Followers

Carian dalam Blog ini

13 October 2009

Soalan Geografi Manusia STPM

2. a) Kepentingan aktiviti perikanan laut dalam di negara Asia Pasifik. [ 12 Markah]

Di antara kepentingan aktiviti perikanan laut dalam di negara Asia Pasifik ialah:

1. Sebagai sumber pemakanan (protein) yang penting. Ini kerana budaya pemakanan penduduk di sebahagian besar negara Asia pasifik amat bergantung kepada perikanan laut dalam yang amat kaya dengan pelbagai sumbernya. Sumber ikan digunakan sebagai makanan bersama dengan makanan ruji seperti nasi. Justeru negara-negara Asia Pasifik yang dikelilingi oleh laut seperti Jepun, Korea, Filipina, Indonesia termasuk juga Malaysia amat bergantung kepada bekalan ikan khususnya dari laut dalam.

2. Menyumbang kepada pendapatan negara. Sebagai bahan eksport yang akan menghasilkan pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing. Sesetengah negara menjadikan ikan laut sebagai hasil eksport. Thailand misalnya banyak mengeksport hasil perikanannya ke Malaysia dan Singapura. Jepun juga mengeksport hasil ikan seperti minyak ikan kod, lemak ikan paus ke negara-negara lain. Hasil jualan ini akan dapat menambahkan pendapatan eksport negara.

3. Menyediakan peluang perkerjaan kepada penduduk yang berkaitan dengan sektor perikanan seperti sebagai nelayan, pekerja di kilang memproses, perkhidmatan pemasaran dan lain-lain. Sebagai contoh penduduk yang tinggal di tepi pantai amat bergantung kepada aktiviti perikanan seperti pesisir pantai Kelantan, Terengganu dan Pahang. Hasil tangkapan laut dalam biasanya memberikan pulangan yang lumayan,justeru itu ia boleh menambakan pendapatan dan nelayan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka

4. Membantu menggalakkan perkembangan industri yang berkaitan. Industri hilirandan huluan yang bergantung kepada sumber perikanan laut akan berkembang dengan cepat seperti industri pengentinan, pembuatan bot, kilang ais, peralatan penangkapan dan sebagainya. Industri perikanan bertindak sebagai pembekal bahan mentah kepada industri lain khususnya IKS seperti pemprosesan ikan kering dan keropok. Dengan itu rantaian ekonomi dalam negara menjadi lebih kukuh.

5. Membantu meningkatkan teknologi dalam sesebuah negara khususnya yang berkait dengan teknologi perikanan laut dalam seperti teknologi awet-beku, penggunaan radar pengesan, penyediaan habitat tiruan/tukun, teknologi komunikasi dan sebagainya. Apabila keupayaan R&D dalam sector ini bertambah maju maka ia sekaligus membantu perkembangan R&D dalam sektor-sektor lain juga.

6. Memperluaskan pasaran samada di dalam atau di luar negara. Kesan-kesan positif daripada perluasan pasaran diperolehi melalui peningkatan kuasa beli pengguna, rangkaian pemasaran dalam negara yang akan meningkatkan pendapatan negara. Sesetengah negara seperti Jepun pula berkemampuan untuk mengukuhkan rangkaian paaran luar negara melalui pengeksportan hasil-hasil perikanan laut dalamnya.


b) Masalah-masalah yang dihadapi dan yang ditimbulkan oleh aktiviti perikanan laut dalam.

(i) Masalah yang dihadapi:

1. Masalah yang berkaitan dengan perikanan secara umun seperti kekurangan modal, kekurangan teknologi, masalah pasaran, kekurangan buruh, kemudahan asas dan sebagainya. Kekurangan modal dan kekurangan teknologi amat ketara sekali terutamanya bagi negara Asia Pasifik yang masih membangun dan miskin. Keupayaan modal yang terhad dan teknologi tangkapan yang rendah menyebabkan mereka tidak mampu memaju/meneroka perikanan laut dalam secara besar-besaran.

2. Masalah keselamatan nelayan. Ancaman lanun di laut antarabangsa, ancaman nelayan asing/pencerobohan. Sesetengah penduduk tidak berkesanggupan untuk meneroka perikanan laut dalam kerana khuatir keselamatan mereka yang amat sukar dijamin di perairan antarabangsa. Resiko lanun amat besar. Pengentahuan yang terhad juga membolehkan mereka mudah terceroboh memasuki kawasan perairan negara lain yang menyebabkan mereka ditangkap.

3. Masalah politik perairan antarabangsa. Pertindihan kawasan/sempadan perairan khususnya di zon ekonomi eksklusif (ZEE). Ini menimbulkan risiko pencerobohan atau mudah tertangkap oleh pihak berkuasa negara lain. Selain itu aktiviti perikanan laut dalam juga mendapat tentangan daripada pergerakan alam sekitar seperti Green Peace misalnya mereka menghalang penangkapan ikan paus oleh nelayan laut dalam Jepun.


(ii) Masalah yang ditimbulkan:

1. Masalah kepupusan sumber perikanan akibat kadar tangkapan yang berterusan melebihi had serta kaedah tangkapan yang boleh memusnahkan habitat . Sesetengah kaedah tangkapan seperti penggunaan pukat harimau dan pukat tunda memberi kesan kepupusan sumber perikanan dalam jangkamasa panjang. Kerana kaedah ini mengambil semua saiz dan jenis ikan. Anak-anak ikan juga tidak terkecuali. Selain itu terumbu karang yang menjadi habitat ikan juga boleh musnah dengan menggunakan pukat tunda.

2. Konflik dengan nelayan perikanan pinggir pantai apabila nelayan laut dalam tamak sehingga menceroboh zon perikanan pinggir pantai yang sama sekali diharamkan untuk mereka. Jelas sekali masalah ini sering ditimbulkan oleh nelayan laut dalam. Zon perikanan pinggir pantai sepatutnya tidak boleh dijadikan lokasi mereka. Apabila pencerobohan berlaku konflik akan timbul. Pencerobohan zon pinggir pantai bukan sahaja oleh nelayan laut dalam malah oleh nelayan-nelayan asing. Misalnya Malaysia sering diceroboh oleh nelayan Thailand. Menceroboh perairan negara lain sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa akan menimbulkan banyak masalah kerana ia memerlukan penyelesaian diplomatik dan politik.

No comments: