Followers

Carian dalam Blog ini

26 July 2010

Siasat punca penurunan ketara paras air Sungai Kelantan

KOTA BHARU 25 Julai - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menggesa kerajaan negeri menyiasat punca penurunan ketara paras air Sungai Kelantan sejak empat bulan lalu.

Ini kerana ia mengancam operasi tiga rumah pam utama miliknya dan menjejaskan penanaman padi serta masa depan lebih 54,000 keluarga petani di negeri ini.

Sambil menyifatkan keadaan tersebut sebagai 'tragedi', Pengerusi KADA, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan negeri perlu menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengkaji punca itu sama ada ia daripada aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah berskala besar yang tidak terkawal.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, paras air di stesen pam utama KADA iaitu Kemubu, Kasar dan Lemal berada di bawah paras kritikal iaitu di bawah paras 4.9 meter di Kemubu berbanding paras semasa 4.1 meter.

Sementara itu, katanya, paras kritikal rumah pam Kasar adalah 1.07 meter dan Lemal pula 1.6 meter, berbanding paras semasa air sungai 0.9 hingga 0.8 meter dan 1.0 hingga 1.05 meter.

"Punca berlakunya hendaklah disiasat. Kita menyeru oleh kerana soal sungai di bawah kuasa kerajaan negeri, satu badan atau pasukan perlu diwujudkan untuk membuat kajian mengenainya.

"Kita menjangkakan ini berlaku kerana sungai telah menjadi cetek dan punca sungai menjadi cetek secara mata kasarnya, adalah kerana banyaknya hakisan tanah berlaku di hulu sungai akibat pembalakan dan pembukaan tanah pada skala yang terlalu besar secara tidak terkawal.

"Itu adalah andaian yang kita nampak, bila tebing jadi tinggi, ertinya sungai jadi cetek aliran air sungai lari ke laut menjadi lebih cepat, ini penemuan kita setakat ini. Kalau hujan pun, air lariannya semakin deras ke laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Annuar berkata, fenomena tersebut akan memberi kesan ekonomi yang besar kepada KADA yang mengusahakan kira-kira 31,000 hektar tanaman padi melibatkan lebih 54,000 keluarga petani.

Tambahnya, masalah itu sekiranya tidak ditangani segera bukan sahaja menjejaskan operasi KADA, tetapi semua pihak termasuk Air Kelantan Sdn. Bhd. yang menggunakan air Sungai Kelantan sebagai sumber utama operasinya.

Utusan Online.

No comments: