Followers

Carian dalam Blog ini

09 June 2010

Penjawat Awam Perlu Ubah Pemikiran Untuk Tingkat Daya Saing Negara - KSN

09 Jun, 2010 17:17 PM

Penjawat Awam Perlu Ubah Pemikiran Untuk Tingkat Daya Saing Negara - KSN

KOTA BAHARU, 9 Jun (Bernama) -- Peraturan dan kerenah birokrasi yang melambatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat perlu dibuang dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dalam kedudukan lima teratas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Malaysia mampu mencapai kedudukan itu sekiranya penjawat awam mampu mengubah pemikiran dengan menanam sikap mudah dalam apa jua perkhidmatan yang dilaksanakan.

"Kedudukan daya saing Malaysia dari tangga ke-18 pada tahun lalu telah meningkat kepada tangga ke-10 tahun ini, satu peningkatan yang cepat dan mendadak. Perdana Menteri juga telah meminta supaya berusaha untuk capai kedudukan lima teratas, bersaing dengan negara maju lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Singapura.

"Kita punyai sumber yang banyak, apa yang membezakan kita dari negara maju lain adalah pemikiran...untuk melaksanakan apa jua perkhidmatan dengan cemerlang, kaedahnya adalah mudah dan memudahkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini Rabu.

Selain itu katanya pemikiran kreatif dan inovatif juga perlu ada dalam proses penambahbaikan sistem perkhidmatan kerana dalam konteks perkhidmatan, inovatif ialah membuang yang lama dan yang tidak perlu.

"Saya mengambil contoh UMK...satu kejutan buat saya hari ini apabila melihat bangunannya, tidak gah mahupun tersergam seperti menara gading tetapi hanyalah lot-lot bangunan kedai yang biasa tetapi tetap mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan berkualiti. Inilah yang patut dicontohi," katanya.

-- BERNAMA

No comments: