Followers

Carian dalam Blog ini

06 January 2010

Soalan Sistem Atmosfera

1.
a) Huraikan lima faktor yang mempengaruhi taburan suhu secara mendatar yang tidak seragam di permukaan bumi.[15 m]

b) Bagaimanakah perbezaan taburan suhu secara mendatar mempengaruhi edaran umum atmosfera?[10 m]

c) Semakin tinggi sesuatu tempat, suhu udaranya semakin rendah. Jelaskan mengapa.[10 m]

d) Jelaskan bagaimana olak suhu boleh berlaku.[15 m]
Cadangan jawapan.

a) Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan suhu secara mendatar yang tidak seragam di permukaan bumi.

> Konfigurasi muka bumi-seperti kebenuaan dan kepulauan/pengaruh laut.Kawasan yang terletak di pedalaman benua suhunya lebih tinggi berbanding dengan kawasan yang dikelilingi laut.Hal ini kerana kawasan pedalaman benua jauh daripada sumber air dan peratus kelembapan udaranya amat rendah.Misalnya di kawasan gurun panas seperti Gurun Gobi,Gurun Kalahari,dan Gurun Turkistan.
> Litupan permukaan bumi-seperti tumbuh-tumbuhan litupan,bangunan,awan,salji dan sebagainya.Kawasan hutan tebal suhunya lebih rendah berbanding kawasan yang dipenuhi bangunan ekoran daripada proses serapan dan balikan haba.Kawasan awan nipis di gurun adalah lebih panas berbanding kawasan awan tebal.
> Kandungan tanah dan warna tanah yang berbeza-beza menghasilkan pemanasan dan suhu yang berbeza-beza.Warna permukaan tanah bergantung kepada warna geologi yang mendasarinya.Warna cerah seperti batu kapur membalikkan haba lebih banyak berbanding dengan warna gelap seperti batu riolit.
> Nilai albedo permukaan bumi yang bebeza-beza.Albedo merujuk peratus balikan bahangan matahari oleh sesuatu permukaan.Kawasan gelap seperti permukaan bertar akan lebih panas kerana ia menyerap haba lebih banyak berbanding permukaan cerah.
> Jangka masa dan sudut pancaran matahari yang berbeza mengikut garis lintang.Di kawasan khatulistiwa,suhunya lebih tinggi kerana menerima cahaya matahari dalam keadaan sudut tepat berbanding dengan kawasan kutub yang lebih condong/serong.
> Aspek.Merujuk cerun yang menghadap matahari juga cerun yang terlindung.Cerun menghadap matahari lebih panas berbanding cerun terlindung.
> Angin.Angin sejuk seperti mistral merendahkan suhu.Angin panas seperti Angin Chinook dan Fohn meningkatkan suhu.Hal ini kerana angin yang berbeza membawa kelembapan udara yang berbeza.Angin panas membawa udara kering,manakala angin sejuk membawa udara lembap.
> Arus lautan.Pegerakan arus laut panas dapat menaikkan suhu dan arus sejuk menurunkan suhu.Contohnya semasa tempoh El-Nino,arus lautan menjadi panas menyebabkan suhu di daratan meningkat.Hal ini kerana arus panas akan meningkatkan suhu laut,mengurangkan peratus kelembapan udara dan udara menjadi kering.

b) Bagaimana perbezaan taburan suhu secara mendatar mempengaruhi edaran umum atmosfera.

> Ketidakseimbangan bahangan bersih yang diterima antara garis lintang dunia menyebabkan perbezaan taburan suhu.Taburan suhu berbeza yang diterima oleh bahagian muka bumi akan mempengaruhi tiupan angin lazim dunia.Angin akan bertiup dari kawasan tekanan tinggi(bersuhu rendah) ke kawasan tekanan rendah(bersuhu tinggi).
> Perbezaan suhu antara sesuatu tempat akan mewujudkan kecerunan tekanan.Kewujudan kecerunan tekanan antara sel tekanan tinggi dengan sel tekanan rendah akan menyebabkan pergerakan udara atau angin.Lazimnya,sistem tiupan dunia seperti angin monsun akan bertiup dari tekanan tinggi ke tekanan rendah.


c) Sebab-sebab suhu udara semakin rendah apabila sesuatu tempat semakin tinggi.

- Suhu udara sekitar biasanya berkurangan mengikut ketinggian.Hal ini dapat dibuktikan apabila dibandingkan kawasan puncak gunung dengan kawasan kaki gunung.Puncak gunung lebih sejuk berbanding dengan kawasan kakinya.Perbezaan suhu ini dipanggil taburan suhu secara menegak.Mengikut kadar tukaran Adiabatik,setiap kenaikan ketiggian 165meter maka suhu udara akan turun pada kadar 1 darjah Celcius. Penurunan suhu udara mengikut ketinggian adalah disebabkan oleh:

> Udara tidak dipanaskan secara langsung oleh pancaran matahari.Sebaliknya permukaan bumi yang dipanaskan secara langsung terlebih dahulu.Permukaan bumi yang telah panas pula akan memanaskan udara melalui proses pengaliran haba.Oleh itu,udara di bawah yang bersentuhan dengan permukaan bumi menjadi panas terlebih dahulu sedangkan udara di bahagian atas masih lagi sejuk.Pemanasan udara sebenarnya berlaku dari bawah ke atas.Oleh itu,suhu udara bahagian atas/lebih tinggi adalah rendah.

> Ketumpatan udara berbeza.Udara di bawah lebih panas berbanding dengan udara di atasnya juga disebabkan oleh udara di bawah lebih tumpat berbanding dengan udara di atas.Oleh itu,udara di bawah lebih berupaya menyerap lebih banyak haba berbanding dengan lapisan udara atasnya.Keupayaan udara untuk menyerap haba amat bergantung kepada jumlah kandungan wap airnya,debu dan karbon dioksida di dalamnya yang bertindak sebagai penyerap.Adalah jelas lapisan udara di bawah lebih banyak mengandungi bahan-bahan penyerap haba.Oleh sebab itu,ia lebih cepat panas.Manakala lapisan udara di atas lebih kering,nipis dan bersih atau tidak banyak penyerap menjadikannya lebih sejuk/lambat panas.

d) Kejadian olak suhu dan kesan-kesan kejadian olak suhu

- Olak suhu ialah keadaan sonsangan suhu daripada keadaan lazimnya. Suhu semakin tinggi apabila ketinggian sesuatu tempat bertambah.Apabila olak suhu/sonsangan suhu berlaku bermakna udara yang lebih sejuk terdapat di sebelah bawah, udara yang panas pula di sebelah atasnya.Olak suhu biasanya berlaku sementara sahaja di sesuatu tempat dan pada sesuatu masa.Olak suhu terjadi dalam beberapa keadaan:

> Olak suhu daratan/sonsangan waktu malam,disebabkan kehilangan haba yang cepat dan berlebihan melalui bahangan bumi.Daratan lebih cepat kehilangan haba berbanding laut. Apabila daratan menjadi cukup sejuk,ia akan menyejukkan udara berdekatannya.Oleh itu ,udara di lapisan bawah menjadi lebih sejuk berbanding udara di sebelah atas.Kesonsangan udara ini tidak kekal lama dan hilang pada waktu siang.Keadaan-keadaan yang menggalakkan kejadian sonsangan daratan ialah,waktu malam yang panjang seperti musim sejuk.Ianya baik kerana memberikan masa yang mencukupi untuk bahangan bumi dibebaskan. Kedua,langit yang cerah adalah baik kerana membolehkan kehilangan haba berlaku dengan cepat. Ketiga,udara yang kering pula membantu mengehadkan penyerapan haba semasa matahari memancar. Keempat,udara yang tenang dapat mengurangkan percampuran udara.Selain itu,olak suhu daratan banyak berlaku di kawasan kutub kerana permukaannya yang diselaputi salji, berupaya menjalankan pembalikan cahaya matahari dengan berkesan.

> Olak suhu iklim tanah tinggi. Di kawasan pergunungan,sonsangan suhu biasanya berlaku di kawasan-kawasan lembah,terutamanya pada musim panas.Pada waktu siang,bahagian lembah menjadi lebih panas daripada kawasan cerun-cerun yang lebih tinggi.Pada waktu malam pula,udara sejuk di cerun-cerun tinggi akan bergerak ke bawah dan menolak udara yang panas di kawasan lembah naik ke atas.Dengan itu,sonsangan suhu pun berlaku.Kesonsangan suhu tidak kekal lama kerana lembah akan kembali panas pada waktu siang.

> Olak suhu ataman.Sonsangan suhu berlaku di kawasan tekanan udara tinggi. Terjadi akibat ataman udara secara besar-besaran di kawasan tekanan tinggi.Udara yang mengalami ataman ini akan mampat dan suhunya akan naik,tetapi di bawahnya masih terdapat lapisan udara sejuk yang tidak ke mana-mana.Akibatnya,suhu udara di atas lebih panas berbanding dengan suhu udara di bawah.Sonsangan udara ini lebih jelas terjadi di bahagian-bahagian timur sistem antisiklon.

> Olak suhu perenggan. Berlaku apabila kumpulan udara panas bertemu dengan kumpulan udara sejuk ‘di perenggan udara’.Perenggan udara ini biasanya berada di kawasan sederhana dunia.Pertemuan kumpulan udara panas dengan kumpulan udara sejuk menyebabkan kumpulan udara panas yang lebih ringan terangkat ke atas,manakala kumpulan udara sejuk termendap ke bawah.Maka terbentuklah sonsangan suhu.

> Olak suhu permukaan yang dinamik.Berlaku apabila kumpulan-kumpulan udara bergerak secara mendatar yang menyebabkan udara panas bergerak di atas permukaan udara sejuk,contohnya di kawasan litupan ais.Apabila ini berlaku,satu lapisan tebal udara sejuk akan terbentuk di bawah sedangkan di atasnya adalah udara panas.Sonsangan suhu jenis ini lebih kekal lama dan tersebar lebih luas.

> Sonsangan suhu angin timuran berlaku dekat pantai kawasan tropika.Kawasan daratan menyerap dan membebaskan haba lebih cepat berbanding dengan laut.Oleh itu,suhu udara daratan lebih tinggi pada musim panas dan lebih rendah pada musim sejuk berbanding suhu udara lautan.Ini menghasilkan sonsangan suhu yang kecil di kawasan daratan pada musim sejuk dan di kawasan lautan pada musim panas.
Hasil kerja: Nur Hidayah, Nadiah, Erna Suzana 6AA KHS 2010

3 comments:

Min Wa Ni said...

Cadangan jawapan yg diberikan amat membantu sy.Terima kasih.

Kuba said...

Terpadu tq

Unknown said...

Bermannfaat..tq