Followers

Carian dalam Blog ini

22 March 2010

Memastikan kemapanan sumber air sejagat


Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2010/03/22

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan empat bilion kes penyakit cirit-birit dan penyakit lain dideritai masyarakat di seluruh dunia setiap tahun berikutan tidak mendapat bekalan air bersih dan selamat.

Statistik juga mencatatkan daripada jumlah itu 1.7 juta penduduk dunia mati disebabkan cirit-birit, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Secara purata, dianggarkan 1.1 bilion penduduk masih minum air daripada sumber yang tidak bersih dengan lebih 2.6 bilion orang tidak mendapat akses dari segi penjagaan kebersihan yang baik, terutama di Afrika dan Eurasia.

Pada masa sama, di seluruh dunia setiap tahun sebanyak 1,500 kilometer padu air dibazirkan serta digunakan secara tidak optimum. Air yang terbuang itu boleh digunakan kembali sebagai tenaga dan perairan, tetapi lazimnya berlaku sebaliknya. Di negara membangun, 80 peratus air lebihan tidak dirawat berikutan kurangnya peraturan dan sumber. Peningkatan kepadatan penduduk dan industri turut menjadi punca pencemaran, selain menambah permintaan bagi air bersih untuk kegunaan.

Perubahan cuaca dan suhu dunia pula yang mengubah kepada musim banjir dan kemarau turut memberi kesan kepada pencemaran sehingga menjejaskan kualiti air. Keadaan itu juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada masyarakat.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memilih tema ‘Air Bersih Untuk Kesihatan Sejagat’ sebagai tema Hari Air Sedunia yang disambut setiap tahun pada 22 Mac. Kempen itu bertujuan meningkatkan profil dan kesedaran mengenai kualiti air pada peringkat politik supaya isu air diberi keutamaan selaras dengan isu kuantiti air.

Dengan pertambahan jumlah penduduk dunia dan aktiviti lain, menjadikan permintaan terhadap air meningkat. Justeru, penggunaan air perlu diurus dengan cekap serta produktif supaya penduduk tidak menghadapi krisis kekurangan sumber pada masa depan.
Dalam konteks Malaysia, isu air bersih dan pencemaran sumber air, tetap diberi keutamaan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), yang ditubuhkan untuk mengawal selia penggunaan air di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya umpamanya sentiasa menjaga kualiti bekalan air disalurkan mematuhi piawaian ditetapkan sejajar piawaian WHO.

Bagi memastikan semua itu berjalan lancar, Pengarah Eksekutif Hal-Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, menjelaskan ujian contoh air secara berterusan menerusi makmal bebas bertauliah dilakukan bagi memantau dan memastikan hanya bekalan air berkualiti disalurkan kepada pengguna.

Syabas menetapkan misi meningkatkan kualiti perkhidmatan antara lain mengurangkan Air Tanpa Hasil (NRW) daripada 42.78 peratus kepada 32 peratus; mengambil tindakan terhadap 3,000 maklumat mengenai kecurian air; meningkatkan kualiti air dibekalkan kepada pengguna dengan menjalankan kerja pencucian ke atas 23,000 kilometer (km) paip lama dan mewujudkan 1,084 stesen persempelan air di kawasan perumahan dan menggantikan kira-kira 6,000km paip asbestos lama, pecah dan bocor.

Menangani masalah kecurian air menyebabkan kerugian RM100 juta setahun serta membersihkan 1,169 kolam takungan air yang tidak pernah dicuci sebelum ini.

Abdul Halem berkata, masalah pencemaran sungai umpamanya berlaku disebabkan sikap manusia sendiri yang menjadikan ia sebagai tempat membuang sampah, najis dan bahan toksik.

Sungai yang menjadi antara sumber utama bekalan air perlu terus dipelihara dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat, selain menerapkan kepentingan sungai kepada pelajar sekolah rendah lagi.

Justeru, Syabas menubuhkan Briged Penyelamat Sungai, sejak 1998 pada peringkat sekolah rendah bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan sungai kepada kehidupan dan alam sekitar.

“Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak kebelakangan ini secara langsung turut menjejaskan pembekalan air bersih kepada pengguna di beberapa negeri di Semenanjung berikutan penyusutan ketara takungan di beberapa empangan dan sungai utama yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air.

“Pengguna di beberapa negeri terjejas ini terpaksa berdepan masalah bekalan air, termasuk mengalami catuan sehingga memaksa sebahagian pengguna mencari alternatif lain, termasuk menggunakan air perigi dan sungai yang cetek untuk kegunaan harian,” katanya.

Fenomena El Nino yang mencetuskan krisis bekalan air pada 1998 seharusnya dijadikan pengalaman pahit yang terbaik kepada pengguna serta pengemudi sektor pembekalan air di seluruh negara terhadap kesulitan dilalui sebelum ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

No comments: