Followers

Carian dalam Blog ini

06 July 2010

Tanah Lembap Penting Untuk Survival Manusia

06 Julai, 2010 11:01 AM

Oleh Sakina Mohamed

Bahagian akhir daripada siri dua bahagian mengenai tapak- tapak Ramsar di Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Jika anda berpendapat bahawa tanah lembap tidak mempunyai kaitan dengan survival kita, cuba fikirkan semula.

Tanah lembap bertindak sebagai loji rawatan semulajadi bagi bahan cemar semulajadi dan yang terhasil daripada tindakan rakus manusia. Bukan itu sahaja, ia boleh mengekstrak nutrien daripada air tercemar atau udara.

Jadi apa semuanya ini ada kena mengena dengan manusia? Pertamanya, dengan menapis udara kotor dan air, ia akan dapat memastikan manusia mendapat udara dan air bersih secara berterusan.

Oleh itu, kemusnahan tanah lembap pastinya akan menjejaskan kesejahteraan dan kedudukan kewangan sesebuah negara.

Pemuliharaan ekosistem tanah lembap bukan sahaja perlu bagi bekalan air lestari tetapi juga dalam memulihara biodiversiti.

APA ITU TANAH LEMBAP?

Seorang saintis alam sekitar Dr Nather Khan Ibrahim berkata terma tanah lembap lazimnya meliputi badan-badan air kekal atau sementara atau kawasan lembap yang terdapat di pedalaman, pesisir dan wujud sebagai habitat tersendiri.

Di Malaysia, antara tanah lembap ini ialah hutan paya air tawar, hutan paya gambut, paya bakau pesisir dan muara, sungai dan tasik semulajadi, dataran banjir (muara), dan kawasan pesisir, kata Dr Nather Khan, bekas penyelaras Biro Tanah Lembap Asia bagi Malaysia dan Asia Tenggara.

Penggunaan tanah lembap yang menjadi kebiasaan ialah bagi pengangkutan air, rekreasi, pelancongan dan pembiakan ikan. Bagaimanapun, Dr Nather Khan berkata tanah lembap ini mempunyai beratus-ratus kegunaan, nilai dan fungsi.

"Setiap tanah lembap mempunyai tanah, air, tumbuhan dan haiwan yang unik dalam ekosistemnya. Setiap satu boleh diklasifikasi kepada tiga komponen berdasarkan kepada produk, fungsi dan ciri-cirinya," kata beliau dalam satu temubual bersama BERNAMA.

Tanah lembap yang diklasifikasi di bawah produk menghasilkan sumber-sumber seperti balak, ubat-ubatan, damar, madu dan buah-buahan. Mereka juga menyediakan sumber makanan bagi hidupan liar, menampung biodiversiti, menyediakan tempat perlindungan dan sehinggakan bagi tujuan mewujudkan pemandangan indah.

Ada yang menyediakan tapak pembiakan ikan, sementara yang lain pula menyediakan sumber makanan ternak, sumber pertanian serta bekalan air.

PENTING BAGI KEHIDUPAN

Sementara itu, mereka yang diklasifikasi di bawah fungsi adalah penting bagi kehidupan kita. "Tanah lembap ini membantu mengitar air bawah tanah, yang membantu dalam mengawal banjir, menstabilkan garis pesisir dan mengawal hakisan tanah."

Ramai pasti kagum apabila mengetahui bahawa tanah lembap memainkan peranan besar dalam melindungi manusia daripada kesan perubahan iklim. Tanah lembap ini menawarkan perlindungan daripada ribut, tsunami di samping bertindak sebagai pemecah angin dan sehinggakan membantu dalam menstabilkan iklim setempat.

Tanah lembap yang diklasifikasi berdasarkan kepada ciri-ciri memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepelbagaian biologi, dan merupakan habitat bagi tumbuh-tumbuhan serta haiwan yang jarang boleh ditemui dan adalah unik bagi budaya dan warisan negara.

Haiwan seperti harimau, tenuk dan buaya hidup eksklusif di tanah lembap di Malaysia, begitu juga dengan spesies flora tertentu yang tidak boleh ditemui di mana-mana tempat lain.

Oleh itu tanah lembap akan memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan manusia termasuk kualiti kehidupan, sumber-sumber semulajadi, bekalan makanan dan air.

"Kemusnahannya boleh juga menjejaskan dengan teruk terhadap iklim kita," kata Dr Nather Khan.

CABARAN DALAM MEMULIHARA TANAH LEMBAP

Terdapat enam tapak Ramsar di Malaysia dengan yang terbesar terletak di Sabah meliputi 78,000 hektar. Yang lain pula ialah Taman Tanah Lembaga Negara Kuching (Sarawak), Pulau Kukup (Johor), Sungai Pulai (Johor), Tanjung Piai (Johor) dan Tasek Bera (Pahang).

Dr Nather Khan, yang merupakan seorang daripada anggota pasukan yang membantu dalam memula dan menggerakkan kesemua persiapan yang perlu untuk mengiktiraf Tasek Bera sebagai tapak Ramsar yang pertama di Malaysia, berkata terdapat beberapa cabaran dalam melindungi tanah lembap negara ini.

Pencerobohan dan pemugaran haram oleh masyarakat tempatan serta penguatkuasaan lemah oleh agensi-agensi kerajaan merupakan antara isunya, jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, dua daripada masalah utama dalam memulihara tanah lembap negara ini ialah pemugaran tanah bagi tujuan perladangan dan akuakultur.

Daripada segi perladangan, ladang dan kilang kelapa sawit banyak menyumbang kepada kemusnahan ekoran pencemaran besar daripada sisa pertanian dan kimia.

"Pelepasan berterusan efluen kilang minyak sawit, yang mengandungi kadar tinggi BOD (permintaan oksigen biokimia), COD (permintaan oksigen kimia), amonia dan komponen-komponen nutrien menjejaskan kualiti air serta ciri-ciri tanah di tanah lembap," kata Dr Nather Khan.

Walaupun tanah lembap lazimnya boleh bertahan terhadap pencemaran semulajadi, ia hanya boleh menampung tahap tertentu gangguan manusia.

Bagaimanapun, pencemaran besar-besaran dari kilang minyak sawit boleh menyebabkan 'eutrophication' iaitu peningkatan dalam nutrien mineral dan organik yang menggalakkan pertumbuhan hidupan akuatik, khasnya alga, yang mengurangkan kandungan oksigen terlarut dalam air dan seringkali menyebabkan kepupusan mikro-organisme lain.

PENCEMARAN DARI LADANG SAWIT

Kesan domino daripada kemusnahan ini membawa kepada perubahan keseluruhan tanah lembap semulajadi kepada habitat generasi baru tanpa produk, fungsi dan ciri-ciri seperti yang sebelumnya.

Dr Nather Khan berkata kilang-kilang minyak sawit tidak sepatutnya melepaskan efluen ke tapak-tapak Ramsar ataupun mana-mana tanah lembap lain, memandangkan kawasan itu seharusnya bebas daripada sebarang campurtangan dan pencemaran manusia.

"Tetapi syarikat-syarikat yang terbabit mungkin cuba mewajarkan tindakan mereka dengan berkata bahawa bahan cemar itu telah diproses untuk dilepaskan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar."

Memandangkan peranan penting tanah lembap dalam kehidupan, Malaysia perlu memberi lebih perhatian akan banyak mana pembangunan yang ia boleh benarkan di kawasan-kawasan tanah lembap.

Apa gunanya memusnahkan satu sumber yang begitu canggih serta bernilai dan telah menjadi warisan kita selama beribu-ribu tahun hanya demi keuntungan jangka pendek? Jawapannya bukan sukar.

-- BERNAMA

No comments: