Followers

Carian dalam Blog ini

26 July 2010

Wabak denggi pada tahap bahaya

KUALA LUMPUR 25 Julai – Wabak denggi di seluruh negara kini berada pada tahap bahaya berdasarkan 91 korban yang dicatatkan dalam tempoh lebih enam bulan tahun ini berbanding hanya 88 korban sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, statistik semasa menunjukkan terdapat tujuh kematian akibat denggi dalam tempoh seminggu lalu.

“Ini merupakan satu amaran penting untuk semua supaya menjaga kebersihan keadaan sekeliling termasuk di dalam rumah bagi memastikan tiada ruang untuk pembiakan nyamuk aedes di tempat berisiko.

“Berdasarkan jumlah kes tersebut, adalah tidak mustahil kes kematian membabitkan demam denggi akan terus bertambah sekiranya tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Jacob’s Walk of Life di Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Kepong hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kraft Foods Malaysia dan Singapura, Dieter Schulz.

Rosnah berkata, tanpa kerjasama semua pihak khususnya daripada masyarakat dalam menjaga kebersihan kawasan perumahan mereka, segala usaha kerajaan untuk memerangi denggi tidak akan berkesan.

Beliau berkata, aktiviti gotong-royong perlu dipertingkatkan di semua kawasan perumahan agar kawasan itu tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Pihak berkuasa juga akan terus melakukan pemantauan di semua kawasan perumahan yang berpotensi tinggi,’’ katanya.

Tambah Rosnah, sehingga April tahun ini, jumlah kompaun yang telah dikeluarkan kepada mereka yang didapati ‘membiakkan’ nyamuk mencecah RM1.4 juta.

Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih peka dengan wabak demam denggi serta perlu serius dalam mengambil langkah mencegah penyakit itu daripada terus merebak.

No comments: