Followers

Carian dalam Blog ini

19 March 2010

Bagus, bagusss...Bagussssssssssssss

Salam to all...

Beca ni dah memang tak cemarkan alam...baguih la dah terapkan teknologi... boleh bantu pakcik-pakcik beca tambah pendapatan harian.

Saya ingin mencadangkan kenderaan bermotor patut diperluaskan guna sistem hibrid kerana kenderaan bermotor ini yang banyak menyumbang kepada masalah alam sekitar seperti jerebu, hujan asid, pulau haba dan memburukkan lagi fenomena pemanasan global melalui kesan rumah hijau.

****************************************

Beca berenjin hibrid pertama di Malaysia


ABDULLAH Mohamad (duduk) menghidupkan enjin hibrid becanya sambil diperhatikan oleh rakannya, Asmad Mohamad di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 18 Mac - Empat buah beca di Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila dilengkapi enjin hibrid, sekali gus menjadi perintis penggunaan sistem seumpama itu di negara ini.

Ia adalah hasil kreativiti pereka autotronik terkenal, Zulkifli Haron.

Enjin itu berupaya membantu meringankan bebanan pengayuh beca di mana mereka hanya perlu berbelanja RM2 sehari untuk seliter patrol selain keistimewaan bergerak dengan kelajuan mencecah 10 kilometer sejam.

Zulkifli yang turut mendapat gelaran McGyver Malaysia ketika ditemui berkata, walaupun enjin hibrid sudah sebulan diguna pakai oleh empat buah beca itu namun ia merupakan yang pertama kali diperkenalkan di negara ini.

Beliau turut lega apabila enjin ciptaannya itu berjaya menarik perhatian kerajaan negeri Terengganu yang bersetuju menambah antara 10 hingga 15 buah beca lagi yang menggunakan enjin tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, setiap enjin hibrid yang menelan kos RM5,000 itu berupaya membantu 'tukang kayuh' terutama sewaktu bateri yang dipasang pada beca mulai kehabisan.

"Apabila enjin dipasang, secara automatik bateri akan dicaj sendiri dan pengayuh beca dapat bergerak dengan selesa, sistem yang kita naik taraf ini (enjin hibrid) sangat membantu mereka (pengayuh).

"Saya sedih tengok ramai yang tak larat kayuh beca. Malah sebelum ini, beca yang pakai elektrik dan bateri, pengayuhnya alami kesukaran apabila bateri habis dan terpaksa mengecas semula bateri, sebab itulah kita naik taraf sistem ini kepada enjin hibrid," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Menurut Zulkifli, enjin hibrid juga mempunyai kelebihan lain yang memudahkan penarik beca sewaktu menaik bukit, menerima penumpang besar dan 'berat', masuk lubang dan sebagainya.

Sementara itu, pengayuh beca yang mendapat kemudahan enjin hibrid itu, Abdullah Mohamad, 50, berkata, dia bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin menyediakan kemudahan itu.

Dia yang sudah 20 tahun mengayuh beca bagi menyara isteri dan empat anaknya mengakui, tugasan hariannya kini berbeza dan tidak perlu mengerah sepenuh kudrat berbanding sebelum ini.

"Sekarang tidaklah teruk macam dulu, saya hanya perlu petik suiz untuk pasang enjin hibrid ini dan boleh bergerak membawa penumpang termasuk pelancong sehingga ke Chendering, Masjid Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal," ujarnya.

Abdullah yang lebih dikenali dengan Pok Loh menambah, sejak becanya dilengkapi enjin hibrid, secara purata pendapatan yang diperolehinya adalah sekitar RM40 sehari dan baginya, jumlah itu sudah cukup untuk menanggung keluarga.


No comments: