Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

12 December 2010

Kreativiti dan Kesihatan Mental

Kreativiti dan Kesihatan Mental
Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

10/12/2010 | Utusan Malaysia

Kreativiti didefinisikan sebagai suatu keupayaan atau kebolehan untuk melahirkan atau menghasilkan sesuatu idea atau objek yang baru dan amat bernilai dalam kehidupan. Seorang penyelidik kreativiti, Mumford, di dalam penulisan beliau yang bertajuk ‘Where have we been, where are we going? Taking stock in creativity research’ menyatakan bahawa kreativiti itu adalah satu proses yang mengakibatkan kepada sesuatu penghasilan yang baru dan berfaedah. Creativity is the ability to produce novel and unique socially valued ideas or objects ranging from philosophy to paintings, from music to mousetraps. Ungkapan beliau ini telah diperjelaskan lagi oleh Sternberg dan Lubart di dalam artikel yang bertajuk ‘The concept of creativity: prospects and paradigm’, iaitu sesuatu yang baharu dan berfaedah itu dilihat sebagai tulen dan asli dari segi kemunculannya dan pada masa yang sama perlulah berguna, atau berfaedah dan bersifat adaptif kepada persekitaran. Kesimpulan daripada semua pernyataan yang tersebut ini menunjukkan bahawa kreativiti adalah sesuatu penghasilan atau kemunculan idea atau produk yang baharu sifatnya, dan ia lahir secara semulajadi dalam keadaan yang tulen dan asli, serta berperanan membawa kepada kebaikan dalam kehidupan individu dan masyarakat serta kepada persekitaran.

Kajian kreativiti secara saintifik telah bermula seawal tahun 1950an apabila seorang pakar psikologi Amerika Syarikat, J. P. Guilford menghuraikan fenomena pemikiran dan intelek, khususnya yang berkaitan dengan kecerdasan dan kepintaran, dan diikuti oleh E. Paul Torrance. Pada ketika itu, fenomena kreativiti telah dilihat sebagai satu ‘hypothetical construct’, atau konstruk mental yang sangat penting dalam kajian terhadap kepintaran, personaliti, motivasi, pencapaian kendiri dan penyelesaian masalah. Malah alat pengukuran dan pengujian terawal terhadap kreativiti mula diperkenalkan oleh Guilford sendiri, dan juga oleh Torrance seperti ‘Torrance Tests of Creative Thinking’. Alat pengukuran ini amat popular dan masih lagi digunakan hingga ke hari ini bagi mengenal pasti potensi kreativiti yang wujud dan tersembunyi di kalangan individu.

Setiap individu perlu untuk menjadi kreatif bagi memenuhi matlamat dan tuntutan dalam kehidupan. Ini kerana kehidupan itu dilingkungi oleh pelbagai ranjau dan masalah yang mampu untuk menggugat individu dan kehidupan mereka. Namun pada hakikatnya, terdapat individu yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dalam mengharungi kehidupan ini. Mereka mungkin menjadi terbelenggu oleh permasalahan mereka tanpa ada sebarang penyelesaian atau jalan keluar dari masalah itu. Mungkin juga mereka keluar dari masalah hidup itu dengan cara atau kaedah yang salah, tidak sesuai, tidak efektif atau tidak produktif. Akibatnya, keputusan dan penyelesaian yang diambil mendatangkan kemudharatan dan keburukan, kepayahan, mahupun kesudahan yang amat tragis sekali dan mungkin akan berakhir dengan kehilangan nyawa, kecederaan dan sebagainya. Berdasarkan kepada situasi ini, maka kreativiti dilihat sebagai satu keperluan yang wajar dimiliki dan dipelajari serta diamalkan untuk mencapai matlamat dalam kehidupan.

Persoalan lain ialah apakah yang perlu diajar apabila mengajar kreativiti, dan kepada siapa ia akan diajarkan. Sehingga kini, kreativiti tidak pernah diajar secara formal di peringkat sekolah atau universiti. Jika ada, ia lebih berbentuk ajaran ringan yang tidak formal dan juga tidak mempunyai piawaian struktur kurikulum yang lebih sistematik. Walhal kreativiti ini telah pun menjadi satu agenda besar negara di peringkat nasional apabila tahun 2010 telah diiktiraf sebagai tahun tema bagi kreativiti dan inovasi. Sambutan hari kualiti juga telah digantikan dengan sambutan hari inovasi. Dalam konteks negara ini, senarionya ialah kreativiti itu lebih sesuai berlaku atau banyak tertumpu di peringkat organisasi dan alam pekerjaan, bukan di alam pembelajaran yang formal seperti sekolah dan universiti.

Perlu juga disedari bahawa kreativiti sewajarnya mampu membawa individu dan masyarakat kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup. Namun perkara ini tidak selalu berlaku, lebih-lebih lagi apabila ditinjau dari kehidupan golongan cendekiawan dari masyarakat di negara Barat yang lebih maju, pintar dan kreatif, tetapi tewas dalam masalah kejiwaan. Mereka menghadapi gangguan mental, dan sesetengahnya turut ada yang mengakhiri kehidupan mereka di dalam institusi penyakit mental, malah ada yang membunuh diri. Di antara beberapa contoh gangguan mental yang berlaku ialah seperti ketagihan dadah dan alkohol, gangguan mood dan afek seperti kemurungan dan manik depresif, bunuh diri, gangguan personaliti dan sebagainya. Di antara kalangan tokoh-tokoh yang terlibat ialah seperti van Gogh, seorang pelukis terkenal, Ernest Hemingway, seorang novelis yang telah menembak dirinya sendiri sejurus selepas menerima rawatan ECT, Virginia Wolf yang telah melemaskan dirinya sendiri, Robert Schumann yang meninggal ketika berada di dalam hospital psikiatri, dan artis visual Michelangelo.

Jika dilihat dari contoh tersebut, akan wujud tanggapan seolah-olah jika seseorang itu berfikiran kreatif, atau bercita-cita untuk menjadi kreatif, maka ia akhirnya akan mengalami gangguan mental. Perlu jelas bahawa ini tidak bermakna kreativiti itu akhirnya akan mengakibatkan berlakunya penyakit mental. Fenomena di negara Barat tidak semestinya akan berlaku di negara ini kerana pandangan hidup dan kerangka pemikiran Barat itu berbeza dari pandangan hidup Islam. Memang setiap individu, tanpa mengira darjat, kepintaran atau kecerdasan akan sentiasa bergelumang dengan stres dan tekanan mental, tetapi cara mereka mengendalikan tekanan amat berbeza dengan kaedah dalam Islam. Apa yang membimbangkan ialah wujud segelintir umat yang menggunakan pendekatan ala Barat, seperti mengambil dadah dan alkohol bagi menghasilkan daya cipta yang kreatif dan unik. Ia seperti percaya bahawa tanpa bahan tersebut, idea kreatif tidak mungkin akan terhasil. Tanpa bahan-bahan tersebut, ketenangan untuk berilham tidak akan tercapai. Malah hasil dan pemikiran yang bermutu juga tidak akan diperolehi. Anggapan songsang ini perlu dirawat dahulu menurut ruang lingkup dan pemikiran agama sebelum kurikulum kreativiti mampu diketengahkan.

No comments: