Followers

Carian dalam Blog ini

27 January 2010

Fungsi Yang di-Pertuan Agong

Fungsi Eksekutif (Perkara 39)

Walaupun Perlembagaan (Fasal 39) memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong, namun menurut undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh memberikan fungsi eksekutif itu kepada orang lain.

Sungguhpun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan tentang kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong namun lazimnya baginda menerima nasihat dari Kabinet, lebih tepat lagi, Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berhak dan atas kemahuannya meminta segala maklumat mengenai kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada Kabinet.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang ataupun sesuatu pertubuhan (yang lain dari Kabinet) tetapi dalam pelaksanaan tiga fungsi Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda. Ketiga-tiga fungsi itu ialah:

Melantik seorang Perdana Menteri;
Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen;
Meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Pelantikan Perdana Menteri adalah berdasarkan kemampuan calon tersebut mendapat suara terbanyak dalam Parlimen. Pemilihan ahli-ahli Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri adalah atas nasihat Perdana Menteri.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 39 dan 40 menyatakan:
"39. Kuasa pemerintah Persekutuan. Kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberikuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain".

"40. Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat. (1) Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh Perlembagan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsi-fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;


(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;


(c) meminta supaya di adakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak pada menjalankan tugas-tugas yang lain daripada yang berikut, selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang yang lain daripada Jemaah Menteri:

(a) tugas-tugas yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;

(b) tugas-tugas lain jika untuk menjalankannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain."

Fungsi Perundangan (Perkara 44)

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, maka baginda mempunyai kuasa-kuasa berikut:

Memanggil Parlimen bermesyuarat dari masa ke semasa;
Memberhentikan dan membubarkan Parlimen;
Boleh memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen dalam kedua-dua Majlis Parlimen bersama; dan
Memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan. Di samping itu baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik empat puluh orang senator lagi.

Para senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ini adalah, pada hemat baginda, terdiri daripada orang-orang yang terkemuka dalam masyarakat dan banyak memberi sumbangan kepada masyarakat. Selain dari tokoh-tokoh yang terkemuka dalam bidang ikhtisas seperti perdagangan dan industri, pertanian, kegiatan kebudayaan dan sosial, tokoh-tokoh yang mewakili kaum minoriti seperti orang asli juga dipilih.

"44. Keanggotaan Parlimen.

Kuasa Perundangan Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat".

"45. Keanggotaan Dewan Negara.

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut:

(a) dua orang ahli bagi tiap-tiap satu Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan (aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan (b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang asli.

(3) Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tercatat oleh pembubaran Parlimen. (3a) Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua tempoh sama ada terus-menerus atau selainnya:
Dengan syarat bahawa jika seseorang yang telah pun tamat dua tempoh jawatan atau lebih sebagai ahli Dewan Negara adalah sebelum sahaja mula berkuatkuasanya Fasal ini seorang ahli Dewan Negara maka ia bolehlah terus berkhidmat sebagai ahli sedemikian itu selama baki tempohnya.

(4) Parlimen boleh dengan undang-undang:
(a) menambah bilangan ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu Negeri hingga tiga orang; (b) membuat peruntukan supaya ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu Negeri dipilih dengan undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu:
(c) mengurangkan bilangan ahli-ahli yang dilantik atau menghapuskan ahli-ahli yang dilantik".


Fungsi Kehakiman


Yang di-Pertuan Agong juga memainkan peranan penting dalam bidang kehakiman. Adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim-hakim Mahkamah Agung, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja. Di samping itu juga baginda boleh melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

Selain dari itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimana pun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun. Seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan cara menulis surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai penyingkiran hakim pula, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah disingkirkan atas alasan berkelakuan tidak senonoh, atau ketidakupayaannya menjalankan tugas kerana kesihatan ataupun fikiran terganggu atau lain-lain alasan. Selepas menerima representasi itu Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan, dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya.

Perlu diingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan seseorang hakim atas kemahuannya. Hanya melalui representasi yang dibuat oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara dan selepas menerima laporan tribunal maka Yang di-Pertuan Agong boleh menyingkirkan seseorang hakim itu dari jawatannya.

Sungguhpun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima ataupun menolak cadangan–cadangan tribunal dalam menyingkirkan atau mengekalkan hakim itu pada jawatannya.

KUASA BAGI MENGISYTIHARKAN DARURAT

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berpuas hati mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri-negeri dalam keadaan terancam, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat.

Perkara 150 Perlembagaan menyatakan:
"150. Perisytiharan darurat.

(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya adalah terancam oleh kerananya, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat dengan membuat dalamnya pengumuman yang bermaksud sedemikian.

(2) Perisytiharan Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancamkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraaan awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada kemungkinan yang hampir akan berlakunya kejadian yang mengancamkan itu.

(2a) Kuasa yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara ini hendaklah termasuk kuasa mengeluarkan Perisytiharan-perisytiharan yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Perisytiharan atau Perisytiharan-perisytiharan telah pun dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Perisytiharan atau Perisytiharan-perisytiharan itu ada berkuatkuasa.

(2b) Jika pada bila-bila masa semasa Perisytiharan Darurat berkuatkuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen bersidang serentak Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan segera, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan apa-apa ordinan sebagaimana Yang di-Pertuan Agong berpendapat adalah dikehendaki oleh hal-hal keadaan.

(2c) Sesuatu ordinan yang diisytiharkan di bawah Fasal (2b) hendaklah berkuatkuasa sama seperti Akta Parlimen dan hendaklah terus berkuatkuasa sepenuhnya seolah-olah ianya Akta Parlimen sehingga ianya dibatalkan atau dimansuhkan di bawah Fasal (3) atau sehingga ianya luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan ordinan-ordinan di bawah Fasal (2b) boleh dijalankan berhubungan dengan apa-apa perkara yang Parlimen berkuasa membuat undang-undang mengenainya, tidak kira acara perundingan atau lain-lain acara yang dikehendaki diikuti, atau bahagian dari jumlah undi yang dikehendaki diperolehi, dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Perisytiharan Darurat dan apa-apa ordinan yang diisytiharkan di bawah Fasal (2b) hendaklah dibentangkan dalam kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuatkuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis itu membatalkan Perisytiharan atau ordinan itu, tetapi dengan tidak menyentuh apa-apa yang dilakukan dahulunya menurut Perisytiharan atau ordinan itu atau dengan tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan suatu Perisytiharan baharu di bawah Fasal (1) atau mengisytiharkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2b).

(4) Semasa Perisytiharan Darurat berkuatkuasa kuasa pemerintah Persekutuan adalah, walau apapun peruntukan dalam Perlembagaan ini, meliputi apa-apa perkara di dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri dan adalah termasuk memberi arahan-arahan kepada Kerajaan sesuatu Negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihakberkuasa Negeri itu.

(5) Tertakluk kepada Fasal (6a), semasa Perisytiharan Darurat berkuatkuasa, Parlimen boleh, walau apapun peruntukan dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang berkenaan dengan apa-apa perkara, jika Parlimen berpendapat bahawa undang-undang itu adalah dikehendaki oleh sebab darurat itu; dan Perkara 79 tidaklah dipakai bagi suatu Rang Undang-undang untuk suatu undang-undang itu atau bagi sesuatu pindaan kepada sesuatu Rang Undang-undang itu, dan juga tidaklah dipakai bagi apa-apa peruntukan Perlembagaan ini atau apa-apa peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang menghendaki apa-apa kebenaran atau persetujuan bagi meluluskan sesuatu undang-undang atau apa-apa rundingan mengenai undang-undang itu, atau yang menyekat perjalanan atau kuatkuasa sesuatu undang-undang selepas undang-undang itu diluluskan atau yang menyekat sesuatu Rang Undang-undang daripada diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk persetujuannya.

(6) Tertakluk kepada Fasal (6a), tiada apa-apa peruntukan sesuatu ordinan yang diisytiharkan di bawah Perkara ini, dan tiada apa-apa peruntukkan sesuatu Akta Parlimen yang diluluskan semasa Perisytiharan Darurat berkuatkuasa dan yang menyatakan bahawa undang-undang itu adalah, pada pendapat Parlimen, dikehendaki oleh sebab darurat, boleh terbatal atas alasan bahawa ia adalah berlawanan dengan mana-mana peruntukkan Perlembagaan ini.

(6a) Fasal (5) tidak boleh memperluaskan kuasa Parlimen berkenaan dengan apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat istiadat Melayu atau berkenaan dengan apa-apa perkara mengenai undang-undang atau adat istiadat bumiputera di sesuatu Negeri Borneo; dan juga Fasal (6) tidak boleh mengesahkan mana-mana peruntukan yang berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan ini berhubung dengan apa-apa perkara itu atau berhubung dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa.

(7) Apabila habis tempoh enam bulan dari tarikh Perisytiharan Darurat itu terhenti berkuatkuasa, apa-apa ordinan yang diisytiharkan menurut Perisytiharan itu dan apa-apa undang-undang yang dibuat semasa Perisytiharan itu berkuatkuasa, iaitu setakat mana ianya tidak mungkin dapat dibuat dengan sah jika tidak kerana Perkara ini, hendaklah terhenti berkuatkuasa, kecuali mengenai perkara-perkara yang telah dilakukan atau tidak dilakukan sebelum habis tempoh enam bulan yang tersebut itu.

(8) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini:

(a) puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2b) adalah terakhir dan muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah atau apa-apa alasan; dan (b) tiada sesuatu mahkamah pun boleh mempunyai bidangkuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, persoalan atau pembicaraan, dalam apa jua bentuk, atas apa-apa permohonan, persoalan atau pembicaraan, dalam apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai sahnya
(i) Perisytiharan di bawah Fasal (1) atau pengumuman yang dibuat dalam Pengisytiharan itu yang bermaksud sebagaimana dinyatakan dalam Fasal (1);
(ii) kuatkuasa berterusan Perisytiharan itu;
(iii) apa-apa ordinan yang diisytiharkan di bawah Fasal (2b); atau
(iv) penerusan kuatkuasa mana-mana ordinan itu.

(9) Bagi maksud Perkara ini Majlis-majlis Parlimen hendaklah dianggap sebagai bersidang hanya jika ahli tiap-tiap satu Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis itu."

KETUA AGAMA ISLAM

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menghendaki Perlembagaan Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Negeri-negeri tersebut. Baginda juga merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta di negeri asalnya. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri-negeri berkenaan. Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak kuasa pelantikan ini telah diturunkan kepada Yang di-Pertua Negeri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 3 dalam Perlembagaan memperuntukan:

"3. Ugama bagi Persekutuan.

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua Ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifat-sifatnya sebagai Ketua Ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya."
http://www.malaysianmonarchy.org.my

3 comments:

afliz affandi said...

info yg best....sy perlukn info nih..huhu....n....dpt jwb pe yg lec tny..huhu...

cikgunikmie said...

u welcome miss 5

abu said...

salam cikgu..cikgu ada tulis ataupun link tentang PERANAN INSTITUSI BERAJA DALAM MEMPERTAHANKAN KEDUDUKAN ORANG MELAYU?sy kna buat present mengenai tajuk ni..