Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

30 June 2010

Nak setaraf dengan Lelaki!!!

30 Jun, 2010 10:14 AM

Iklan Rokok Bawa 'Bencana' Kepada Wanita

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Setiap tahun, industri tembakau terpaksa mencari rekrut-rekrut baru bagi mengganti mereka yang telah 'meninggalkan' pasarannya.

Istilah 'meninggal' di sini adalah dalam ertikata mati disebabkan penyakit-penyakit kronik yang dibawa oleh tabiat merokok.

Dan industri ini telah menjumpai satu kumpulan besar yang agak mudah di pengaruhi, iaitu wanita.

Usaha mereka nampaknya berjaya hinggakan statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia WHO) menunjukkan jumlah perokok wanita di negara maju dan membangun telah meningkat dibandingkan dengan angka bagi perokok lelaki yang semakin menurun.

Menurut WHO, kadar perokok wanita di seluruh dunia dijangka meningkat sekali ganda pada tahun 2025, dari 9.0 peratus pada tahun 2007. Bagi perokok lelaki pula, kadar masa kini iaitu 40 peratus sudah sampai pada puncaknya dan semakin menurun.

Jurang antara remaja lelaki dan wanita yang mula merokok juga semakin rapat dengan kadar 7.0 peratus bagi remaja wanita dan 12 peratus remaja lelaki di seluruh dunia.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 menunjukkan remaja perempuan (13-18 tahun) mula merokok pada umur purata 14.1 tahun berbanding remaja lelaki yang mula merokok pada umur purata 13.6 tahun.

"Kita menyaksikan peningkatan trend perokok wanita di Malaysia dan aspek yang membimbangkan adalah umur mereka yang mula merokok adalah semakin muda", kata Ketua Institut Perubatan Respiratori Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin pada perasmian majlis sambutan "Hari Tanpa Tembakau Dunia" di sini baru-baru ini.

"Pelajar sekolah wanita mula merokok biasanya kerana pengaruh rakan sebaya dan adalah penting bagi kita menawarkan sokongan serta kepakaran bagi membantu mereka meninggalkan tabiat itu."

Menurut WHO, wanita merupakan 20 peratus daripada perokok di dunia yang berjumlah 1.0 bilion. Ini adalah sebanyak 200 juta dan angka ini semakin meningkat kerana epidemik tembakau juga semakin meningkat di beberapa negara.

KUMPULAN SASARAN TERBESAR

Menurut Dr Aziah wanita adalah kumpulan sasaran terbesar industri tembakau pada hari ini kerana mereka dianggap sebagai "potensi pasaran yang belum diterokai".

"Wanita pada hari ini adalah lebih maju secara sosial, berpelajaran serta berjaya dalam kerjaya mereka. Mereka mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi serta kebebasan dalam membuat keputusan jika dibandingkan dengan masa lampau. Jika kena dengan teknik pemasaran, mereka rasa boleh merokok tidak kira pada masanya," kata beliau.

Syarikat tembakau menyedari hakikat ini dan menghujani golongan wanita dengan iklan yang 'memujuk' kaum tersebut menganggap rokok adalah simbol bagi kebebasan, glamor dan tarikan seks.

Sebenarnya strategi pemasaran menumpu pada rasa tidak yakin wanita seperti perlunya mereka mempunyai bentuk badan yang langsing, bergaya serta sepadan dengan rakan sejawat lelaki.

"Tiada keindahan serta kecanggihan dalam merokok. Hanyalah keburukan serta penyakit yang dibawanya," kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia.

Katanya, wanita dihidangkan dengan iklan yang mempunyai model langsing seolah-olah atau kononnya merokok adalah satu cara 'mengawal' berat badan.

"Tetapi iklan-iklan ini tidak menyatakan kesan buruk yang mengiringi tabiat merokok," kata Rosnah.

Tambah beliau walaupun jumlah perokok lelaki adalah lebih besar daripada perokok wanita, golongan wanita menanggung tanggungjawab lebih besar kerana mereka akan menjadi ibu serta akan menjaga anak mereka.

KESAN BURUK BAGI WANITA

Penekanan terhadap perokok wanita muncul dengan kebimbangan sejagat setelah didapati jumlah perokok dari kumpulan ini meningkat begitu ketara dan kemudaratan yang menimpa adalah lebih berat daripada lelaki.

Dr Aziah yang bersetuju dengan pandangan Rosnah berkata: "Pendedahan kepada rokok membahayakan wanita lebih daripada lelaki. Selain daripada kanser serta masalah jantung dan pernafasan, wanita juga akan mendapat masalah kesuburan dan akan menghadapi risiko semasa mengandung dan kelahiran".

Menurutnya risiko seperti keguguran, bayi tidak cukup umur atau bayi mati dalam kandungan adalah lebih tinggi bagi wanita yang merokok ketika mengandung. Merokok juga meningkatkan risiko bagi menghidapi kanser buah dada serta kanser rahim sebelum mencapai menopos (putus haid).

Perokok wanita juga menghadapi risiko tinggi terhadap COPD (masalah pulmonari obstruktif kronik) yang menyebabkan kadar kematian lebih tinggi dibandingkan dengan HIV/AIDS serta kanser paru-paru/buah dada setiap tahun di dunia.

STATISTIK MEMBINBANGKAN

Menurut Dr Aziah, NHMS 2006 melaporkan daripada 2.7 juta perokok pasif di Malaysia yang berumur dari 18 tahun ke atas, 24 peratus terdiri daripada golongan wanita.

Kajian yang dijalankan setiap 10 tahun itu juga menunjukkan bahawa daripada 5.0 juta perokok di Malaysia, 0.7 peratus adalah wanita berumur antara 13 dan 18 tahun iaitu 35,000 orang.

Kata Dr Aziah, satu lagi ancaman terhadap wanita adalah asap dari perokok lain terutama lelaki.

Statistik WHO memberi gambaran yang lebih suram. Di seluruh dunia terdapat 600,000 kematian setahun disebabkan pendedahan terhadap asap rokok dan 64 peratus daripada angka tersebut adalah wanita.

Dengan ketagihan terhadap tembakau merupakan penyebab kedua kematian di dunia selepas penyakit tekanan darah tinggi, pandangan serta langkah bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap pemasaran tembakau yang menyasarkan golongan wanita.

Seperti kata Ketua Pengarah WHO Dr Margaret Chan: "Melindungi dan menjaga kesihatan wanita adalah penting bagi pembangunan, bukan hanya bagi generasi hari ini malahan masa akan datang".

-- BERNAMA

No comments: