Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

09 June 2010

Kekuatan Peribadi Antara Elemen Yang Perlu Dimiliki Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kekuatan peribadi, moral dan nilai kendiri adalah senjata paling berkesan dalam memastikan penjawat awam melakukan yang terbaik dan mengelak daripada melakukan perkara mungkar, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata oleh kerana elemen ini mempengaruhi prestasi individu dalam organisasi, adalah perlu bagi penjawat awam mengukuhkan budaya kerja cemerlang ini dan sentiasa berfikiran positif.

Katanya tingkah laku peribadi dan etika penjawat awam sebenarnya dikawal oleh pelbagai peraturan serta pekeliling perkhidmatan yang dirangka bagi memastikan tahap etika yang tertinggi.

"Dalam hal ini, penjawat awam perlu mematuhi tatakelakuan seperti yang digariskan dalam pelbagai Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)," katanya pada pada majlis penganugerahan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan penyampaian diploma Intan di sini Selasa.

Mohd Sidek berkata seseorang yang mempunyai akhlak dan peribadi yang tinggi akan sentiasa melakukan tindakan yang betul dan konsisten dalam pelaksanaan tugasnya.

Selain itu, beliau berkata penjawat awam perlu memberi penekanan kepada pembentukan peribadi atau 'character building' bagi membina dan memupuk kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata bagi seorang penjawat awam yang berhemah tinggi, matlamatnya bukan untuk mencari peluang kenaikan pangkat atau mendapat sijil khidmat cemerlang tetapi matlamatnya adalah kepuasan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.

Mohd Sidek turut mengingatkan penjawat-penjawat awam yang masih muda dan panjang tempoh perkhidmatannya, agar memiliki 'mindset' untuk membawa nilai yang terbaik kepada organisasi.

Beliau seterusnya meminta penjawat awam agar peka terhadap dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan memandangkan penjawat awam adalah golongan pelaksana.

"Keberkesanan perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab ini menyumbang terhadap pencapaian negara, baik dari segi kemajuan ekonomi, keamanan, keselamatan negara, mencapai status negara ke-10 paling kompetitif di dunia," katanya.

Pada majlis itu, bekas ketua pengarah perkhidmatan awam Tan Sri Mahmud Taib dianugerahkan Felo Intan 2009.

Mahmud yang dilantik sebagai ketua pengarah perkhidmatan awam antara 16 April 1990 hingga 13 Disember 1995 bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) yang melibatkan perubahan kepada struktur perkhidmatan awam, yang merangkumi skim perkhidmatan, gaji, elaun, kemudahan, syarat perkhidmatan dan faedah persaraan.

Beliau juga bertanggugjawab memperkenalkan Sistem Baru Penilaian Prestasi (SBPP), iaitu kaedah utama pengurusan sumber manusia yang memantapkan usaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam.



-- BERNAMA

No comments: