Followers

Carian dalam Blog ini

10 February 2010

Bentuk generasi berakhlak

Silibus baru perlu bentuk pelajar bijak berakhlak

MENGURUS potensi kelompok insan kecil yang pintar memerlukan sistem dan pendekatan tersendiri, termasuk keupayaan kerajaan membangunkan murid semuda Tahun Satu yang memiliki keupayaan akademik dan kecerdasan minda luar biasa ini secara terancang. Usaha Kementerian Pelajaran menggubal silibus tersendiri - khusus dan mampat bagi membolehkan murid pintar itu melalui alam persekolahan lebih singkat tanpa mensia-siakan masa dengan belajar perkara yang mereka sudah kuasai tentunya dialu-alukan terutama ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini. Silibus itu membolehkan murid Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua. Sesuai dengan status murid berkenaan, silibus itu juga mesti bersifat futuristik iaitu praktikal dan memenuhi keperluan tenaga pakar masa depan. Tanpa silibus komprehensif, potensi anak kecil pintar ini akan sia-sia dan negara kerugian apabila tunas ini layu sebelum berkembang.

Pada masa sama, dalam kesungguhan mahu melahirkan lebih ramai insan pintar, kerajaan jangan tersilap langkah merangka silibus sewajarnya. Ketika murid diasak supaya belajar dan status mereka akhirnya dinilaikan dengan sekeping sijil, silibus baru untuk kanak-kanak pintar dan semua pelajar di SBT mesti mempertingkatkan penerapan pembangunan sahsiah serta jati diri. Penekanan terhadap pencapaian akademik mesti diseimbangkan dengan penyuburan rohani dengan akhlak yang mantap. Meminggirkan pembangunan insan dalam proses pembelajaran akan menyaksikan usaha melahirkan insan pintar akhirnya memakan diri. Kesilapan atau kelemahan pada silibus kelompok pintar itu dikhuatiri akan melahirkan generasi 'Si Tanggang' yang tidak tahu mengenang budi.

Dalam senario bertentangan, kerajaan juga harus bertindak pantas dan sistematik untuk menangani kira-kira 10 peratus sekolah tercorot. Prestasi sekolah kelompok ini antara lain ada kaitan rapat dengan masalah literasi dan numerasi di kalangan murid serendah Tahun Satu malah menjangkau murid Tahun Enam. Jika murid pintar ada silibus tersendiri maka kerajaan juga wajar membangunkan modul literasi dan numerasi yang baru dengan konsep mudah difahami. Modul itu wajar didedahkan lebih awal sebelum murid memasuki Tahun Satu. Maknanya, modul pembelajaran menguasai asas literasi dan numerasi mesti berlaku ketika mereka di kelas prasekolah.

Sehubungan itu, kurikulum seragam perlu disediakan manakala bilangan kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah perlu dipertingkatkan. Kegagalan menangani masalah kanak-kanak menguasai dua aspek ini secara langsung akan mengurangkan jumlah peratusan sekolah tercorot di seluruh negara sekali gus Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Prestasi Kerja (KPI) berkenaan pendidikan boleh dinilaikan parasnya. Dengan memasukkan pendidikan dalam enam NKRA yang akan diaudit oleh rakyat mulai tahun ini, usaha memperbaiki pencapaian pendidikan dengan memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mesti dilaksanakan.

Minda Pengarang, BH, 10/2/2010

No comments: