Followers

Carian dalam Blog ini

06 July 2010

Memahami kolesterol dalam badan

PARAS kolesterol sepatutnya diperiksa sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun bagi setiap orang yang berusia 20 tahun ke atas.

Ujian saringan yang biasanya dilakukan ialah ujian darah yang dipanggil profil lipoprotein.

Para pakar menyarankan bahawa lelaki berusia 35 tahun dan ke atas manakala wanita 45 tahun dan ke atas harus menjalani saringan bagi masalah lipid.

Ujian profil lipoprotein ini termasuk mengukur:

  • LDL (kolesterol lipoprotein densiti rendah juga dikenali sebagai kolesterol 'jahat')

    lHDL (kolesterol lipoprotein densiti tinggi juga dikenali sebagai kolestrol 'baik').

  • Triglycerides (lemak yang ada dalam darah daripada makanan yang kita makan. Lebihan kalori, alkohol atau gula dalam badan juga ditukar kepada triglycerides dan disimpan dalam sel-sel lemak di seluruh badan)
  • Semua keputusan ujian darah ini diukur dalam bentuk nombor.

    Di bawah adalah bagaimana kita menafsirkan jumlah kolestrol.

    Kolesterol LDL

    Kolesterol LDL boleh terkumpul pada dinding pembuluh darah dan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung. Sebab itu kolesterol LDL dirujuk sebagai kolesterol 'jahat'. Lebih rendah kolesterol LDL adalah lebih baik untuk kesihatan.

  • Kurang 100 optimum (kedudukan paling baik)
  • 100 - 129 hampir optimum/atas optimum
  • 130 - 159 garis sempadan tinggi
  • 160 - 189 tinggi
  • 190 dan ke atas - sangat tinggi
  • Jika anda mempunyai penyakit jantung atau berkaitan pembuluh darah, sesetengah pakar akan menyarankan agar paras kolesterol anda di bawah 70.

    Bagi mereka yang menghidap diabetes atau pelbagai faktor risiko serangan jantung matlamat rawatan ialah mencapai LDL kurang daripada 100.

    Kolesterol HDL

    Bagi kolesterol baik, HDL - lebih tinggi nombornya, lebih baik kesihatan anda. Ini kerana kolesterol HDL melindungi daripada serangan penyakit jantung dengan cara mengeluarkan kolesterol jahat dari dalam darah dan mengelakkan daripada berkumpul di pembuluh darah.

  • 60 dan ke atas - tinggi: Membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
  • Kurang daripada 40 bagi lelaki dan kurang bagi 50 bagi wanita - rendah: Dianggap satu risiko bagi penyakit jantung.
  • Jumlah keseluruhan kolesterol

    Jumlah keseluruhan kolesterol diukur daripada kolesterol LDL, kolesterol HDL dan komponen lipid lain. Doktor menyarankan paras kolesterol mesti di bawah 200.

    Jumlah kolesterol

  • Kurang daripada 200 amat baik
  • 200 - 239 garis sempadan tinggi
  • 240 dan ke atas - tinggi

  • Utusan Online, 6/7/2010

    No comments: