Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

07 February 2010

Sakit mental kurang Perhatian

KIRA-KIRA 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar tetapi kurang separuh daripada mereka menerima rawatan yang diperlukan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menganggarkan bahawa menjelang 2020, penyakit mental kemungkinan mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Gangguan kesihatan mental adalah lebih lazim daripada apa yang anda fikirkan. Tahun lepas sahaja 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan, satu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006 menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan remaja semakin meningkat.

Kaum hawa lebih cenderung menghadapi masalah kesihatan mental dengan peratusan mereka yang terbabit mencatatkan 12.1 peratus berbanding 10.4 peratus bagi lelaki.

Lima daripada 10 punca utama kecacatan adalah berkaitan dengan penyakit mental. Kemurungan dijangka menjadi punca utama kedua kecacatan menjelang 2020.

Kurang diagnosis

Walaupun ia masalah biasa dan serius, penyakit mental masih tidak diterima dengan meluas sebagai masalah kesihatan yang kritikal dan seringkali tidak didiagnosis dengan lengkap oleh para pakar penjagaan kesihatan.

Presiden Persekutuan ASEAN bagi Psikiatri dan Kesihatan Mental (AFPMH), Professor Dr. Mohamad Hussain Habil beranggapan ini sebahagian besarnya berpunca kerana dua faktor.

Pertama kurangnya pengetahuan atau persefahaman dalam mendiagnosis atau merawat penyakit itu sementara faktor kedua berkaitan langsung dengan pandangan serong ataupun stigma akibat gangguan mental yang turut membabitkan kalangan pengamal perubatan.

Pengesanan awal penyakit ini dalam masyarakat oleh pakar-pakar perubatan boleh membawa pelbagai manfaat berkaitan dengan kos dan produktiviti, dan dalam kes-kes tertentu menghalang masalah itu daripada menjadi masalah kesihatan yang besar.

Menurut laporan Majlis Penasihat Kebangsaan Kesihatan Mental, hasil daripada rawatan bagi mereka dengan penyakit mental paling serius boleh dibandingkan dengan rawatan bagi penyakit kronik lain.

Kadar kejayaan rawatan awal bagi penyakit mental adalah 60-80 peratus, melampaui kadar kejayaan 40 hingga 60 peratus bagi rawatan pembedahan biasa seperti penyakit jantung.

Bagi individu dengan masalah kesihatan mental, ketiadaan bantuan yang mereka perlukan boleh mencetuskan tekanan sosial dan pemulauan selain menyebabkan bebanan kewangan kerana mereka akan terus mencari nasihat perubatan, selain daripada kehilangan pekerjaan kerana produktiviti yang berkurang.

Keadaan ini juga menjejaskan kualiti kehidupan pesakit dan penjaga mereka. Lebih buruk lagi, kekurangan diagnosis lengkap boleh menyebabkan tragedi khasnya apabila pesakit membunuh diri.

Peranan penjagaan

AFPMH dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2009 pada 9 Oktober dengan mensasarkan kepada peranan penting pakar-pakar perubatan utama dalam mengenalpasti dan merawat gangguan psikiatri.

Tema tahun ini ialah 'Kesihatan Mental Dalam Penjagaan Utama; Mempertingkat Rawatan dan Menggalakkan Kesihatan Mental'.

Ramai yang tidak akan menimbangkan untuk menemui ahli psikiatri apalagi kebanyakan tidak akan menerima hakikat yang mereka mempunyai masalah kesihatan mental.

Dan mereka malu untuk berjumpa dengan pakar kesihatan mental dan seringkali rasa lebih selesa untuk bertemu dengan doktor di kejiranan mereka.

"Pakar-pakar penjagaan utama ini berada di barisan hadapan sistem penjagaan kesihatan awam dan lebih mengetahui sejarah kesihatan pesakit mereka.

"Oleh itu perlu ada kemampuan untuk mengenalpasti simptom selain pengetahuan psikiatri untuk melaksanakan rawatan,"kata Profesor Dr. Mohamad Hussain semasa satu persidangan berita baru-baru ini.

Profesor Dr. Mohamad Hussain, yang juga Pakar Rawatan Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata pengesanan awal serta diagnosis yang wajar membolehkan pesakit menerima rawatan yang sesuai.

Ia juga mencegah gangguan mental yang lebih buruk lagi dan akhirnya membolehkan pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan normal bersama masyarakat semasa menjalani rawatan, katanya.

Professor Dr Mohamad Hussain juga berkata, hanya terdapat lebih kurang 200 ahli psikiatri di Malaysia sedangkan bilangan yang ideal ialah seramai 2000 orang.

"Satu pendekatan bersepadu membabitkan pakar-pakar utama dalam penjagaan kesihatan akan mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh ahli psikiatri, dan akan banyak membantu mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan yang mampu.

"Pendekatan ini memastikan bahawa pesakit tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan ubat-ubatan daripada ahli psikiatri, yang banyak mengurangkan beban kepada mereka yang menjaga pesakit mental," katanya.

Stigma

Stigma yang wujud di kalangan umum dan sehinggakan pakar-pakar penjagaan kesihatan merupakan punca utama kes-kes psikiatri gagal dikesan dan dirawat dari awal lagi.

"Bidang psikiatri telah banyak berkembang. Ubat-ubatan terbaru membolehkan gangguan mental dirawat. Bagaimanapun, ramai yang tidak mahu mendapatkan bantuan profesional kerana beranggapan mereka akan dicemuh sebagai 'gila' ataupun akan didiskriminasi jika didiagnosis dengan gangguan mental," kata Presiden MPA Dr Yen Tech Hoe.

Isu ini diburukkan lagi oleh tanggapan salah di kalangan pakar perubatan iaitu masalah kesihatan mental merupakan komponen kurang penting dalam profesyen perubatan.

Ramai daripada pakar perubatan tidak menyedari yang kebanyakan daripada penyakit psikiatri ini muncul dalam bentuk simptom fizikal dan oleh itu mereka lazimnya merawat simptom ini tanpa pemeriksaan lanjut.

http://hspn.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=16

No comments: