Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

12 September 2009

Fikir-fikir sebelum beli

Faktor pertimbangan sebelum beli kenderaan
Oleh Mohd Razlan Sallehmrazlan@nstp.com.my

INDUSTRI automotif adalah perniagaan mencabar dengan banyak model terbaru dilancarkan setiap bulan oleh pengeluar kenderaan dunia.Situasi berkenaan mungkin memberi kebaikan berikutan pelbagai model berada di pasaran, tetapi ia juga boleh memberi persepsi negatif kepada pembeli terutama apabila kenderaan baru itu tidak memberi lebih nilai kepada wang.
Sebelum membuat keputusan membeli kenderaan, pembeli perlu mendapatkan maklumat penuh mengenai kenderaan dihajati.Ini kerana pembelian kereta mungkin menjadi pelaburan kedua terbesar dalam hidup dan pastinya pembeli mahukan pembelian berkenaan sesuatu yang berbaloi.

Jadi, kenderaan apakah yang dimahukan pembeli? Kenderaan sebagai ikon cara hidup pembeli.
Pertama, apa tujuan utama anda membeli kenderaan? Tanya diri mengenai kegunaan kenderaan itu, sama ada untuk perjalanan sekitar bandar raya atau kerap menggunakannya untuk perjalanan jauh berkaitan kerjaya atau menjadikannya kenderaan lebih selesa untuk seisi keluarga.
Kenderaan yang hendak dibeli pasti memenuhi kegunaan kenderaan itu sendiri dan kini terdapat pelbagai model terdiri daripada sedan, sedan sport, kompak, hatchback, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan sport utiliti (SUV) atau trak pikap.
Mampukah saya memilikinya?
Kemampuan adalah faktor utama diambil kira ketika mahu membeli kenderaan. Biasanya kemampuan akan melebihi tarikan kereta diminati. Faktor utama perlu diambil kira termasuk bayaran bulanan, kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan, kos bahan api mahupun nilai jualan balik.
Kebanyakan rakyat negara ini membelanjakan 30 peratus daripada gajinya untuk membayar ansuran bulanan kenderaan. Penyelesaiannya mudah, bakal pembeli perlu menyenaraikan harga kenderaan sesuai dengan kemampuan mereka.
Kenderaan paling murah di negara ini berharga sekitar RM25,000 manakala termahal setinggi RM1.5 juta seunit.
Jenama
Jenama memainkan peranan penting ketika pembeli mahu membeli kereta. Tambahan pula kereta sesuai berada pada jenama yang diminati. Pengulas automotif bebas, Paul Tan menyatakan jenama yang menawarkan produk berkualiti pasti akan mendapat perhatian ramai.
Teknologi
Kebanyakan pengeluar kereta sentiasa memperkenalkan beberapa teknologi baru dalam masa beberapa tahun dalam produknya seperti reka bentuk, prestasi dan ciri keselamatan.Beberapa perkara mengenai kenderaan yang perlu diketahui.
Kuasa - Digambarkan dengan liter (L) atau sesaran (cc). Ia adalah kuasa enjin di mana lebih besar enjinnya, lebih kuasa pecutannya.
Tork (Nm) - Tork adalah kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta kepada kelajuan yang dikehendaki. Semakin tinggi kuasa tork, semakin cepat kenderaan bergerak.
RPM (revolutions per minute, or revs) - RPM merujuk kepada kelajuan enjin atau berapa kuat daya kuasa enjin diperlukan untuk meningkatkan tork. Kenderaan terbaik adalah kenderaan yang menawarkan RPM rendah, tetapi daya tork tinggi.
Kuasa kuda (hp) - Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin. Semakin tinggi kuasa kuda, semakin tinggi prestasinya.
Keselamatan
Dalam soal keselamatan, kenderaan terkini memerlukan sekurang-kurangnya beg udara dan sistem brek antikekunci (ABS). Kenderaan yang dilengkapi teknologi seperti bantuan kestabilan kenderaan (VSA) atau 'traction control' dan beg udara sisi adalah satu bonus.VSA adalah satu sistem di mana ia membantu mengawal gelinciran roda akibat jalan licin atau tumpahan minyak di jalan raya.
Kerangka kukuh seperti teknologi G-Con yang terbukti dalam ujian pelanggaran berupaya menyerap impak rempuhan daripada menerjah masuk ke dalam ruang kabin.Teknologi ini berjaya mengurangkan risiko kecederaan serius kepada pemandu dan penumpang.
Keputusan ujian boleh diperoleh melalui National Organization for Automotive Safety & Victims Aid Japan (www.nasva.go.jp), Euro NCAP (www.euroncap.com) dan Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) (www.iihs.org).
Semua badan bebas ini sudah melakukan ujian terhadap semua jenis kenderaan yang dipasarkan di seluruh dunia.
Melawat Ruang Pameran
Melawat ke beberapa pusat pameran kereta membolehkan pembeli menilai sendiri kenderaan diminati. Antaranya kelegaan ruang kepala dan kaki, kesesuaian stereng, kerusi pemandu, pemanduan, keluasan ruang penyimpanan dan keistimewaan lain.Pelbagai ciri ini menjadi sangat penting dalam melengkapkan keperluan kereta itu sendiri. Ruang duduk dan simpanan barang menjadi faktor utama termasuk kerusi belakang boleh dibaringkan memberi kelebihan kepada penumpang.
Penggunaan Bahan Api
Keadaan ekonomi semasa tidak menentu menjadikan tahap penggunaan bahan api sangat penting ketika memilih kenderaan.Kombinasi antara penggunaan gear, teknologi enjin dan faktor aerodinamik banyak membantu tahap penggunaan bahan api bagi kenderaan.Menurut Paul, ramai beranggapan bahawa transmisi automatik dan enjin prestasi tinggi menggunakan bahan api yang tinggi sedangkan perkara itu tidak lagi relevan waktu ini."Kehadiran beberapa teknologi terkini seperti i-VTEC menawarkan prestasi mengagumkan dengan kuasa tork lebih tinggi, tetapi julat RPM rendah.
Mesra Alam
Gas ekzos adalah penyumbang terbesar pemanasan global. Teknologi hibrid berjaya mengurangkan tahap pencemaran yang disebabkan oleh pembakaran bahan api.Teknologi hibrid biasanya menggunakan dua atau lebih kuasa alternatif bagi menggerakkan kenderaan sama ada kombinasi (petrol atau diesel) dan elektrik.Kenderaan menggunakan kurang bahan bakar lebih mesra alam dan menjimatkan.Menurut Tan, kereta hibrid yang menggunakan elektrik menawarkan kuasa tambahan kepada enjin. Sebagai contoh, kenderaan hibrid berkuasa 1.3L mempunyai kuasa seperti kenderaan berkuasa 1.8L."Honda adalah satu-satunya pengeluar kereta yang menawarkan kenderaan teknologi hibrid di Malaysia," katanya.
Nilai Jualan Balik
Kebanyakan pembeli bimbang mengenai nilai jualan balik kecuali mereka yang mahu menggunakan kenderaan terbabit sepanjang hayat.Faktor seperti jenama, populariti, permintaan dan perkhidmatan selepas jualan mampu mengekalkan harga jualan balik lebih tinggi dan mampu mengurangkan kerugian pembeli.
Pandu Uji
Perkara terbaik adalah dengan memandu uji kenderaan dikehendaki sebelum membuat keputusan membeli. Faktor seperti kepuasan pemanduan, kawalan, keselesaan dan kualiti menjadi petunjuk model sesuai.Kebanyakan model menawarkan keluasan dan harga hampir sama, tetapi ia hanya boleh dipastikan keselesaannya selepas melakukan pandu uji.Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.smartwheels.com.my yang boleh membantu pembeli memilih kenderaan sesuai melalui tip dan maklumat terkini.Malah, perunding bebas juga bersedia menjawab segala kemusykilan anda. Inisiatif ini dibawakan khas oleh Honda Malaysia.Sekiranya anda memerlukan buku panduan, kunjungi mana-mana bilik pameran Honda berdekatan.

No comments: