Followers

Carian dalam Blog ini

10 June 2010

Kerajaan salur peruntukan besar perkasa modal insan

kamarulzaidi@bharian.com.my
2010/06/10

Kerajaan salur peruntukan besar perkasa modal insan

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang akan dibentangkan Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, hari ini, dijangka menggunakan pendekatan berbeza dengan fokus diberi kepada program bukan fizikal bagi mengukuhkan modal insan selaras hala tuju baru kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam rancangan pembangunan ekonomi lima tahun sebelum ini, peruntukkan lebih tertumpu kepada pembinaan projek infrastruktur fizikal. Misalnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang berakhir tahun ini, 78 peratus daripada peruntukan berjumlah RM230 bilion disalurkan kepada pembangunan infrastruktur dan 22 peratus untuk program bukan fizikal.

Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berkata pelan ekonomi 2011 hingga 2015 itu, dijangka menyediakan peruntukan besar untuk program bukan fizikal, seperti latihan kepakaran, peningkatan kemahiran, penyelidikan dan modal teroka, manakala pembinaan infrastruktur dikurangkan.

“Kami menjangka jumlah peruntukkan perbelanjaan sektor awam RMKe-10 adalah hampir sama dengan RMK-9, tetapi kemungkinan perbezaan kali ini adalah penumpuannya kepada program pembangunan bukan fizikal seperti pemodenan sistem pendidikan, peruntukan latihan serta peningkatan kepakaran.

“Ini bagi menyokong hasrat kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berteraskan inovasi dan kreativiti menjelang 2020,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Nazarry berkata, Malaysia berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam tiga dekad lalu, tetapi sejak selepas Krisis Kewangan 1997 pertumbuhan ekonomi negara menjadi perlahan hingga menyebabkan negara tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana dan memerlukan perubahan radikal untuk melonjak kembali.
Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, pula berkata RMKe-10 adalah sebahagian daripada MBE, iaitu inisiatif transformasi ekonomi jangka panjang.

“Oleh itu, RMKe-10 dijangka memperincikan strategi yang dicadangkan dalam MBE, iaitu untuk menjadikan Malaysia negara maju,” katanya.

Beliau berkata, untuk mencapai negara pendapatan tinggi, sasaran pertumbuhan ekonomi untuk tempoh lima tahun akan datang perlu diraih pada kadar enam hingga tujuh peratus setahun bagi membolehkan pendapatan rakyat ditingkatkan kepada antara AS$15,000 hingga AS$17,000 setahun menjelang 2020 berbanding antara AS$7,000 hingga AS$8,000 sekarang.

Mahani berkata, RMKe-10 juga dijangka menggariskan strategi menjana dan menarik pelaburan tempatan dan langsung asing (FDI).

“Susulan itu, strategi penswastaan syarikat milik kerajaan, meningkatkan nilai tanah dan aset milik kerajaan serta pengurangan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan akan dibentangkan,” katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), berkata RMKe-10 dijangka turut memperincikan kaedah untuk meningkatkan produktiviti dan kepakaran khususnya dalam menggalakkan inovasi dan kreativiti.

Selain itu, katanya, pelan induk berkenaan akan menggariskan kaedah untuk mengurangkan defisit kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pengurangan perbelanjaan kerajaan menerusi penstrukturan semula subsidi adalah sesuatu yang dinantikan, iaitu sama ada ia akan dibuat secara drastik atau berperingkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan dijangka mencadangkan langkah yang mampu menaikkan kuasa beli rakyat bagi menampung kenaikan harga barang ekoran penstrukturan subsidi.

Ketua Penganalisis Inter-Pacific Securities, Anthony Dass, pula berkata dari sudut peruntukkan perbelanjaan pembangunan, kerajaan dijangka menyalurkan sehingga RM220 bilion dalam RMKe-10.

“Daripada jumlah itu, 45 peratus dijangka disalurkan untuk membangunkan projek dalam pelbagai sektor ekonomi; 38 peratus (sektor sosial); 11 peratus (keselamatan) dan baki 6.0 peratus untuk pentadbiran awam.

“Saya juga menjangka projek pembangunan bernilai antara RM30 bilion hingga RM40 bilion akan dilaksana sepanjang 2011-2015 di bawah inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” katanya

No comments: