Followers

Carian dalam Blog ini

26 July 2010

Stesen Solar Hibrid Ubah Kehidupan Penduduk Di Pulau-Pulau Mersing

25 Julai, 2010 12:11 PM


Stesen solar Hibrid. (Dari kiri: Mohd Aminuddin dan Mohd Azhar) FotoBERNAMA: Ismail Abdullah
Laporan Khas Oleh Mohd Haikal Mohd Isa

JOHOR, 25 Julai (Bernama) -- Semenjak tahun 2004, kehidupan harian penduduk di Pulau Aur, pulau yang terletak paling jauh di luar perairan Mersing telah banyak berubah.

Malah kehidupan penduduk di pulau itu kini tidak banyak bezanya dengan penduduk di bandar-bandar besar negara ini, dengan siaran televisyen satelit, komputer, internet dan pelbagai kemudahan moden terkini.

Kesemua perubahan yang dikecapi oleh penduduk di Pulau Aur sejak enam tahun lepas berlaku berikutan wujudnya perkhidmatan bekalan elektrik 24 jam sehari oleh syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB menerusi anak syarikatnya, TNB-Energy Services Sdn Bhd (TNBES) berjaya menyelesaikan masalah bekalan elektrik di pulau-pulau Mersing seperti di Pulau Aur menerusi kaedah pembinaan stesen-stesen solar hibrid.

Stesen solar hibrid, yang hanya terdapat di Malaysia menggabungkan teknologi penjanaan kuasa solar, bateri dan set generator.

Bekalan elektrik yang dijana oleh stesen solar hibrid itu bukan sahaja telah berjaya meningkatkan keadaan sosio-ekonomi penduduk, tetapi juga telah merapatkan jurang digital di antara pelajar luar bandar dan bandar.

Contoh terbaik adalah murid-murid di Sekolah Kebangsaan Pulau Aur yang kini mengikuti pembelajaran dengan memanfaatkan komputer dan projektor LCD, sebagaimana yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka di sekolah-sekolah lain.

Menurut murid tahun tiga sekolah itu, Nur Aminah Salim, 9, mempelajari subjek kegemarannya menggunakan komputer dan projektor LCD adalah lebih menarik dan mudah untuk difahami.

"Belajar di sekolah sekarang ini lebih senang dengan menggunakan komputer dan projektor. Senang nak belajar guna komputer, dengan gambar kartun dan muzik. Saya suka belajar di sekolah," katanya.

Bagi rakan sebayanya Mohd Shukri Hamdan, 9, pula berkata dia sedikit sebanyak dapat menimba pengetahuan penggunaan komputer di sekolah.

"Adik suka guna komputer di sekolah, senang nak belajar," kata murid itu.

Guru sekolah berkenaan, Zamri Bakar, 28, berkata bekalan elektrik berterusan yang diterima oleh pulau terbabit membolehkan pihak sekolah menyediakan pelbagai kelengkapan moden bagi proses pembelajaran murid-murid.

"Tidak dapat dinafikan tanpa bekalan elektrik, pelbagai peralatan moden bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran murid-murid tidak dapat digunakan. Tidak ada beza murid-murid di sini dan di bandar lain," katanya.

Dengan adanya kemudahan bekalan elektrik sepanjang hari itu, pengusaha-pengusaha pelancongan di Kampung Teluk Berhala di pulau ini turut merasai kesannya dengan jumlah kedatangan pelancong ke pulau itu semakin meningkat.

"Dengan adanya bekalan elektrik, pelancong dalam dan luar negara tertarik untuk menginap di Pulau Aur dan ini secara langsung memberi faedah ekonomi kepada kami, pengusaha pelancongan," menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai "Pak Atan."

Perairan Pulau Aur yang terkenal dengan batu karangnya berwarna-warni dan kehidupan marinnya, kini semakin terkenal di kalangan masyarakat penyelam dalam dan luar negara.

Pemangku Pengarah Urusan TNBES Ir Mohd Azhar Abdul Rahman yang turut serta di dalam tinjauan di Pulau Aur itu berkata, TNB menerusi anak syarikatnya, TNBES setakat ini telah membina lapan buah stesen solar hibrid di lima buah pulau di Mersing.

Pulau-pulau terbabit termasuk Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Sibu Besar dan Pulau Tinggi.

"Lebih daripada 1,000 penduduk di pulau-pulau perairan Mersing itu menikmati bekalan elektrik 24 jam yang dihasilkan oleh stesen-stesen solar hibrid itu. Ia telah berjaya mengubah kehidupan dan kedudukan sosio-ekonomi mereka," katanya.

Menurut beliau, sejak 2001 TNBES telah berjaya membina 30 buah stesen solar hibrid di seluruh negara, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman dengan keseluruhan kuasa penjanaan elektrik mencecah empat megawatt.

Katanya, tanggungjawab sosial TNB itu telah membawa kakitangan syarikat menjelajah ke seluruh pelosok negara daripada pulau-pulau terpencil seperti Pulau Aur dan Pulau Banggi di Sabah sehingga perkampungan masyarakat Orang Asli.

-- BERNAMA

No comments: