanaan AFTA

Menurut Deklarasi Singapura 1992 (28 Januari 1992), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN ditubuhkan menggunakan Skim CEPT sebagai mekanisme utama mulai 1 Januari 1993 dengan tarif istimewa asas dari 0% hingga 5% dalam linkungan masa 15 tahun. Satu Majlis yang bertaraf kabinet juga ditubuhkan untuk mengawasi, menyelaras, dan meninjau perlaksanaan Perjanjian Skim CEPT untuk AFTA.

Pada 31 Januari 2003, perjanjian AFTA dan CEPT dipinda dalam perkara yang berkaitan dengan penghapusan duti-duti import. Antara perkara-perkara yang disentuh adalah:
Duti import produk dalam Senarai-senarai Termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Philippines, Singapura, dan Thailand akan dihapuskan tidak lewat daripada 1 Januari 2010. Duti import produk dalam Senarai-senarai Termasuk Kemboja, Laos, Myanmar, dan Vietnam akan dihapuskan tidak lewat daripada 1 Januari 2015. Namun, penghapusan duti import bagi produk-produk sensitif dibenarkan tidak lewat daripada 1 Januari 2018.

ZOPFAN

ZOPFAN

Latarbelakang

Sebagai blok yang boleh disifatkan bukan komunis di Asia Tenggara, ASEAN sebenarnya lebih berpegang kepada dasar berkecuali. Malaysia telah menyarankan supaya diwujudkan 'kawasan awam, bebas dan berkecuali' (Zone of peace, Freedom and Neutrality atau ZOPFAN) telah diterima sebagai pendirian ASEAN. Konsep dan dasar ini telah diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27hb. November, 1971.
Rasional

Beberapa faktor dan peristiwa penting yang telah berlaku di Asia Tenggara telah mendorongkan timbulnya konsep ZOPFAN ini. Faktor-faktor dan peristiwa itu ialah:

(i) Kedudukan Asia Tenggara yang agak strategik kepada kuasa-kuasabesar dalam konteks ketegangan politik Timur-Barat; pergolakan politik di Vietnam serta keputusan pengunduran tentera-tentera British dari Asia Tenggara dan Amerika dari Vietnam pada awal 70an. Perkembangan-perkembangan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan negara-negara ASEAN, kerana ianya mungkin menjejaskan kestabilan serantau.

(ii) Peperangan-peperangan di Korea dan di Vietnam telah menyakinkan ASEAN bahawa campurtangan dan sokongan tentera kuasa-kuasa besar dalam pertelingkahan negara-negara kecil Asia Tenggara sering menjejaskan kestabilan di rantau ini.

(iii) Semangat 'regionalisma' masa itu telah menghasilkan pertubuhan kerjasama ekonomi serantau ASEAN yang dapat digunakan sebagai jentera untuk mencapai tujuan ZOPFAN.

Objektif

Objektif ZOPFAN adalah untuk menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali daripada pertelingkahan politik kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat, Russia dan Republik Rakyat China.
Strategi Pelaksanaan

Antara strategi-strategi utama yang telah digubal dan dilaksanakan untuk mencapai objektif tersebut adalah:-

(i) Mendapatkan persetujuan, pengiktirafan dan jaminan kuasa-kuasa besar tentang objektif atau usaha menjadikan

(ii) Mengundurkan tentera asing dari kawasan Asia Tenggara dalam jangka panjang.

(iii) Menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai kawasan yang bebas daripada senjata nuklear.

Dapat dirumuskan bahawa ZOPFAN tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kesanggupan kuasa-kuasa besar untuk mengiktiraf dan menjamin ZOPFAN dan sokongan padu kesemua anggota negara-negara ASEAN. Walau bagaimanapun, usaha ASEAN mencari penyelesaian politik di Kampuchea berdasarkan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Persidangan Antarabangsa mengenai Kampuchea (1981) mencerminkan tekad ASEAN untuk terus berusaha mencapai konsep ZOPFAN.

ASEAN

Masalah-masalah utama yang dihadapi oleh pakatan Segitiga pertumbuhan ASEAN dalam memajukan pembangunan ekonominya

- Masalah kegawatan ekonomi serantau yang menjatuhkan nilai mata wang masing-masing berbanding dengan dolar US telah menjejaskan banyak projek pembangunan di bawah segitiga pertumbuhan yang telah dipersetujui sebelumnya/Projek tergendala. Penurunan nilai mata wang negara-negara ASEAN telah menyebabkan kenaikan kos projek yang begitu mendadak. Para pelabur tempatan tidak mempunyai modal yang cukup.

-Masalah fizikal seperti bentuk muka bumi yang terlalu bergunung-ganang dan berpulau. Menimbulkan kesukaran perhubungan. Halangan fizikal menjadi masalah utama untuk pembinaan kemudahan infrastruktur sebagai asas sesuatu projek pembangunan. Misalnya bmuka bumi yang bergunung-ganang menghalang pembinaan lebuh raya Trans Borneo dalam kawasan EAGA-BIMP.

-Masalah politik ( tuntutan bertindih antara negara ) dan juga keselamatan seperti ancaman lanun dan keselamatan di sempadan. Contohnya tuntutan antara Malaysia dengan Indonesia terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan di Sabah dan ancaman lanun di Filipina. Masalah politik dan keselamatan ini terletak dalam kawasan IMS-GT.

-Masalah pasaran terhad. Saiz penduduk kecil dan kuasa beli rendah. Kebanyakan kawasan segitiga pertumbuhan mempunyai penduduk yang jarang seperti di kepulauan Borneo di samping penduduk yang miskin. Perluasan pasaran, kuasa beli dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan adalah rendah.

Di antara faedah-faedah yang di perolehi oleh Malaysia hasil penglibatannya dalam ASEAN ialah:

–Faedah daripada perluasan pasaran dan perdagangan yang dicapai menerusi Perjanjian Keutamaan Perdagangan (PTA) –barangan Malaysia boleh menembusi pasaran ASEAN dengan lebih mudah tanpa sekatan/dasar perlindungan yang ketara.
Keasan positif lebih jelas melalui AFTA.

-Faedah daripada perkongsian teknologi, R&D dan inovasi baru dalam semua bidang – perindustrian , tenaga, pertanian, perikanan, perhutanan, pengangkutan, telekomunikasi, kewangan dan lain-lain.

-Faedah daripada perkongsian modal menerusi konsep pelaburan bersama atau pelaburan silang.

-Faedah daripada kerjasama/perkongsian sumber-sumber pengeluaran seperti sumber tenaga dan sumber alam – wujud keadaan saling melengkapi.

-Faedah daripada kerjasama/perkongsian tenaga buruh dan kepakaran – kekurangan buruh di Malaysia boleh ditampung oleh penawaran buruh dari negara jiran.

-Faedah daripada kerjasama/perkongsian menjaga alam sekitar dan keselamatan serantau.

-Menikmati faedah daripada kestabilan politik serantau menerusi konsep ZOPFAN, semangat kejiranan dan dasar tidak campur tangan hal-ehwal politik dalaman negara-negara ASEAN.

Segi Tiga Pertumbuhan

Antara sebab-sebab mengapa pakatan segi tiga pertumbuhan ditubuhkan ialah:
-Untuk menpercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor di antara negara-negara ASEAN yang berjiran yang termasuk dalam kawasan segi tiga pertumbuhan tersebut. Segi tiga pertumbuhan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi ASEAN yang baru.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks pembangunan sumber alam. Kawasan segi tiga sememangnya kaya dengan sumber-sumber alam yang belum dimanfaatkan sepenuhnya seperti sumber hutan, sumber maritim, sumber tenaga, sumber air dan sebagainya.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perluasan pasaran dan perdagangan antara kawasan/intra-ASEAN. Kesan-kesan positif daripada perluasan pasaran setempat akan dinikmati bersama. Misalnya melalui kewujudan kawasan bebas cukai.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian pelaburan modal/kewangan berdasarkan prinsip perkongsian bijak yang dilakukan menerusi pelaburan bersama ataupun pelaburan silang oleh pihak swasta.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian teknologi,R&D dan inovasi baru dari negara jiran yang lebih maju ke kawasan segi tiga terbabit. Pemindahan teknologi membolehkan sumber-sumber yang ada dapat dibangunkan dengan cepat.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks pengaliran buruh dan tenaga pakar. Kekurangan buruh dan kepakaran di sesuatu kawasan segi tiga akan dapat ditampung oleh buruh dan tenaga pakar dari Negara jiran.

-Kerjasama dalam menjaga alam sekitar dan keselamatan.
Rancangan pembangunan ekonomi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di kawasan segitiga pertumbuhan

~Pembangunan sektor pelancongan.

Memajukan industri perhotelan atau memajukan sumber-sumber maritime untuk tujuan pelancongan seperti menjadikan kepulauan Riau sebagai pusat pelancongan baru di IMS-GT, Langkawi, Phuket dan Acheh ‘ Pintu Masuk Pelancong ASEAN ‘di bawah IMT-GT di samping mewujudkan kawasan bebas cukai.

~Pembangunan sektor pengangkutan.

Khususnya laluan darat udara dan air / perkapalan seperti Jalan Kereta Api Trans-Borneo di bawah EAGA-BIMP, Projek Line ke-2 Johor dengan Singapura di bawah IMS-GT dan perkhidmatan feri Langkawi-Phuket-Acheh di bawah IMG-GT. Perkembangan sistem dan jaringan pengangkutan ini menjadi pemangkin utama untuk memajukan sektor-sektor ekonomi yang lain.

~Pembangunan sistem perhutanan.

Meliputi sumber-sumber pembalakan khususnya di kawasan EAGA yang amat kaya denga hutan di samping program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

~Pembangunan sistem telekomunikasi.

Sektor ini juga amat berpotensi untuk berkembang dengan pesat misalnya projek Internet ASEAN dengan Thailand sebagai pusatnya di bawah program IMT-GT. Progam pertukaran siaran Radio & TV dan lain-lain maklumat budaya membolehkan interaksi sosial antara negara akan menjadi rapat.

~Pembangunan sektor pembandaran.

Mewujudkan bandar-bandar baru melalui pendekatan pelaburan bersama seperti projek Bandar Nusa Jaya sebagai bandar terapung di Tanjung Pelepas di Johor di bawah rancangan IMS-GT. Perkhidmatan pembandaran akan menguntungkan banyak pihak.
Pakatan ekonomi serantau ASEAN boleh mengurangkan kesan negatif proses globalisasi ekonomi dengan cara:

-Mengurangkan monopoli pasaran barangan dalaman ASEAN dari negara-negara maju. Ini dapat dapat dilakukan menerusi kerjasama ekonomi ASEAN yang mewujudkan kawasan pasaran bebas ASEAN (AFTA). Dengan adanya AFTA membolehkan produk barangan sesame negara ASEAN dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan barangan dari negara luar ASEAN. Apabila harga barangan ASEAN menjadi lebih murah maka sudah tentunya permintaan barangan import dari negara-negara luar ASEAN akan semakin berkurangan.

-Mengurangkan monopoli pasaran kewangan ASEAn oleh negara-negara maju khususnya Amerika Syarikat. Ini boleh dilakukan menerusi penubuhan bank ASEAN, Koperasi ASEAN, cadangan penggunaan mata wang ASEAN bagi menggantikan dollar US dan lain-lain. Persepakatan sesama negara-negara ASEAN dalam konteks ini membolehkan risiko kejatuhan nilai mata wang boleh dikurangkan.misalnya apabila urusan perdagangan antara negara-negara ASEAN dilakukan dalam mata wang ASEAN sendiri, ini akan memberikan keuntungan kepada semua pihak. Walaupun cadangan ini sukar dilaksanakan kerana perbezaan nilai wang yang begitu ketara antara negara-negara ASEAN tetapi perkara ini tidak mustahil dilaksanakan demi mengelakkan daripada risik terlalu bergantung kepada dollar Amerika.

-Mengurangkan kebergantungan modal daripada negara-negara kapitalisyang jelas tidak menguntungkan negara-negara ASEAN jika berlaku keadaan yang tidak diingini seprti kejatuhan nilai mata wang negara-negara ASEAN yang menyebabkan modal asing boleh ditarik keluar dari ASEAN pada bila-bila masa sahaja. Oleh sebab itu semasa sesame negara-negara ASEAN boleh meningkatkan pelaburan menerusi konsep pelaburan bersama dan juga pelaburan silang.

-Mengurangkan dominasi teknologi dan kepakaran dari negara-negara maju. Ini boleh dilakukan melalui konsep persainagn pintar, konsep saling melngkapi, prinsip menang-menang, dan juga langkah pertukaran teknologi dan inovasi baru, latihan tenaga manusia secara bersama dan bersepadu sesame negara anggota ASEAN. Seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan teknologi dari negara-negara naju sahaja. Setiap negara anggota ASEAN mempunyai kelebihan teknologinya sendiri yang boleh di kongsi bersama untuk mewujudkan keadaan saling melengkapi antara satu sama lain.

-Membendung campur tangan politik dari negara-negara maju menerusi prinsip Zon Aman Bebas dan Berkecuali (ZOFPAN), iaitu dasar tidak campur tangan negara-negara anggota serta prinsip kemakmuran bersam ASEAN. Melalui persepakatan ini negara-negara luar tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri urusan politik dalaman ASEAN.
Kepentingan saling bergantung antara negara

- Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian sumber-sumber bahan mentah dan juga sumber tenaga. Sesetengah negara / kawasan tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup bagi menggerakkan sektor industrinya. Ia amat bergantung kepada negara / kawasan luar bagi memperolehi sumber tenaga tersebut. Misalnya Malaysia amat bergantung kepada Thailand dalam memperolehi bekalan beras negara. Pendek kata, dalam sistem ekonomi terbuka , keadaan saling bergantung sudah menjadi satu kemestian.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian dan pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan ( R&D ) serta inovasi baru dalam pelbagai bidang ekonomi. Tanpa teknologi sesebuah negara / kawasan tidak boleh dibangunkan walaupun ia mungkin kaya dengan sumber alam. Dengan adanya pemindahan dan perkongsian teknologi moden muka bidang-bidang seperti pembangunan sumber manusia, sumber tenaga, perindustrian, sumber marin, pelancongan, pertanian dan sebagainya oleh dimajukan dengan cepat. Sebagai contoh dalam usaha memperkembangkan Industri Berteknologi Tinggi ( IIITEC ) di Malaysia ia amat bergantung kepada pemindahan teknologi dari negara Jepun. Misalnya teknologi kejenteraan automasi, teknologi reka bentuk dan teknologi kawasan mutu.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perluasan pasaran dan perdagangan antara negara/kawasan. Dengan adanya kerjasama dan saling bergantung maka sesebuah negara itu boleh memperluaskan pasaran barangan dan perkhidmatan mereka ke negara/kawasan lain. Kesan-kesan positif daripada perluasan dan perkongsian pasaran akan dapat dinikmati bersama khususnya dari segi pertambahan permintaan dan juga kuasa beli pengguna. Misalnya barangan negara-negara Asia Tenggara boleh dijual di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian modal. Kekurangan dalam sesebuah negara boleh ditampung oleh negara lain sama ada daripada pelaburan kerajaan mahupun pelaburan swasta. Keuntungan pelaburan modal akan diperolehi melalui prinsip perkongsian bijak seperti kaedah pelaburan bersama atau kaedah pelaburan silang. Contohnya melalui perkongsian modal swasta telah mempercepatkan proses pembangunan ekonomi di kawasan Segitiga pertumbuhan ASEAN iaitu di IMT-GT, IMS-GT dan juga EAGA-BIMP.

-Untuk saling memperolehi keuntungan dalam konteks perkongsian buruh dan tenaga pakar. Kekurangan buruh dan tenaga pakar dalam sesebuah negara boleh ditampung oleh negara lain yang berlebihan buruh. Contohnya Malaysia akan bergantung kepada buruh-buruh Indonesia dalam sektor perladangan dan pembinaan.