Followers

Carian dalam Blog ini

31 March 2010

Asid alfa lipoik anti oksida serba boleh

Asid alfa lipoik merupakan nutrien anti oksida yang dihasilkan oleh tubuh dan ia membantu menukar glukosa dalam darah kepada tenaga. Sebagai anti oksida ia adalah bahan yang melawan radikal bebas, iaitu sisa produk yang terhasil dalam tubuh. Penghasilan radikal bebas ini akan menyebabkan tindakbalas kimia yang berbahaya yang merosakkan sel-sel dalam tubuh. Kesannya, ia menyukarkan atau melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan, selain merosakkan organ-organ dan tisu-tisu tubuh. Di kalangan penghidap diabetes, penghasilan radikal bebas mungkin lebih ketara berbanding dengan orang yang normal. Sebab itulah masalah kebas, rasa mencucuk, pedih atau sakit terutamanya pada kaki akibat terjejasnya kesihatan saraf akan lebih ketara di kalangan penghidap diabetes.

Walaupun seseorang itu bukan penghidap diabetes, anda masih boleh memperolehi manfaat darinya memandangkan ia bersifat anti oksida yang berguna untuk melawan kesan radikal bebas. Berbanding dengan anti oksida lain yang berkesan hanya dalam persekitaran berair (seperti vitamin C) atau tisu-tisu berlemak (seperti vitamin E), asid alfa lipoik bertindak dalam kedua-dua persekitaran ini. Ini bermakna ia boleh bekerja di seluruh tubuh. Selain itu, bukti menunjukkan asid alfa lipoik boleh membantu memulih anti oksida ini dan menjadikan mereka aktif semula.

Berdasarkan laporan Science Daily pada Mei 2007, asid alfa lipoik didapati memperlahankan proses penuaan pada haiwan dengan memperbaiki pengaliran darah dan menguatkan sistem imun serta memberi kesan kepada beberapa faktor yang terlibat dalam penuaan. Hasil penyelidikan yang dibentangkan semasa persidangan mengenai diet dan kesihatan di Universiti Oregon State mendedahkan bahawa nutrien ini membantu mengekalkan paras glutation, iaitu kompaun anti oksida pelindung dan detoksifikasi. Ia juga bertindak sebagai agen anti-radang dan ia sesuai dengan pelbagai penyakit degeneratif.

Asid alfa juga merupakan anti oksida yang boleh memainkan peranan dalam melindungi sel-sel hati daripada kerosakan radikal bebas serta turut membantu vitamin-vitamin B dalam penghasilan tenaga daripada metabolisme karbohidrat, protein dan lemak.

Utusan online 28/2/2010

No comments: