Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

13 July 2010

Malas Punca Kegagalan

DALAM menempuh hidup yang serba mencabar, tidak dinafikan ada segelintir daripada kita yang akan ketinggalan.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kegagalan. Antaranya tidak mempunyai tujuan hidup, kurangnya keyakinan, tidak berdisiplin dan tidak berani mengambil risiko.

Namun, faktor utama mungkin boleh dikaitkan dengan sifat malas. Perasaan itu wujud seiring dengan keengganan kita melakukan sesuatu tugas dan suka menunda kerja. Seterusnya, melarikan diri daripada kewajipan.

Implikasi yang diberikan oleh perasaan ini amat kuat. Apabila satu perasaan itu terdetik di hati secara langsungnya akan mempengaruhi fikiran dan fizikal kita. Keadaan ini akan menjadi teruk sekiranya rasa tersebut dilayan dalam jangka masa yang lama. Pengaruhnya amat kuat dalam memberi impak kepada kejayaan seseorang.

Keselesaan kita berada dalam sesuatu lingkungan atau zon membuatkan sukar untuk kita keluar melakukan perubahan. Seharusnya kita harus membuka mata dan melihat kerana motivasi itu ada di mana-mana sahaja.

Lihatlah pada kerajinan yang ditunjukkan oleh seorang pengutip sampah dan pemandu bas. Mereka sanggup melakukan kerja bertahap rendah kerana sudah tiada pilihan untuk melakukan tugas yang bertaraf hebat. Bukankah mereka lebih baik daripada golongan malas yang menunggu bulan jatuh ke riba?

Sehubungan itu, seorang individu yang masih dibuai perasaan malas harus mengaplikasikan faktor persekitaran mereka sebagai penyuntik motivasi.

Mungkin panduan yang disenaraikan ini mampu digunakan oleh remaja dan pekerja untuk terus menongkah arus perdana yang semakin sengit persaingannya.

1Menetapkan tujuan: Orang malas tidak memiliki motivasi untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih baik. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai tujuan atau matlamat hidup yang nyata dan jelas. Keadaan ini hanya mengakibatkan kehidupan mereka terumbang-ambing dan menjadi pasif, seterusnya cenderung menyerahkannya kepada nasib.

Dengan itu, kehidupan yang kita dijalani akan berasa bosan. Jika diamati, tujuan hidup ini mampu menyentuh emosi dan mencetuskan perasaan untuk berbuat sesuatu. Secara tidak langsung mendorong dan membakar semangat manusia agar berjaya. Setiap manusia yang diciptakan itu adalah unik sama ada dalam aspek minat, kecenderungan, kebolehan, cara berfikir dan bertindak.

Sehubungan itu, tetapkan apa tujuan hidup anda dan mulakan langkah yang berani.

2Berani hadapi ketakutan: Orang yang malas juga boleh dikaitkan dengan mereka yang takut menghadapi kegagalan. Ia disebabkan mereka berasa malu dan kurang keyakinan untuk mendepani masalah yang dihadapinya.

Berani menghadapi risiko untuk meraih kejayaan dalam hidup adalah penting bagi setiap individu. Setiap perjuangan perlu disertai dengan risiko.

Di saat anda dihantui perasaan cemas dan takut, seharusnya jangan melarikan diri tetapi menghadapi dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri. Gunakan masa silam kita sebagai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan. Kata orang, alah bisa tegal biasa.

3Meningkatkan kemampuan diri: Untuk terus memangkin kejayaan seharusnya kita perlu terus berlatih dan berusaha meningkatkan kemampuan diri. Berada dalam keadaan yang sama hanya mengakibatkan produktiviti dan motivasi untuk berjaya semakin berkurang.

Belajar adalah kunci untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya kita terus tekun, secara langsung kemampuan kita juga akan meningkat. Semangat ketekunan itu boleh terus membara jika anda menyemat dalam fikiran dengan kata-kata 'saya ingin dan mahukan perkara tersebut'.

Contohnya, jika kita ingin menjadi perunding cara, maka fokuskan kelakuan kita ke arah tersebut dengan mengasah kemampuan, mendiagnosis masalah, mencari penyebab, menganalisis, menyediakan jalan penyelesaian dan memperbaiki kemampuan berkomunikasi.

4Disiplin diri: Disiplin melatih seseorang mengawal kelakuan mereka untuk berjaya. Ia menggabungkan sikap sabar, berorientasi matlamat dan tanggungjawab dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara yang perlu ada dalam pemikiran seseorang dalam mencapai tahap disiplin yang tinggi adalah kekuatan dalam melawan segala dugaan.

Golongan berdisiplin adalah mereka yang menghormati janji dan komitmen yang telah dibuat dalam diri mereka. Sikap begini secara langsung membina semangat kemahuan yang tinggi, pergorbanan, tumpuan, sikap terbuka dan mencabar minda mereka untuk mencapai apa yang diingini.

5Lingkungan positif: Jika perasaan malas mulai muncul dalam diri anda, jangan terus berdiam diri. Langkah terbaik dalam menghilangkan perasaan tersebut adalah dengan menghampiri orang yang sedang tekun dan bersemangat melakukan sesuatu.

Dekati mereka yang sedang bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka. Berada dalam lingkungan golongan yang mempunyai arah hidup, optimis dan motivasi diri secara tidak langsung akan menginspirasi dan menimbulkan semangat yang membuak-buak untuk terus berada dalam landasan yang betul.

Sumber: Kosmo 13/7/2010

No comments: