Followers

Carian dalam Blog ini

16 March 2010

Perangi Dadah Bagi Mengatasi Jenayah

Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik

08/12/2009 | Artikel Bahasa Malaysia
Kadar jenayah di negara kita semakin hari semakin meningkat. Sehinggakan berada di rumah sendiri pun dianggap tidak selamat kerana kejadian mencuri dan pecah rumah begitu berleluasa. Kes ragut juga saban hari berlaku sehingga memaksa orang ramai lebih berhati-hati apabila berjalan kaki atau menaiki kenderaan.

Mengikut Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), penagihan dan penyalahgunaan dadah adalah antara punca utama pelbagai kejadian ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah. Selagi masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, banyak jenayah berkait rapat dengan dadah akan terus berlaku.

Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Di dalam Al-Quran banyak menyebut tentang pengharaman arak kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan dan menghilangkan akal. Kedua-dua arak dan dadah sama yakni memabukkan atau terdapat keburukan-keburukan dan membawa kebinasaan terhadap individu dan masyarakat.

Rasulullah SAW pernah melaknat tentang khamar sepuluh golongan, (1) pembuatnya, (2) pengedarnya (3) peminumnya (4) pembawanya (5) pengirimnya (6) penuangnya (7) penjualnya (8)pemakan wang hasilnya (9) pembelinya, (10) pemesannya. (riwayat Termizi dan Ibn Majah).

Oleh yang demikian boleh disimpulkan bahawa semua kegiatan yang berkaitan dengan dadah adalah haram hukumnya:

1. Menanam sebarang bahan untuk menghasilkan dadah
2. Memproses sebarang bahan untuk menghasilkan dadah
3. Menjual beli dadah
4. Menggunakan keuntungan hasil daripada perniagaan dadah dan sebagainya yang berkaitan.

Umum mengetahui dadah menghancurkan rumah tangga. Ketua keluarga yang menagih dadah akan menimbulkan pelbagai masalah. Yang nyata wang sentiasa tidak akan mencukupi bagi perbelanjaan keluarga kerana telah digunakan untuk membeli dadah. Si isteri pula mungkin dipaksa untuk memberi wang bagi memenuhi gian suami terhadap dadah.

Undang-undang berkenaan dadah di negara kita agak menyeluruh. Akta Dadah Berbahaya 1952 mengawal pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan penggunaan candu dan beberapa bahan dan dadah merbahaya tertentu. Membuat peruntukan khas berhubung dengan bidang kuasa Mahkamah terhadap kesalahan-kesalahan yang tertakluk dibawahnya dan perbicaraan Mahkamah.

Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998 digubal bertujuan untuk memberi rawatan dan pemulihan kepada pengih-penagih dadah. Selain merupakan proses rawatan lanjutan yang menitik beratkan pengawasan ke atas penagih-penagih bertujuan memastikan mereka tidak mengulangi penagihan mereka.

Akta Dadah Berbahaya(Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 membuat peruntukan mengenai tahanan pencegahan orang-orang yang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubung dengan atau yang membuat pengedaran dadah berbahaya.

Akta Dadah Berbahaya(Perlucutan Harta) 1988 suatu akta bagi membuat peruntukan-peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan berhubung dengan harta dan mengenai penyitaan dan perlucutan harta yang berkaitan dengan aktiviti yang ada hubungan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Akta Racun 1952 untuk mengawal pengimportan, pemilikan, pengeluaran, penjualan dan penggunaan racun. "Racun" bermaksud bahan-bahan yang dinamakan dan disenaraikan dalam Senarai Racun dan termasuk apa-apa campuran, penyediaan, solusi atau yang asli yang mengandungi bahan-bahan tersebut apa-apa penyediaan atau bahan-bahan yang terkandung di dalam Jadual Kedua Akta ini.

Sekilas pandang undang-undang yang ada mencukupi bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah. Namun bagaimana masalah dadah ini masih berleluasa sehingga kelihatan tiada penghujungnya? Malah anak-anak Melayu beragama Islam yang paling ramai menjadi mangsanya. Apa yang lebih menyedihkan dan membimbangkan, golongan remaja terutama yang bersekolah merupakan bilangan penagih yang tertinggi. Keadaan ini amat membimbangkan kerana golongan ini merupakan bakal pemimpin di masa hadapan.

Masalah dadah harus dibanteras secara bersama dan bukan hanya membiarkan kepada pihak-pihak tertentu seperti Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK) untuk menanganinya. Di sekolah pelajar lelaki terutamanya, harus diberitahu tentang bahaya merokok yang selalunya akan menjurus kepada dadah. Mereka perlu diingatkan agar jangan sesekali cuba menghisap dadah kerana akan mengakibatkan ketagihan.

Pendidikan berterusan, pencegahan dan penguatkuasaan merupakan perkara penting di dalam usaha untuk membanteras najis dadah di negara kita. Walaubagaimanapun, ia masih belum dapat menyelesaikan masalah dadah. Apa yang lebih penting adalah institusi keluarga itu sendiri perlu diperkukuhkan agar generasi yang lahir berjiwa kental dan tidak mudah tunduk kepada desakan rakan.

Di sini kedua-dua suami dan isteri perlu berusaha membina rumahtangga yang mampu melahirkan generasi bertakwa. Jadikan suasana di rumah baik untuk tumbesaran anak-anak. Aktiviti makan serta solat bersama mampu merapatkan hubungan kekeluargaan. Pastikan ruang untuk ahli keluarga berbincang dan mendapatkan nasihat sentiasa terbuka. Wujudkan keadaan ‘rumahku syurgaku' agar anak-anak tidak akan mencari kepuasan hidup di luar.

Hidupkan kembali budaya tegur menegur kesalahan seperti yang diamalkan orang dahulu. Budaya takut untuk menegur menjadikan remaja sekarang semakin berani melakukan kesalahan tanpa berselindung. Bergaul dan kenali anak jiran tetangga. Jangan asingkan diri dari masyarakat.

Dengan cara ini kita dapat melaporkan kepada ibu bapa mereka jika melihat anak jiran melakukan aktiviti yang tidak sihat. Ingatlah selagi masalah dadah tidak dapat dihapuskan, kita semua mungkin menjadi mangsa jenayah si penagih dadah yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalannya.

No comments: