Followers

Carian dalam Blog ini

18 March 2010

Strategi Bos.... tak tercapai dek akal mu...

18 Mac, 2010 22:34 PM

RMK-10 Guna Elemen Kajian Strategi Laut Biru

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dijangka diumumkan Jun tahun ini, oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menerapkan beberapa elemen dan aspek penting dari Kajian Strategi Laut Biru (BOS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, BOS yang menekankan kepada keberkesanan konsep berfikir di luar kebiasaan sebenarnya telah diguna pakai secara tidak langsung sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dahulu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan beberapa idea penting untuk menjana pembangunan ekonomi negara seperti penswastaan beberapa program kerajaan telah mampu melonjakkan Malaysia ke tahap negara moden.

"BOS ini nampak seperti satu kaedah baru sebab ia dibuat secara holistik, tapi sebenarnya ia dah digunakan oleh kerajaan sejak kemerdekaan negara lagi.

"Seperti contoh, kita laksanakan Amanah Saham Nasional, tak ada negara lain di dunia ini yang buat amanah saham, kita buat penswastaan dengan memberikan keutamaan kepada kaum bumiputera, negara lain buat penswastaan tapi dijual kepada orang asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan penghargaan kajian BOS di sini.

Strategi Laut Biru merupakan suatu revolusi di dalam strategi perniagaan dan inisiatif global bagi mengabungkan kreativiti serta inovasi di dalam perancangan perniagaan dan operasi bagi menguasai pasaran yang tidak terbatas.

Nor Mohamed berkata, bukti jelas berhubung keberkesanan BOS dapat dilihat semasa negara mengalami krisis ekonomi sekitar tahun 1997 dan 1998, apabila tampil sebagai satu-satunya negara yang menolak bantuan kewangan dari Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Yang jelas sekali bila krisis ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, negara lain terpaksa menggadai maruah untuk mendapat bantuan kewangan dari IMF dan Bank Dunia. Hanya Malaysia sahaja yang berfikir di luar kotak, mencari formula dan menolak pinjaman luar, memulihkan ekonomi mengikut cara kita sendiri.

"Sebelas tahun kemudian, apabila negara-negara barat dilanda krisis ekonomi yang lebih hebat, mereka meniru cara kita sedangkan dulu mereka mengkritik kita dengan begitu teruk sekali apabila menggunakan kaedah BOS," katanya.

Aplikasi BOS, jelas beliau, sangat berguna kerana pemikiran cara moden perlu digunakan untuk menghadapi cabaran globalisasi yang semakin hebat, khususnya bagi memenuhi sasaran transformasi Malaysia sebagai negara maju untuk 10 tahun akan datang.

Mengulas mengenai perkembangan RMK-10, Nor Mohamed berkata segala persiapan berjalan lancar dan beberapa instrumen penting yang terkandung di dalam Model Ekonomi Baru turut diguna pakai.

-- BERNAMA

No comments: