Followers

Carian dalam Blog ini

10 July 2010

Sikap acuh tak acuh pembeli rumah boleh undang padah

Oleh Ratinawati Rasidi

2010/07/10

KEBANYAKAN pembeli rumah di negara ini berhadapan masalah sebelum atau selepas rumah siap. Ini natijahnya jika mereka kurang berhati-hati atau tidak mempunyai pengetahuan cara membeli rumah. Membeli rumah bukan seperti memilih ikan di pasar atau memesan pizza melalui telefon. Pelbagai proses perlu dihalusi sebelum membuat keputusan melaburkan wang disimpan bertahun-tahun lamanya.

Memang wang menjadi pertimbangan pertama tetapi pastinya ramai kalangan pengguna kurang ambil berat proses berkaitan. Ini termasuk menyelidik latar belakang pemaju, kemampuan kewangan syarikat, lesen pemaju yang sah, latar belakang lembaga pengarah, lokasi pejabat, rekod projek yang berjaya, lesen pengiklanan yang sah dan sebagainya. Di samping pemilihan lokasi, pelanggan perlu mengambil tahu soal reka bentuk rumah, bahan binaan yang digunakan, kemudahan asas, persekitaran dan perkara lain berkaitan.

Kebanyakan maklumat mengenai hak dan panduan membeli rumah boleh didapati dengan melayari laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Orang ramai juga boleh datang terus ke pejabat untuk meminta nasihat. Banyak maklumat boleh dijadikan rujukan sebelum anda membuat keputusan membeli rumah.

Namun, masih ramai tidak mahu memanfaatkan kemudahan itu pada peringkat awal tetapi hanya berbuat demikian selepas diri tersepit. Kerana terlalu ghairah hendak memiliki sebuah rumah akhirnya menanggung kerugian sebelum rumah sempat didiami.

Ramai yang hanya tahu menandatangani surat perjanjian tanpa memahami isi kandungan perjanjian dan tanggungjawab sebagai pembeli rumah. Bukan setakat rumah, malah tapak tanah juga perlu diketahui statusnya supaya tidak menjadi sesalan di kemudian hari.

Banyak masalah serius sering dipaparkan dalam media berhubung pembelian rumah. Ada yang mengadu rumah terbengkalai, retak, masalah ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) dan sebagainya.

CF antara perkara penting perlu diteliti pembeli. Pembeli perlu memastikan apa yang diluluskan adalah selari dengan syarat ditetapkan. Sikap acuh tak acuh sesetengah pembeli pasti mengundang padah.
Apa yang dihadapi penduduk Pangsapuri Sri Aman, Taman Sea, Petaling Jaya seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini boleh jadi pengajaran. Pembelinya mendakwa sijil yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah palsu menurut mereka kerana tapak pangsapuri dikatakan tidak berada pada kedudukan seperti dalam pelan asal dan kemudahan utama seperti pili bomba tidak berfungsi. Lebih menyedihkan, apabila lapan unit alat pemadam api yang disediakan tetapi hanya satu yang boleh digunakan.

Penduduk juga mendakwa, mereka terpaksa berkongsi loji kumbahan dengan bakal penduduk kondominium yang baru dibina bersebelahan. Semua masalah ini berbangkit selepas penduduk menyedari wujudnya bangunan baru dan usaha tuntutan insurans kebakaran rumah seorang daripada mereka gagal dibuat kerana dokumen status strata tidak disertakan bersama.

Menurut penduduk, cubaan untuk mendapatkan dokumen itu daripada pihak pengurusan pangsapuri gagal dan hanya dimaklumkan dokumen itu tidak ada.
Itu dakwaan penduduk tetapi sejauh manakah mereka benar-benar memahami setiap apa yang terkandung dalam perjanjian mahupun pelan?

Pegawai Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata proses pengeluaran CF bukan perkara mudah kerana membabitkan beberapa prosedur dan pihak agensi teknikal seperti Syarikat Bekalan Air Selangor, Tenaga Nasional, Jabatan Pembetungan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain.

“Pada peringkat MBPJ, kelulusan bahagian landskap, kesihatan, kejuruteraan dan bangunan turut diambil kira. Jika terdapat teguran daripada mereka, pemaju akan diberi peluang membuat pembetulan berdasarkan pelan asal dan kelulusan ditetapkan,” katanya.

Antara syarat PBT kepada pemaju ketika kelulusan pelan bangunan bagi keperluan asas seperti jalan akses, landskap, tempat letak kereta, parit, air dan elektrik, lif, pili bomba, pembetungan serta pembuangan sampah dan lain-lain perlu disediakan. Syarat tambahan seperti pembayaran sumbangan bagi infrastruktur, hal tanah seperti kelulusan pelan bangunan juga perlu dipatuhi.

Sebelum CF dikeluarkan, PBT turut melakukan pemeriksaan semua kemudahan disediakan bagi memastikan bangunan yang dibina adalah selamat didiami pembeli. Prosedur ini termaktub dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1994.

Zainun berkata, tidak timbul isul CF palsu seperti didakwa penduduk. Beliau yakin penduduk keliru dengan perjanjian mahupun kedudukan pangsapuri itu kerana asalnya pemaju bercadang membina kondominium tetapi MBPJ meletakkan syarat supaya pemaju membina rumah kos rendah dalam kawasan P9 dan P10 terlebih dulu. Ini bermaksud pemaju berhak membina pangsapuri itu di sudut mana sekalipun asalkan ia masih berada dalam kawasan tanah yang ditetapkan.

Bagi masalah lain berkaitan, Zainun menasihatkan penduduk terbabit berurusan terus ke pejabat MBPJ untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mencari penyelesaian jika ada yang perlu diselesaikan.

No comments: