Followers

Carian dalam Blog ini

02 September 2009

Kulit kerang ganti tulang rosak
SERDANG 27 Ogos - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui kaedah mengganti dan membaik pulih kecacatan tulang akibat kemalangan atau penyakit menggunakan cangkerang kerang.Produk yang dikenali sebagai 'Perencah Bioseramik 3-D Berliang' itu boleh digunakan untuk membaik pulih tulang haiwan dan manusia yang cacat atau rosak.
Penemuan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Md. Zuki Abu Bakar itu merupakan yang pertama di dunia dan mengambil masa tiga tahun untuk menghasilkan produk tersebut.Zuki berkata, produk terbaru UPM itu bukan sahaja boleh digunakan untuk membaik pulih tulang yang rosak malah boleh digunakan sebagai rawatan kosmetik.
"Melalui eksperimen yang kami lakukan ke atas tulang arnab, kami mendapati produk ini sememangnya berkesan membantu memulihkan kerosakan tulang dalam masa yang singkat. "Malah daripada kajian tersebut, kami mendapati ia juga sesuai digunakan untuk rawatan kosmetik."Selain itu, produk ini selamat digunakan kerana bebas daripada bahan-bahan toksik serta tidak mempunyai kesan sampingan,'' katanya.Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar memperkenalkan penemuan terbaru UPM, 'Perencah Bioseramik 3-D Berliang' di UPM di sini hari ini.Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof. Madya Dr. Abu Bakar Salleh.Zuki mengakui sebelum ini memang terdapat kajian seumpamanya yang dilakukan sama ada di dalam mahupun luar negara tetapi apa yang membezakannya ialah bahan serta hasil kajian.
"Produk yang kami hasilkan ini mampu memulihkan kerosakan tulang dalam masa tiga minggu sahaja."Kajian-kajian yang dilakukan oleh pengkaji sebelum ini memerlukan sehingga 12 minggu untuk memulihkan tulang yang rosak dengan menggunakan batu karang. "Jadi boleh disimpulkan disini bahawa hasil kajian kami lebih berjaya kerana dapat memendekkan tempoh pemulihan tulang menggunakan bahan yang lebih murah,'' ujarnya.
Selain memendekkan tempoh pemulihan tulang, Zuki berkata, produk tersebut juga mempunyai kelebihan lain seperti harga yang murah dan tulang boleh dipulihkan mengikut saiz."Kami anggarkan untuk membaik pulih lima hingga enam sentimeter kerosakan tulang, kosnya sekitar RM40 ke RM60 sahaja tidak termasuk kos pembedahan."Selain itu, produk ini juga boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan saiz dengan menggunakan acuan mengikut keperluan pesakit,'' katanya," katanya.Menurut Zuki, sebelum produk tersebut ditanam ke dalam tulang yang ingin dibaik pulih, ia perlu disemai dan dieram terlebih dahulu dengan sel osteoblas yang boleh diperoleh daripada sum sum tulang pesakit.

No comments: