Followers

Carian dalam Blog ini

16 July 2010

Memulihara Biodiversiti Menerusi The Green Connection

16 Julai, 2010 11:36 AM

Oleh Kristy Inus

KOTA KINABALU, 16 Julai (Bernama) -- Lima tahun yang lepas ia adalah sebuah kawasan paya kosong tetapi kini menjadi tempat kediaman kepada lebih 1,200 spesies semulajadi mewakili biodiversiti Borneo yang kaya, daripada ikan jerung dan ikan pari hinggalah ular dan katak.

Kawasan paya ini hari ini adalah sebahagian daripada The Green Connection, sebuah akuarium dan pusat penemuan sains yang membuka pintu kepada orang ramai pada Mei lepas.

Ia lebih daripada taman tema eko yang lazim diusahakan oleh perbadanan-perbadanan yang berorientasi keuntungan, ia sebuah pusat konservasi dan pendidikan yang ditubuh dan dikendalikan oleh pakar-pakar konservasi dan Yayasan Sabah.

Berada lebih kurang 2.5km dari pusat bandar raya, pusat ini berusaha meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dengan mempamerkan biodiversiti marin dan daratan yang terdapat di Borneo dan ancaman yang dihadapi mereka serta keperluan untuk memulihara biodiversiti.

Para pelawat yang datang ke sini akan meredah ekosistem-ekosistem yang boleh didapati di Borneo dan meneroka khazanah semulajadi yang terkandung di dalamnya.

BAGAIMANA IA BERMULA

Prof Steve Oakley, seorang ahli biologi marin sejak 25 tahun yang lepas, adalah antara perintis di pusat itu. Oakley, yang merupakan pengarah teknikal pusat itu dan berasal dari England, telah bermastautin ke Malaysia sejak 15 tahun yang lepas, dan sehingga kini pernah bertugas di 28 buah negara.

"Beberapa tahun yang lepas, ahli-ahli konservasi yang bertugas di bawah saya di Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjalankan pelbagai kajian terhadap kemusnahan batu karang di Sabah dan Sarawak.

"Apabila kami menemui punca masalah itu, kami mula mencari jalan penyelesaiannya. Dan jalan penyelesaiannya ialah untuk mewujudkan kawasan-kawasan marin yang dilindungi...tetapi itu tugas pihak berkuasa seperti mengawal kaedah penangkapan ikan yang membawa kemusnahan, bukan peranan sebuah NGO," kata beliau semasa temubual dengan Bernama.

"Jadi kami menggunakan satu pendekatan lebih kurang sama dengan pendekatan yang diambil oleh World Wide Fund for Nature (WWF), di mana kami mula memberi nafas baru bagi batu karang, menyelamatkan jerung, pari dan ular...jadi langkah logik yang berikutnya ialah untuk membuka sebuah kemudahan konservasi seperti yang anda lihat di sini, hari ini," tambah beliau.

BUKAN TUGAS MUDAH

Bagaimanapun, ia bukan tugas yang mudah dan mengambil tempoh lima tahun untuk menyiapkannya serta mengumpul wang sebanyak RM12 juta bagi projek ini.

Mereka bernasib baik kerana dapat menemui rakan dengan objektif yang sama, iaitu Yayasan Sabah (YS) yang kini merupakan pemegang utama saham bagi Aquatica Aquarium and Discovery Centre Sdn Bhd, syarikat yang memiliki The Green Connection.

"Kami mencari rakan dengan objektif yang sama untuk mengasaskan pusat ini. Objektif utama YS ialah pendidikan, objektif kami juga ialah pendidikan, jadi kami bersetuju sepenuhnya," kata Oakley.

Seperti objektif teras yayasan itu, pusat ini juga mahu membantu membasmi kemiskinan dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada pemuda-pemudi Sabah yang tidak mempunyai kelayakan dan berasal dari pedalaman.

"Sekarang ini, kita mempunyai kira-kira 80 pemuda-pemudi Sabah yang sedang bekerja bersama kita. Malahan kami menghantar beberapa daripada mereka untuk bekerja di akuarium-akuarium seluruh dunia bagi menimba pengalaman," tambah beliau.

APA YANG MENARIK MENGENAI THE GREEN CONNECTION

Berbalik kepada The Green Connection, Oakley berkata akuarium di situ adalah berlainan daripada yang terdapat di Kuala Lumpur, Langkawi atau Sentosa (Singapura), memandangkan tumpuan utama ketiga-tiga akuarium itu lebih kepada hiburan dan bukan konservasi atau pendidikan.

"Kami hanya membangunkan satu hektar tanah sahaja untuk akuarium ini tetapi mempunyai tangki terumbu karang terbesar di Asia Tenggara, dan akuarium ini mempunyai jendela paparan terbesar di Malaysia.

"Aquaria KLCC mempunyai terowong-terowong yang cantik tetapi kami mahu jendela paparan yang besar dan koridor besar supaya dapat memberi penerangan kepada kumpulan besar pelajar bagi tujuan pendidikan. Anda tidak boleh melakukannya dalam terowong kerana ruangnya sempit. Akuarium-akuarium pula tidak ditempatkan dalam bangunan jadi batu karang kami dalam akuarium tumbuh dengan baik," jelas beliau.

Oleh kerana matlamat utama ialah meningkatkan kesedaran, The Green Connection menawarkan pakej pendidikan tiga jam pada harga menarik, iaitu RM5 bagi setiap pelajar. Maklumat lanjut mengenai pusat ini boleh didapati di www.the-green-connection.com.

Oakley juga mendedahkan bahawa pihaknya sedang mempertimbang idea untuk menubuh pusat seumpama tetapi pada skala yang lebih kecil di Tawau atau Semporna tidak lama lagi.

"Kami mungkin membina yang lain, kami berminat untuk menubuhkan pusat-pusat lebih kurang sama di Tawau atau Semporna, kerana banyak daripada kanak-kanak sekolah di kawasan itu tidak mempunyai akses ke pusat utama di sini," tambah beliau.

MEMULIHARA BIODIVERSITI

"Kami banyak melakukan kerja-kerja kebajikan bagi haiwan," kata Oakley secara berseloroh.

Tetapi sejauh mana kumpulan ini telah berusaha untuk menyelamatkan spesies-spesies yang diancam kepupusan tidak boleh dipandang remeh.

The Green Connection membeli ikan, jerung dan pari daripada nelayan sebagai usaha menyelamatkannya daripada menjadi makanan manusia selain cuba membiakkannya.

Contohnya, pasukan beliau pernah menukar seekor babi hutan dengan seekor penyu yang sepatutnya menjadi hidangan untuk jamuan perkahwinan.

"Semasa kami membeli ikan pari daripada nelayan ini, kami terlihat seekor penyu agar dalam sangkar yang menurut nelayan itu akan dijadikan hidangan majlis perkahwinan.

"Kami beranggapan adalah lebih baik jika penyu agar ini dibawa ke sini untuk dibiak, jadi kami membeli seekor babi hutan dan menukarnya dengan penyu itu...Apa yang kita perlu buat ialah bayar lebih sedikit untuk mencegah hidupan ini berakhir dalam kuali masak," kata Oakley.

ULAR DAN JERUNG JUGA PERLU BANTUAN

Oakley berkata beliau dan rakan-rakan konservasi juga merawat ular yang mengalami kecederaan dan berpenyakit. Mereka melepaskan semula ular jantan ke dalam hutan tetapi menyimpan ular betina sehingga ia bertelur.

"Jadi banyak perkara menarik di sini, kami membiak ular laut, biawak, kura-kura dan jerung tetapi masih belum mula membiak ikan pari," kata beliau dengan menambah kata bilangan ikan pari sedang meningkat perlahan-lahan.

Lagipun, pusat ini kini membuat persiapan untuk menempatkan jerung serta pari air tawar yang boleh ditemui di sungai Kinabatangan - yang jarang dapat dilihat sekarang ini oleh kerana bilangannya yang terus merosot.

"Kami masih belum menemui jerung Kinabatangan, dan pari dari sungai itu di mana-mana akuarium sejauh yang kami tahu.

"Kami berhasrat untuk membelinya daripada nelayan yang menangkapnya hidup .... Nelayan pasti gembira untuk menjualnya kepada kami, jadi ia satu keadaan yang saling menguntungkan," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments: