Followers

Carian dalam Blog ini

21 July 2010

Bekalan Air Di Selangor, KL Dan Putrajaya Membimbangkan: Syabas

21 Julai, 2010 13:53 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Jumlah bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak cukup untuk menampung keperluan dan permintaan yang semakin meningkat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Ruslan Hassan yang menyifatkan keadaan itu sebagai sangat membimbangkan.

Beliau berkata jumlah kapasiti bekalan air di ketiga-tiga kawasan itu hanyalah sebanyak 4,326 juta liter sehari (JLH) berbanding purata pengeluaran sebanyak 4,086 JLH bagi tempoh 1 Jun hingga 11 Julai lepas.

"Ini menunjukkan hanya terdapat rizab kapasiti bekalan sebanyak 240 JLH atau 5.9 peratus sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata dengan peningkatan keperluan sebanyak empat peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, rizab bekalan air yang sedikit itu akan semakin berkurangan dan meruncing.

"Keadaan ini sangat membimbangkan sekiranya berlaku kemarau panjang atau pencemaran sumber air mentah di kawasan takungan ataupun sungai-sungai yang boleh menyebabkan penutupan loji air," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam dilaporkan berkata bahawa bekalan air di negeri berkenaan adalah mencukupi sehingga tahun 2019.

Ruslan berkata Syabas sedang menghadapi kesulitan untuk menampung keperluan bekalan air terutama selepas berlaku gangguan, iaitu untuk memulihkan kembali bekalan, kerana rizab kapasiti yang terhad dan keperluan puncak yang meningkat akibat gangguan tersebut.

Beliau juga menjelaskan beberapa loji air telah dipaksa beroperasi dalam keadaan jauh melebihi kapasiti reka bentuk asal sejak beberapa tahun lepas tanpa henti untuk menampung keperluan pengguna.

Ia termasuk Loji Sungai Langat dengan kapasiti 386 JLH telah sentiasa beroperasi pada tahap 450 JLH dan Loji Air Semenyih dengan kapasiti 565 JLH beroperasi pada lingkungan 580-620 JLH.

"Hal ini menyebabkan loji-loji tidak dapat diselenggara pada waktu yang sepatutnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan bekalan. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan kesan jangka panjang," kata Ruslan.

Beliau berkata fakta-fakta bekalan air itu telah dimajukan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk tindakan selanjutnya.

"Syabas sedia memberi penerangan kepada mana-mana pihak agar (mereka ini) lebih bersedia sekiranya berlaku krisis bekalan," katanya.

-- BERNAMA

No comments: