Followers

Carian dalam Blog ini

12 July 2010

Selangor bakal hadapi krisis air

KUALA LUMPUR 11 Julai - Selangor bakal berdepan krisis air yang serius menjelang 2014 jika kerajaan negeri Selangor masih 'bermain politik' dengan Kerajaan Pusat berhubung isu pengurusan air di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain Selangor, krisis itu turut memberi kesan kepada Kuala Lumpur yang memperoleh bekalan air dari negeri berkenaan.

Menurut beliau, ketika Selangor berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), negeri itu bakal memperoleh bekalan air dari Pahang yang telah bersetuju sebelum ini.

"Namun, kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang sekarang telah mengarahkan majlis perbandaran dan Pejabat Tanah supaya jangan layan kerana ia projek Kerajaan Persekutuan.

"Soal bekalan air dari Pahang ke Selangor sudah lama diputuskan semasa pentadbiran BN dahulu. Kerajaan Pusat sudah bersetuju.

"Dari Pahang ke Selangor, kita hendak bina empangan dan loji rawatan air. Tetapi, apa yang dimaklumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, itu pun tidak dibenarkan. Dia (kerajaan pembangkang) keluarkan arahan supaya jangan bantu dan halang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Kata Muhyiddin, perkara membabitkan pengurusan air bukan suatu yang boleh dipermain-mainkan dan dijadikan 'permainan politik'.

"Jadi, kalau mereka buat keputusan begitu sehingga projek yang sepatutnya berjalan ikut jadual terhalang, sampai 2014, jika tidak siap, akan timbul masalah besar nanti.

"Dan saya hendak beritahu awal-awal, daripada Kerajaan Pusat, kita sudah ambil langkah-langkah tetapi jika kerajaan negeri mahu main politik dalam soal air, ini bahaya," tegasnya.

Kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, ketika berkempen semasa pilihan raya umum lalu, pembangkang di Selangor menguar-uarkan mengenai pemberian air percuma kepada rakyat.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas memerintah Selangor, pembangkang gagal dalam soal pengurusan pentadbiran kerajaan terutama melibatkan pembiayaan bekalan air.

"Kerajaan Selangor kini berdepan defisit dan tidak mampu untuk membayar kepada syarikat konsesi air setiap kali tarif air atau kos memproses bekalan air bersih meningkat.

"Mereka (kerajaan Selangor) dilaporkan terpaksa menanggung RM13 juta sebulan bagi memenuhi janji pemberian air percuma.

"Saya dengar daripada orang tertinggi, saya tidak perlu sebut siapa... kalau begini, bankrap negeri Selangor. Sehingga syarikat-syarikat hendak bekalkan air ini (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) pun berhadapan dengan masalah," katanya.

Beliau berkata, hal pengurusan air dibangkitkannya kerana tidak mahu rakyat menuduh Kerajaan Pusat bertanggungjawab jika timbul masalah nanti.

"Ini masalah serius. Rakyat akan tanggung derita. Saya hendak bagi amaran.

"Jadi, jangan salahkan Kerajaan Pusat kalau perkara ini tidak diselesaikan. Saya tidak mahu mereka (rakyat) tohmah Kerajaan Pusat. Sebenarnya, banyak halangan dan kekangan berlaku kerana kerajaan negeri bersikap tidak begitu proaktif untuk menyelesaikan masalah.

"Urusan air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerana melibatkan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), kita sama-sama hendak bantu supaya tidak menjadi krisis yang boleh membawa bencana serta kesusahan kepada rakyat termasuk pelabur asing," katanya.

No comments: