Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

13 March 2010

Suntik semangat Perlembagaan

HAMPIR setahun gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi sayangnya, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia gagal memahami maksud sebenar di sebalik semangat 1Malaysia itu. Salah satu kesilapan besar adalah salah tafsiran sehingga ada yang berani menyatakan bahawa 1Malaysia itu membuka pelbagai kesempatan yang tidak pernah ada sebelum ini.

Seolah-olah 1Malaysia itu adalah Perlembagaan baru. Ini adalah satu pemahaman yang terpesong. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila desakan untuk menghapuskan keistimewaan bumiputera dan orang Melayu di dalam Perlembagaan sangat lantang kedengaran kebelakangan ini. Isu-isu bahasa Melayu, agama Islam, raja-raja, biasiswa dan banyak lagi disentuh oleh sesetengah pihak yang jelas tidak memahami Perlembagaan.

Kerana itu, Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berasa bertanggungjawab untuk mengenengahkan kefahaman mengenai Perlembagaan dalam ruang usaha kecil mereka. Wacana 153 yang akan berlangsung pada 15 Mac ini misalnya, adalah kesempatan yang sangat baik untuk menarik perhatian masyarakat awam bukan sahaja mengenai Perlembagaan.

Tetapi lebih penting adalah fasa-fasa di dalamnya yang perlu di uar-uarkan dan diyakini oleh semua orang yang mengaku rakyat Malaysia. Wacana yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu akan dibarisi oleh barisan akademik terkemuka yang akan mengupas isu 'jurang pembangunan dan kewajipan melaksanakan 153'. Mereka termasuklah Prof. Datuk Dr. Abd. Halim Sidek, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan Prof. Datuk Dr. Mohd. Abu Bakar. Tokoh-tokoh lain yang terlibat ialah Datuk A. Aziz Deraman selaku moderator dan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein yang akan merumuskan perbincangan.

Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar pula akan menyampaikan ucaptama bertajuk Sejarah dan Cabaran Terhadap 153. Wacana sehari itu dijangka akan dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar. Menurut Ismail, Gapena terpanggil mengadakan wacana seperti itu kerana merasakan Perlembagaan tidak begitu menonjol di kalangan orang ramai. Ramai yang tidak mempedulikannya sedangkan tanpa Perlembagaan, sebuah negara Malaysia seperti yang kita diami hari ini tidak mungkin akan terbina.

Katanya, Gapena percaya bahawa istilah Malaysia itu sendiri adalah istilah Perlembagaan dan hanya hidup atas semangat Perlembagaan. ''Maka, setiap yang menamakan dirinya rakyat Malaysia mestilah pada asasnya menerima Perlembagaan Malaysia itu sendiri," katanya. Ismail menambah, Wacana 153 itu adalah lanjutan daripada forum serupa iaitu Wacana 152 yang diadakan pada 15 Februari lalu.

Wacana itu katanya, mendapat maklum balas yang sangat besar daripada orang ramai yang mula memberi perhatian kepada perkara yang dibincangkan. Dengan pengalaman itu, Gapena berharap Wacana 153 ini juga akan membawa impak yang sama terutama dari sudut pandang terhadap fasa-fasa penting di dalam Perlembagaan yang cuba dilupakan. Menurut Ismail, Gapena melihat ramai yang memikirkan semua bangsa di Malaysia ketika ini berdiri di atas padang yang sama.

Kerana itu, mereka merasakan hak-hak istimewa kepada kaum bumiputera dan orang Melayu seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan wajar dihapuskan. Mereka yang mendesak itu seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa jurang di antara kaum bumiputera dan orang Melayu dengan kaum bukan bumiputera sangat besar.

Pelbagai statistik sebenarnya membuktikan bahawa taraf masyarakat berbilang bangsa di negara ini tidak seimbang. Kerana itu, tambah Ismail, Gapena sangat berharap gagasan 1Malaysia itu akhirnya akan dilihat dari sudut pandang yang lebih wajar. Yang mana pada akhirnya, semua rakyat Malaysia mengimpikan 1Malaysia yang utuh dan harmoni. Rakyat Malaysia juga mesti realistik bahawa pembentukan Malaysia adalah daripada satu Perlembagaan yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu.

Jika ada pengertian seperti itu di kalangan generasi baru hari ini, maka sebuah Malaysia yang satu dapat dibina dan kita semua akan menjadi lebih saksama. ''Tetapi jika 1Malaysia itu dibiarkan porak-peranda dalam keadaan setiap daripada kita bebas untuk membuat tafsiran sendiri dan mengetepikan Perlembagaan, saya fikir Malaysia yang kita impikan ini tidak akan tercapai," katanya.

Gapena sudah semestinya akan meneruskan usaha menyebar luas kefahaman mengenai semangat Perlembagaan itu menerusi pentas mereka sendiri. Tetapi Gapena tetap merasakan, usaha seperti itu sewajarnya diteruskan dalam usaha yang besar oleh pihak lain terutamanya kerajaan. Barangkali kata Ismail, kerajaan harus memperkenalkan Hari Perlembagaan Malaysia.

Pada hari itu, intipati Perlembagaan disebarkan kepada orang ramai. Ini mengambil hakikat bahawa Perlembagaan itu seharusnya berada di tangan setiap orang yang menamakannya rakyat Malaysia. Gapena ketika ini juga tambah Ismail, sedang mencetak sebuah buku yang menyentuh mengenai Perlembagaan negeri untuk disebarkan.

''Apa yang saya risaukan, tidak banyak pertimbangan yang diberikan kepada Perlembagaan. Sedangkan kaum bumiputera dan orang Melayu pastinya tidak akan berkompromi dengan perkara itu," katanya.

No comments: