Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

26 July 2010

Melaka Fokus Jadi Negeri Hijau Menjelang 2020

23 Julai, 2010 20:01 PM

MELAKA, 23 Julai (Bernama) -- Melaka kini fokus untuk menjadi "Negeri Hijau" menjelang tahun 2020 setelah hasrat menjadi negeri maju bakal tercapai pada Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi hijau dan menjadi negeri yang kaya dengan khazanah flora dan fauna dalam tempoh 10 tahun tersebut.

"Kita sudah mulakan banyak usaha untuk menjadi "Negeri Hijau" seperti projek Solar Valley di Rembia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Landskap Negara peringkat negeri di Ayer Keroh di sini, hari Jumaat.

Mohd Ali berkata antara manfaat yang bakal diperolehi ialah pengurangan pelbagai jenis kos jangka panjang seperti kos penjanaan tenaga elektrik yang boleh dikurangkan sehingga 30 peratus sekiranya menggunakan tenaga diperbaharui.

Katanya rakyat akan memperoleh persekitaran yang lebih bersih, tempat tinggal yang selesa dengan pengekalan pelbagai jenis tumbuhan. Mohd Ali berkata pembangunan teknologi hijau dan pengekalan flora dan fauna perlu seiring contohnya pembinaan empangan hidro elektrik perlu dilakukan tanpa membinasakan khazanah flora dan fauna di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya usaha tersebut mempunyai beberapa kesukaran seperti teknologi tenaga diperbaharui sekarang tidak mampu menampung sepenuhnya keperluan tenaga elektrik di negeri itu dan antara penyelesaian yang difikirkan ialah pengunaan tenaga nuklear.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri mensasarkan untuk menanam sebanyak 20,000 pokok di negeri ini tahun ini dan setakat Jun lepas sebanyak 19,257 pokok telah ditanam oleh empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya dalam tempoh tersebut, sebanyak 7,000 pokok telah ditanam oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (7,100), Majlis Perbandaran Alor Gajah (3,000) dan Majlis Perbandaran Jasin (2,157).

Beliau berkata usaha ini merupakan sebahagian daripada konsep bandaraya dalam taman dan dengan pembinaan taman-taman sebagai tempat rekreasi boleh menggalakkan rakyat negeri itu menjalankan aktiviti sihat dan mengukuhkan perpaduan di kalangan mereka.

-- BERNAMA

No comments: