Followers

Carian dalam Blog ini

13 February 2010

Berapa ramai yang mencemuh dari membantu membetulkan kesilapan mereka

Salam to all.

Tidak dinafikan perbuatan membuang bayi kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Sedarkah kita yang melakukan perbuatan ini selalunya golongan remaja, yang terbukti melalui kajian psikologi cenderung bertindak tanpa memikirkan/mengambil kira kesannya.

Mentaliti masyarakat perlu berubah terhadap individu yang telah terjebak dengan permasalahan ini. Pada hemat saya, tidak ramai ahli masyarakat yang berusaha membawa mereka yang terlibat kembali ke pangkal jalan. Kesilapan mereka ini menjadi bualan, kutukan , hinaan dan berterusan dicemuh. Mereka dalam keadaan tertekan sebenarnya perlukan sokongan bukan kata cercaan. Nah, natijahnya meningkatlah kes-kes seperti yang dilaporkan ini.

**********************************************************************

Kaunseling remaja hamil

MASALAH buang bayi kembali meningkat kebelakangan ini. Hampir setiap minggu, terdapat laporan kes buang bayi yang berlaku di seluruh negara.

Antara lokasi yang menjadi pilihan untuk pihak yang tidak bertanggungjawab membuang bayi adalah di kawasan masjid atau surau, tandas, di hadapan rumah, tong sampah dan stesen bas.

Terbaru, mayat seorang bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka pada hari Rabu lalu.

Sehari sebelum itu, seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui di Alor Setar, Kedah.

Sementara pada awal minggu ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kes buang bayi yang dilaporkan tiga hari berturut-turut itu telah mendorong isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan belia perempuan supaya jangan bertindak secara melulu.

Sementara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam laporan sebelum ini menyifatkan tabiat buruk membuang bayi yang semakin berleluasa ketika ini adalah amat membimbangkan.

Kenapa ada pihak yang sanggup membuang dan membunuh bayi mereka? Sedangkan mereka mempunyai masa yang panjang ketika bayi terbabit masih di dalam kandungan untuk memikirkan nasib terbaik bayi berkenaan.

Shahrizat menyifatkan peningkatan kes buang bayi menunjukkan ramai anggota masyarakat kini mengalami tekanan hidup dan tidak tahu menanganinya dengan bijak.

Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi yang tidak berdosa.

''Ibu bapa diingatkan supaya jangan membuang bayi merata-rata kerana kerajaan menyediakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayi dengan selamat.

Shahrizat turut tidak menolak faktor institusi keluarga yang semakin lemah akibat kesibukan mengejar kejayaan mendorong remaja tidak menjadikan keluarga sebagai tempat mengadu.

Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, isu pembuangan bayi bukanlah perkara baru dan ia umpama mimpi buruk yang bermusim dalam masyarakat Malaysia.

''Mereka yang mengambil tindakan membuang bayi adalah mereka yang terdesak dan hilang pertimbangan. Mereka ini tidak ada panduan dalam soal agama sehingga tergamak membuang amanah Allah atau membiarkan bayi itu mati,'' jelasnya.

Tambah Rosnah, stigma masyarakat berhubung ibu yang membesarkan bayi tanpa ikatan pernikahan juga mendorong mereka bertindak demikian.

''Mungkin faktor-faktor lain seperti masalah kewangan, di bawah umur dan tekanan keluarga menyebabkan gadis berkenaan membuang bayi mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam

Tambah Rosnah, kerajaan menyediakan pelbagai alternatif bantuan seperti rumah kebajikan, nasihat dan rujukan di pejabat agama. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat sokongan dan lain-lain.

''Tanggungjawab membendung gejala buang bayi bukan hanya di bahu kerajaan. Kita perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini agar ia tidak menjadi satu kebiasaan dalam budaya masyarakat Malaysia. Masyarakat juga perlu didedahkan bahawa isu buang bayi bukan kesalahan si ibu semata-mata," katanya.

Tambah Rosnah, masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan ke atas anak remaja, memberikan didikan agama dan menggunakan pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik anak-anak.

"Remaja juga perlu didedahkan dengan batas-batas yang perlu dijaga dalam perhubungan," katanya.

Dalam hal ini, golongan belia perlu diberikan kesedaran mengenai amalan berfikir dulu sebelum mengambil sebarang tindakan serta menguruskan masalah dan tekanan dengan mendapatkan nasihat daripada keluarga, pemimpin masyarakat dan pihak profesional.

Kesedaran ini adalah penting supaya golongan belia tidak mengambil tindakan tidak sewajarnya seperti membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Ada banyak cara untuk kita mengatasi masalah dan tekanan yang dihadapi dan salah satunya adalah mendapat khidmat kaunseling.

Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara menawarkan kaunseling secara individu, berkelompok, keluarga dan dalam bentuk ceramah kepada masyarakat.

Pegawai Psikologi LPPKN, Dr. Khamsiah Ismail ketika dihubungi berkata, wanita atau remaja hamil yang bermasalah boleh datang ke pejabat LPPKN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

''LPPKN boleh merujuk wanita berkenaan kepada NGO atau rumah perlindungan tertentu supaya mereka boleh melahirkan bayi dengan selamat.

''LPPKN juga bersedia memberikan kaunseling kepada remaja perempuan yang hamil tanpa nikah bagi menghilangkan rasa bimbang, resah dan takut selain mengelakkan mereka daripada menggugurkan kandungan atau membuang dan membunuh bayi selepas melahirkan," katanya.

Khamsiah berpendapat sebahagian besar daripada mereka yang membuang bayi adalah kerana mereka tidak sanggup berhadapan dengan keluarga dan masyarakat ekoran kesilapan yang sudah dilakukan.

''LPPKN turut memberikan ceramah psiko-seksual mengenai kesan dan akibat apabila terjebak dalam seks tanpa nikah bagi memberikan kesedaran kepada para remaja,'' katanya.

Masyarakat termasuk keluarga perlu mengelak daripada mencemuh wanita bermasalah yang memerlukan bimbingan dan bantuan.

Jika tidak mereka akan terus memilih jalan singkat dengan membunuh nyawa yang tidak berdosa daripada mencari penyelesaian yang rasional.

BH, 13/2/2010
************************************************************************

Masyarakat perlu ada sifat pemaaf, prihatin bendung gejala buang bayi daripada berleluasa

PERSEPSI negatif masyarakat terhadap dosa penzina agaknya melampau sampai ke tahap tiada ampun lagi. Jika setakat mencela perbuatan terkutuk itu tidaklah berat ditanggung penzina yang mahu bertaubat.

Tetapi jika sampai tidak menaruh belas kasihan bahkan dipulaukan, dikeji seumur hidup sampai anak yang dilahirkan turut sama menanggung dosa orang tua dengan panggilan anak haram, diistimewakan dengan sebutan nama berbin dan binti Abdullah supaya berbeza daripada anak-anak lain, apakah ini sikap memaafkan masyarakat kita?

Apabila berlaku fenomena membuang bayi, kita sepakat mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan ini tanpa menilai mengapa ia berlaku. Adakah disebabkan budaya masyarakat yang jauh menyeleweng daripada agama, jika benar mengapa ramai orang Islam yang terbabit?


Mungkin orang kafir lebih bijak menghapuskan benih perzinaan itu dengan melakukan pengguguran, tetapi persoalannya adalah sikap membunuh darah daging yang sempurna bentuk jasad dan sifatnya itu lebih kejam daripada pengguguran pada awal kandungan.

Kita tidak mempersoalkan tindakan mana lebih kejam kerana memang kedua-duanya adalah dosa besar dalam Islam. Tetapi umat Islam perlu memiliki sifat kemanusiaan dan jangan menghukum teruk wanita yang berzina supaya mereka tidak takut dan kembali melakukan dosa besar dengan membuang bayi.

Bayi tidak berdosa itu terbunuh mungkin disebabkan proses kelahiran yang disembunyikan akibat perasaan takut dan malu, bukan kerana sengaja mahu dibunuh. Bagaimana jika ia bukan hasil perzinaan, kerana jenayah rogol misalnya atau 'haruan makan anak'.

Disebabkan masyarakat tiada belas kasihan dan keluarga berantakan, maka wanita yang terbabit berusaha menutupi dosa dengan melahirkan sendiri anak tak berdosa itu. Mustahil mereka mahu membunuh bayi selepas kelahiran. Kalau berniat membunuh, mereka akan melakukannya pada awal kandungan lagi.

Mungkin sesetengahnya tidak sempat menggugurkan kandungan dan terpaksa menunggu saat kelahiran, tetapi pada masa menunggu itu mengapa keluarga dan masyarakat tidak mahu memaafkan sehingga wanita ini putus asa dan akhirnya membunuh bayinya.

Keluarga dan masyarakat berperanan besar dalam menyelesaikan fenomena ini. Orang Islam yang taat jangan sesekali memandang serong wanita yang sudah bertaubat. Mereka yang terlanjur dan mahu bertaubat sepatutnya dibimbing, dikasihani dan ditunjukkan jalan keluar. Jika kita bersikap keras, membenci dan terus memusuhi mereka tanpa memberi peluang, fenomena sebegini akan berlarutan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu [246]. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali Imran ayat: 159)

Kita dituntut untuk terpanggil dan sensitif dengan gejala tidak sihat di sekeliling rumah, tempat kerja, lingkungan di seluruh negeri kita. Jika ada anak saudara yang terlanjur, mampukah kita memberi kemaafan dan menanggung sama aib itu, atau kita menutupinya kerana takut dicemuh masyarakat kemudian tidak peduli dengan perbuatannya bahkan melarang anak perempuan kita bergaul rapat dengannya?

Bukankah lebih baik mengajar anak-anak kita menolong, menasihat dan mencari jalan keluar supaya taubatnya benar-benar nasuha? Malangnya, cerita keji itu tetap dikenang selamanya dan dijadikan cacian dalam keluarga sendiri padahal wanita itu sudah bertaubat.

Kita lihat pandangan dan sikap Baginda SAW terhadap wanita berzina dalam suatu hadis mengenai taubat yang bermaksud:

"Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW tidak sesekali mengeji wanita yang ingin bertaubat ini, tidak mencari dan mengheret lelaki yang melakukannya dan tidak menjatuhkan hudud ke atasnya saat itu juga. Bahkan Rasulullah SAW berpesan kepada ayahnya atau bapa saudaranya atau saudara lelakinya supaya menjaga wanita ini baik-baik. Betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, sedangkan ramai anak-anak perempuan di sekelilingnya terlanjur tak dapat menahan marah ke atas mereka. Sehingga menyebabkan wanita itu tetap dalam kejahatannya bahkan bertambah jahat lagi dengan membuang bayi mereka.

Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya. Umar RA bertanya: Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina. Rasulullah bersabda: Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Azza Wa Jalla".

Seperti kita, Umar mengeji sekeras-kerasnya penzina. Tetapi Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kedudukan taubat lebih tinggi lagi daripada segala kejahatan yang pernah dilakukan manusia.

Sebelum hudud ditegakkan, negara mesti menyediakan badan dakwah dan kebajikan yang aktif berperanan mendidik umat, menggunakan pendekatan kasih sayang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, membanteras jenayah dengan usaha pencegahan berlandaskan ilmu, nasihat dan bimbingan.

Jika ibu bapa sibuk dengan urusan sendiri, tidak menghiraukan pendidikan agama kepada anak-anak, langkah terbaik adalah mengenakan dulu hukuman ke atas ibu bapa yang tidak bertanggungjawab sebelum menyalahkan anak-anak terbabit.

Malang sungguh, saat terlanjur mereka diberhentikan daripada pengajian, dipulau keluarga, tiada yang sudi menasihati dan membimbing, jalan taubat ditutup rapat oleh masyarakat sekeliling. Jika kita tidak mengubah persepsi terhadap wanita-wanita malang ini selamanya gejala buang bayi akan berleluasa.

BH, 16/2/2010

No comments: