Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

29 July 2010

Pasukan Khas Diwujud Kaji Kelakuan Bakteria Melioidosis, Leptospirosis

29 Julai, 2010 19:46 PM

KUANTAN, 29 Julai (Bernama) -- Satu pasukan khas akan diwujudkan bagi mengkaji tindak laku bakteria Melioidosis dan Leptospirosis, terutama di tiga daerah berisiko di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang Datuk Hoh Khai Mun berkata, berdasarkan laporan pakar perubatan, tiga daerah tersebut iaitu Jerantut, Lipis dan Maran pernah mempunyai kes jangkitan wabak itu.

"Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk mewujudkan pasukan berkenaan melalui Jabatan Kesihatan Pahang, untuk melakukan kajian menyeluruh terhadap kelakuan bakteria itu dan kawasan-kawasan yang berisiko," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah F&N Beverages dan Majlis Perbandaran Kuantan di sini Khamis.

Beliau berkata pasukan itu akan disertai seorang pakar bakteria Universiti Islam Antarabangsa.

Hoh berkata hasil kajian akan membolehkan pihaknya mengambil langkah awal bagi mengelak wabak itu daripada berulang.

Bagaimanapun Hoh berkata pasukan itu hanya beroperasi setelah kes jangkitan di Hutan Lipur, Lubuk Yu, Maran kembali normal.

Setakat ini, tujuh kematian dicatat melibatkan anggota operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di pusat rekreasi tersebut hujung bulan lepas.

Seorang remaja berusia 15 tahun dari Bentong dilaporkan maut pada 21 Julai lepas akibat jangkitan bakteria Melioidosis selepas cedera di lutut kiri ketika bermain bola sepak di padang sebuah sekolah di daerah itu.

Kematian mangsa, Ng Wai Kin, yang juga pesakit kencing manis, dilaporkan tiada kaitan dengan kes yang berlaku di Lubuk Yu kerana dia tidak pernah berkunjung ke situ.

Sehubungan itu, Hoh menasihatkan orang ramai agar tidak panik, namun golongan yang berisiko, terutama pesakit kencing manis, diingatkan supaya mendapatkan rawatan segera, jika mengalami simptom jangkitan wabak itu.

Katanya, kesemua mereka yang meninggal dunia setakat ini disahkan menghidap penyakit kencing manis.



-- BERNAMA

No comments: