Followers

Carian dalam Blog ini

14 July 2010

Tiga lagi mangsa kencing tikus

Tiga lagi mangsa kencing tikus

KUANTAN 13 Julai – Tiga lagi penduduk dimasukkan ke Hospital Jengka tengah malam tadi kerana disyaki dijangkiti kuman leptospirosis (air kencing tikus) dan meliodosis (kuman dari air dan tanah) di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran.

Bagaimanapun, kesemua mangsa terbaru tersebut dilaporkan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Ho Khai Mun berkata, sehingga kini hanya seorang iaitu mangsa terdahulu yang agak kritikal dan masih dirawat di Hospital Selayang, Selangor.

Beliau meminta orang ramai tidak panik dengan kemasukan tiga lagi mangsa terbaru tersebut kerana keadaan mereka tidak membimbangkan.

‘‘Kami sentiasa membuat pemantauan terhadap mangsa-mangsa yang terdedah dengan risiko itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seramai enam lelaki meninggal dunia dalam tempoh seminggu akibat dijangkiti kuman itu selepas berkhemah semasa operasi menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu baru-baru ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Azizam Abdullah, 58; Timothy Hoo Seng Heng, 29; Lim Sin Lai, 55; Mohd. Ali Abdullah, 60; Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56, ketika menyertai operasi mencari mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam, 28, pada 26 Jun lalu.

Operasi menyelamat mangsa lemas itu disertai 83 individu termasuk anggota pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan bermula 26 Jun hingga 30 Jun lalu.

Khai Mun juga meminta semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu penularan kuman tersebut sehingga menimbulkan panik kepada masyarakat.

‘‘Orang ramai usah panik apabila ada lagi mangsa dimasukkan ke wad. Semua pihak diharap bertenang menghadapi situasi ini, tambahan pula keadaan masih lagi terkawal,” tegasnya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail ketika ditemui di sini berkata, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan menutup sementara Hutan Lipur Lubuk Yu selama dua bulan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan terbabit.

Ini kerana kata beliau, siasatan awal mendapati kematian enam lelaki terbabit berpunca daripada tanah, bukannya air sungai.

‘‘Kita dapati kawasan hutan lipur itu terlalu kotor dengan sampah sarap terutama plastik dan polisterin,” katanya.

Bagi tujuan itu juga tambah beliau, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf hutan lipur tersebut bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung.

No comments: