Followers

Carian dalam Blog ini

19 March 2010

Dasar alam sekitar holistik perlu dirangka


Oleh Dr Zaini Ujang

2010/03/19

EPI wajar lebih komprehensif dan berasaskan pencapaian realistik, bercitra prestasi

APAKAH relevan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dalam konteks pelestarian alam sekitar? Kali ini, isu itu dibincangkan dalam dua aktiviti penting iaitu pada bengkel Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) dan mesyuarat jawatankuasa pemandu EPI anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS).

Dalam konteks pencapaian, tumpuan diberi kepada impak jangka panjang secara menyeluruh (outcome) di samping output, iaitu impak dalam kerangka sesuatu agensi, segmen alam sekitar atau tempoh tertentu. Kerap kali program pelestarian alam sekitar tidak mendatangkan impak diharapkan kerana pendekatan serpihan atau tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh agensi pusat.

Contoh terbaik ialah pengurusan sumber air. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari segi kuantiti dan risiko banjir. Jabatan Alam Sekitar pula bertanggungjawab mengawasi kualiti sungai, tasik dan pantai, serta mengawal selia punca pencemaran berpusat. Selain itu, pihak berkuasa tempatan melulus dan mengawal selia aktiviti berkaitan guna tanah serta perbandaran. Pelbagai agensi lain turut terbabit setidak-tidaknya mengawasi bahan cemar bukan berpusat. Memang pengkhususan serta desentralisasi penting supaya lebih fokus meningkatkan mutu perkhidmatan. Namun demikian, kedua-duanya turut menyebabkan impak hanya tertumpu kepada output bukan outcome. Lebih menyedihkan di sesetengah kawasan, ekosistem sungai dan tasik menjadi kian tercemar. Hal ini bukan saja menyusahkan rakyat dan meningkatkan risiko kepada kesihatan awam, bahkan mengurangkan pulangan ekonomi kepada nelayan dan sektor pelancongan.

Itu rasional penilaian prestasi alam sekitar holistik menggunakan pendekatan EPI. Sejak 2005, konsep EPI dikemukakan pelbagai pihak, khususnya sekumpulan pakar Universiti Yale dan Universiti Colombia di Amerika Syarikat. Pada 2006, EPI global diumumkan dengan kedudukan Malaysia megah pada tangga ke-9. Bermula 2008, EPI global diumumkan pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland dan kedudukan EPI Malaysia jatuh ke tangga 26. Januari lalu, EPI 2010 global sekali ini menunjukkan kedudukan Malaysia merudum ke tangga 54.

Saya berpendapat, penurunan itu disebabkan tidak wujud koordinasi dan strategi di kalangan pelbagai agensi untuk membolehkan prestasi pengurusan alam sekitar dirangka dan dilaporkan secara bersepadu tanpa terikat kepada fokus sesuatu agensi saja. EPI global juga memerlukan Malaysia dan semua negara terbabit melakukan kajian semula terhadap dasar berkaitan pelestarian alam sekitar sebagai penambahbaikan kepada dasar lama. Antaranya, perundangan kawalan pencemaran air daripada berasaskan organik kepada berasaskan nutrien dan tindakan lebih menyeluruh menangani isu pelepasan karbon.

Sehubungan itu, UTM mengambil inisiatif bekerjasama dengan Universiti Colombia dan Yale untuk mengembang serta memajukan konsep EPI kepada Kerajaan Malaysia selain penyelaras peringkat rantau Asia Tenggara. Dari segi dasar dan strategi, kedudukan Malaysia dalam EPI seharusnya dianggap sebagai petunjuk pencapaian pelestarian alam sekitar berbanding negara lain seperti KDNK, Indeks Transpiransi, Indeks Inovasi dan Indeks Daya Saing. Kedudukan rendah secara tidak langsung menggambarkan alam sekitar tidak terurus dan kualiti hidup daif.
Dalam konteks gagasan 1Malaysia, dasar alam sekitar sejak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperlihatkan dinamisme berasaskan prestasi dan kepentingan rakyat. Sehubungan itu, saya mencadangkan dasar alam sekitar holistik dirangka menggunakan tiga pendekatan strategik iaitu (a) berteraskan pembangunan ekonomi rendah karbon (b) berteraskan pencapaian (c) mendahulukan kepentingan rakyat.

Pendekatan (a) adalah dasar pembangunan global hasil Sidang Copenhagen pada Disember 2009. Dasar itu mengutamakan paradigma baru mengukur tahap ‘kemajuan’ yang seharusnya tidak lagi terikat kepada untung rugi wang ringgit semata-mata tetapi mengambil aspek kesan sosial, penyuburan budaya bangsa, pengurusan keselamatan serta risiko, pelestarian alam sekitar dan kesejahteraan hidup masyarakat. Dalam konteks ini, teknologi hijau penting untuk memandu arah tahap kesejahteraan dan pelestarian sesuatu dasar dan inisiatif.

Dasar (b) pula bermakna penekanan kepada objektif lebih bersepadu, holistik dan boleh ukur bagi memastikan konsep pelestarian dilaksanakan dengan lebih telus, berkesan dan efisien. Ketika ini dasar dan pelestarian alam sekitar di Malaysia masih lagi bertindan dan berasaskan sempadan geopolitik dan tembok birokrasi. Kerjasama antara kementerian dan agensi masih belum menyerlah. Akibatnya sektor alam sekitar dilihat secara terpisah mengikut bidang kuasa sesuatu agensi dan peruntukan akta masing-masing.

Dalam konteks ini, EPI lebih komprehensif dan berasaskan pencapaian yang jauh lebih realistik dan bercitra prestasi berbanding Laporan Kualiti Alam Sekeliling atau lain laporan yang ketika ini disediakan pelbagai agensi seperti termaktub dalam pelbagai akta. Dasar alam sekitar juga perlu lebih prihatin terhadap kepentingan rakyat selari kenyataan Najib dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri kira-kira setahun lalu untuk mendahulukan kepentingan rakyat.

Isu alam sekitar membabitkan kepentingan rakyat khususnya dari segi kualiti sumber air, bekalan air, loji kumbahan, pencemaran udara, pengurusan sisa pepejal, kebersihan dan bau aktiviti penternakan haiwan, kesesakan jalan raya, kehangatan iklim bandar dan banjir kilat. Rakyat juga prihatin terhadap kos perkhidmatan alam sekitar seperti bekalan air, sumber tenaga dan pengangkutan awam.

No comments: