Followers

Carian dalam Blog ini

14 March 2010

Potensi kegunaan sumber air tanah


Oleh Habsah Dinin dan Mona Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2010/03/14

Lebih 90 peratus sumber air tawar di Malaysia dikenal pasti terdapat di dalam tanah

KEBANYAKAN negara maju di dunia kini mengurangkan kebergantungan kepada air sungai, tasik dan takungan empangan dan punca air sungai untuk kegunaan harian berikutan pelbagai faktor yang lebih banyak mengundang keburukan terutama kepada kesihatan manusia dan alam sekitar di samping bagi meningkatkan jaminan bekalan air.

Kajian mendapati air permukaan lebih mudah tercemar kerana pembangunan kawasan sekitar yang membabitkan pembinaan tangki septik, sistem pembetungan dan bahan kimia dari kawasan industri; penggunaan baja dan racun dalam aktiviti pertanian; serta air melarut resap atau licit daripada tempat pelupusan sampah yang mengalir masuk ke dalam air permukaan. Semua faktor ini menyebabkan pencemaran yang serius dan sukar dielakkan terhadap air permukaan tadi.

Pengarah Pusat Kajian Geohidrologi, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Dr Saim Suratman, berkata selain daripada faktor pencemaran yang menjejaskan kesihatan pengguna, air permukaan juga akan mudah kering jika berlaku kemarau panjang.

“Apabila kemarau, air permukaan yang menjadi cetek menyebabkan kadar pencemaran semakin tinggi disebabkan oleh penurunan keupayaan pencairan ke atas pencemar.

“Sementara itu, pembinaan empangan untuk menakung air permukaan turut menyebabkan penebangan pokok yang berleluasa sekali gus memusnahkan flora dan fauna.
“Dalam keadaan tertentu, pada musim tengkujuh yang berlarutan, air empangan yang terlalu banyak boleh menyebabkan banjir dan empangan terdedah kepada keretakan hingga mengancam keselamatan penduduk dan hidupan hilirnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, kebanyakan negara maju seperti Amerika, Jerman, Korea, Switzerland dan Denmark sudah meminggirkan pembinaan empangan baru berikutan aspek keselamatan dan kesedaran untuk kualiti alam sekitar.

Katanya, sebagai alternatif, mereka mempergiatkan pencarian sumber air tanah di samping meningkat kecekapan perkhidmatan bekalan air dan kesedaran jimat guna air.

Kaedah imbuhan buatan air tanah digunakan secara meluas di negara maju di mana air sungai yang berkualiti rendah diserap ke dalam tanah melalui kaedah lembangan dan perigi imbuhan.

Air ini akan mengalir ke dalam tanah dan seterusnya keluar melalui telaga. Umpamanya kaedah ini digunakan di Loji Rawatan Air Weisbaden Jerman sejak 1958.

“Kaedah imbuhan buatan air tanah ini yang sesuai digunakan dalam akuifer aluvium bertujuan merawat air permukaan secara semula jadi dan pada masa sama menambah kandungan mineral penting ke dalam air itu agar ia lebih berkhasiat.

“Selain menyihatkan ia juga selamat untuk terus diminum daripada paip di rumah tanpa perlu dimasak,” katanya.

Sejak zaman berzaman, masyarakat di negara ini sudah menggunakan air tanah dari telaga di kawasan rumah tetapi penggunaannya berkurangan dengan meningkatnya liputan air awam. Keadaan ini menyebabkan kebaikan air tanah dipandang ringan orang ramai.

Ini ditambah pula dengan sungai yang banyak, taburan hujan yang tinggi di negara ini menyebabkan kepentingan air tanah tidak langsung diambil peduli.

Keperluan air tanah tidak boleh dipandang ringan di negara ini.

Ini kerana, permintaan air yang tinggi berikutan peningkatan kepadatan penduduk, perluasan kawasan pertanian dan industri, pencemaran sumber air per-mukaan dan kekangan sumber air permukaan terutama di musim kemarau, memerlukan sumber air tambahan.

Lebih 90 peratus sumber air tawar di Malaysia terdapat di dalam tanah sehingga mampu memenuhi permintaan keseluruhan bekalan air di negara ini.
Potensi sumber air tanah adalah bagi kegunaan bekalan air awam, industri dan pengairan adalah tinggi.

No comments: