Followers

Carian dalam Blog ini

24 February 2010

Soalan Contoh Geografi Manusia STPM Tema 3 : Persetingganan

LATIHAN PRA UJIAN SETARA\


SOALAN :

1. Bincangkan faktor-faktor menggalakkan pertumbuhan petempatan setinggan dan langkah-langkah membendungnya.


Jawapan :


Kadar urbanisasi yang pesat dan tidak terkawal menjadi pemangkin utama kewujudan petempatan setinggan ini. Bandar raya Bangkok,Manila dan Jakarta ialah Bandar yang mengalami proses urbanisasi secara primat. Darjah primasi yang tinggi menggambarkan tumpuan pembangunan atau kemajuan di Bandar raya berkenaan terlalu pesat berpuluh-puluh kali ganda berbanding Bandar-bandar lain di dalam negara tersebut. Akibatnya bandar raya berkenaan mengalami aliran migrasi masuk penduduk yang begitu hebat. Kebanyakan migran tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan ikhtisas yang cukup untuk melibatkan diri dalam sector ekonomi moden di bandar. Pekerjaan mereka adalah dalam sektor informal sahaja seperti buruh binaan dan penjaja kecil-kecilan yang tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan.


Selain itu, bandar raya utama juga mengalami krisis perumahan. Bilangan rumah kos rendah yang disediakan oleh kerajaan dan pemaju swasta terlalu sedikit berbanding dengan permintaan daripada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana yang jauh lebih tinggi. Kekurangan perumahan kos rendah yang disediakan adalah disebabkan oleh guna tanah bandar mendapat persaingan yang hebat daripada guna tanah lain yang lebih menguntungkan. Kesannya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu membeli dan memilikinya. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa memilih petempatan setinggan sebagai tempat kediaman yang mampu diduduki.


Masalah pentadbiran tanah dan ketidakcekapan perancang guna tanah bandar. Kelemahan perancangan guna tanah bandar boleh juga dikaitkan dengan pertumbuhan petempatan setinggan. Kelonggaran, kelalaian dan ketidakcekapan dalam mentadbir tanah rizab di bandar seperti rizab sungai, rizab jalan raya dan lain-lain. Kurangnya kawasan terhadap pentadbiran dan perancangan guna tanah di kawasan rizab ini telah memberikan peluang dan kesempatan kepada para setinggan mendirikan rumah –rumah kilat atau petempatan spontan. Sekalipun kawasan ini diwartakan untuk sesuatu tujuan pembangunan, kelambatan perlaksanaannya telah membuka ruang wujudnya petempatan setinggan.


Faktor pertumbuhan penduduk bandar yang pesat dan berterusan. Jumlah penduduk bandar semakin hari semakin bertambah akibat migrasi masuk dan juga pertambahan semula jadi yang berpunca daripada peningkatan kadar kelahiran. Aliran migrasi desa ke bandar yang begitu pesat dialami oleh semua bandar di negara yang sedang membangun. Faktor ini menjadi factor utama ke arah terbentuknya petempatan setinggan. Hal ini kerana pertambahan penduduk yang pesat tidak diimbangi dengan peluang pekerjaan dan kemudahan asas perumahan yang cukup. Oleh sebab sebahagian migran terdiri daripada golongan muda yang berpendidikan rendah, maka mereka tidak begitu mengamalkan perancangan keluarga bagi mengawal kelahiran. Dengan tahap fertiliti yang tinggi, kelahiran di kawasan setinggan juga tinggi seperti mana kawasan luar bandarnya. Keadaan ini akan menanbah saiz keluarga, menambahkan beban tanggungan keluarga yang akhirnya terpaksa memilih kawasan setinggan bagi mengurangkan beban kewangan masing-masing.


Jawapan :


Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan petempatan setinggan. Antaranya ialah :


Melaksanakan dasar pembandaran seimbang. Proses pembandaran antara bandar dengan yang lain antara kawasan perlulah dirancang, disusun dan dikaji dengan teliti supaya masalah ketidakseimbangan pembangunan bandar dapat dielakkan. Dengan perkataan lain, sesuatu usaha pembandaran tidak hanya tertumpu di sesebuah bandar semata-mata sebaliknya ia perlu menyeluruh dan bersepadu agar tidak wujud pembandaran secara primat seperti yang dialami oleh Bangkok dan Jakarta yang sememangnya cenderung membentuk setinggan. Pada masa kini, pembangunan bandar tidak semata-mata tertumpu di Kuala Lumpur sahaja malah tersebar keluar ke bandar-bandar besar yang lain seperti Johor Bahru, Ipoh juga merangkumi bandar-bandar bersaiz sederhana dan kecil.


Menyediakan dan menambahkan perumahan kos rendah. Kuantiti rumah kos rendah yang disediakan oleh kerajaan mahupun swasta adalah tidak sepadan dengan permintaan dari penduduk bandar yang semakin bertambah. Pihak swasta digesa memperbanyakkan bilangan rumah kos rendah dan menyediakan perumahan yang lengkap kepada para pekerjanya sebagai satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan. Kerajaan telah menubuhkan dana khas perumahan negara bagi tujuan memberikan kemudahan kredit dan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah.


Mengekang aliran migrasi desa ke bandar. Punca utama fenomena persetingganan adalah akibat migrasi dari desa ke bandar. Oleh sebab itu, usaha mengurangkan kadar aliran ini mestilah dibat dengan tegas dan menyeluruh agar golongan belia tidak berterusan menuju ke bandar-bandar utama. Antara langkahnya ialah melaksanakan semula Program Pembangunan Wilayah seperti Jengka, Kesedar dan lain-lain. System perladangan moden perlu diperluaskan di kawasan-kawasan pembangunan wilayah ini disamping menyediakan projek-projek industri ke dalamnya agar migrasi generasi baru FELDA boleh dikekang.


Melaksanakan program perancangan bandar yang lebih sistematik dan cekap. Penggunaan ruang tanah dan pengezonan bandar mestilah dirancang dengan teliti agar tidak wujud kawasan rizab luas yang boleh diguna oleh migran dan pendatang membina rumah-rumah haram mereka. Pembinaan rumah setinggan hendaklah dirobohkan tanpa menerima apa-apa tekanan politik dan kerenah birokrasi. Pihak berwajib seperti Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) boleh diberi kuasa tambahan dalam melaksanakan tindakan yang tegas terhadap gejala rumah setinggan.


Skrip Jawapan : Sdri Nur Fuziaty bt Mohd Fuad, 6AA KHS 2010

No comments: