Followers

Carian dalam Blog ini

27 February 2010

Pencemaran Elektromagnet

Pencemaran elektromagnet ancaman baru


Ujian gelombang dapat ditentukan dengan paparan pada skrin komputer.


MANUSIA dan telefon bimbit tidak dapat dipisahkan. Sekurang-kurangnya mereka yang mampu pasti memiliki seunit gajet tersebut. Mereka memerlukan telefon bimbit untuk pelbagai kegunaan, khususnya untuk berkomunikasi. Tambahan pula dengan teknologinya yang berkembang pantas, menjadikan ia alat perhubungan utama ketika ini.Bukan setakat berbual, malah melalui telefon bimbit kita boleh berkongsi gambar dan video serta aplikasi lain. Sebab itu pengeluar alat selular itu berlumba-lumba menampilkan teknologi terkini dalam produkmereka untuk menarik pembeli.

Kadang-kadang di sebalik segala kebaikan dan kemudahan yang ada timbul pula kesan negatif. Begitu juga dengan penggunaan telefon bimbit. Di samping kemudahan yang ditawarkan, ia turut dikatakan mempunyai elemen negatif. Ada yang mengatakan ia boleh mengundang penyakit tertentu jika pendedahan terlalu lama.

Dalam setiap kepesatan penggunaan teknologi pasti ada harga yang perlu dibayar. Sama harga pada barangan yang kita beli, atau kesan kepada hidup dan kesihatan yang kita tidak nampak. Namun peraturan antarabangsa telah menetapkan bahawa setiap penghasilan barangan elektrik dan elektronik perlu mematuhi piawaian kualiti dan peraturan yang telah ditetapkan.

Selain kualiti barangan dalam bentuk fizikal seperti reka bentuk dan saiz, aspek yang turut diberikan perhatian kini ialah kadar pancaran gelombang elektromagnet yang terhasil daripada penggunaan produk-produk berkenaan. Lagi pula dalam sistem komunikasi tanpa wayar atau dalam kata lain penggunaan telefon bimbit ia bergantung sepenuhnya kepada gelombang elektromagnet. Sudah tentu sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada kehidupan kita.

Tetapi sejauh mana gelombang elektromagnet ini memberi kesan dan boleh menjejaskan kehidupan kita? Menurut seorang pakar bidang terbabit , Prof. Dr Mohd. Zarar Mohd. Jenu dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), gelombang elektromagnet terdiri daripada medan magnet dan elektrik yang saling berpasangan serta mempunyai spektrum frekuensi yang lebar sehingga ke sinaran gamma. Mohd. Zarar yang juga Ketua Pusat Keserasian Elektromagnet UTHM berkata, frekuensi gelombang yang mempunyai banyak aplikasi terutama bidang komunikasi adalah yang berada pada julat antara 30 MHz hingga 30 GHz.

''Dewasa ini semakin banyak peralatan elektrik dan elektronik dihasilkan dan setiap alat ini akan memancarkan gelombang elektromagnet secara sengaja atau tidak sengaja. Akibatnya alam sekitar semakin dicemari oleh fenomena ini. ''Inilah yang dinamakan pencemaran elektromagnet. Masalah daripada pencemaran ini ialah kemungkinan sesuatu peralatan tidak dapat berfungsi dengan baik jika ia berada dalam persekitaran pencemaran itu,'' katanya.

Beliau menjelaskan, masalah pencemaran air dan udara boleh kelihatan atau dirasai dan manusia boleh mengelakkannya. Tetapi tidak ada apa yang mereka boleh lakukan terhadap pencemaran elektromagnet. Pancaran gelombang elektromagnet bukan sahaja tidak kelihatan malah tidak berbau. Tetapi ia mengancam manusia sepanjang 24 jam apabila menggunakan telefon bimbit, komputer, barang elektrik dan peralatan yang mengeluarkan pancaran gelombang.

Katanya, sebelum ini jika ada aduan mengenai bahaya pencemaran gelombang pada menara komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Nuklear Malaysia akan membuat ujian mengesahkan masalah tersebut. Apa yang berlaku ialah kesemua ujian mengesahkan tidak berlaku ancaman gelombang elektromagnet tersebut. Ukuran yang dibuat dalam ujian tersebut tidak menunjukkan berlaku jumlah pancaran yang melepasi had di tetapkan piawaian antarabangsa.

Had itu pula ditentukan bagi memastikan tidak ada kemungkinan berlaku kenaikan suhu badan keseluruhan melebihi satu darjah Celsius. Maka, kata Mohd. Zarar, jika pengukuran adalah di bawah had yang ditetapkan kesan jangka pendek seperti kenaikan suhu tisu yang boleh menjejaskan kesihatan tidak akan berlaku. Namun demikian menurutnya, pendedahan yang lama terhadap gelombang elektromagnet berkuasa rendah berpotensi memberi kesan kepada kesihatan manusia. ''Ia (kesan) bukan kelihatan serta merta kerana mungkin akan menjejaskan sel manusia pada masa akan datang jika terdedah terlalu lama," katanya.

Menurut beliau, ini kerana gelombang itu mampu menyusup ke dalam sel manusia dan mengubah struktur atomiknya. Kenaikan suhu badan tidak sesuai lagi diambil sebagai ukuran mutlak sebagai bukti berlakunya ancaman gelombang elektromagnet terhadap kesihatan manusia kerana kesan yang berbentuk mikro perlu diberi perhatian dalam jangka masa panjang.

Beliau mendakwa, gelombang yang terkena pada badan manusia boleh membawa kepada berlakunya gerakan anggota badan tidak dapat dikawal dan juga mengganggu tindakbalas kognitif. Ini kerana tubuh manusia secara semula jadi mempunyai sistem elektrik yang kompleks berdasarkan kepada gerakan anggota badan yang berlaku atas arahan otak menerusi impuls saraf. Jika sistem elektrik badan ini diganggu pula dengan pancaran gelombang elektromagnet daripada luar, ia berpotensi membawa kesan kepada manusia yang tidak dijangka.

Beliau juga menjelaskan kaedah yang digunakan bagi menjamin tahap pancaran telefon bimbit adalah terkawal. Ukuran yang digunakan adalah kadar tenaga yang diserap oleh bahagian kepala (Specific Absorption Rate atau SAR) menggunakan unit Watt bagi setiap kilogram. Berdasarkan had antarabangsa, SAR yang dibenarkan adalah sehingga 2 W/kg, tetapi sesetengah negara seperti Amerika Syarikat pula hanya membenarkan SAR pada tahap maksimum 1.6 W/kg untuk memastikan telefon bimbit berkenaan tidak mendatangkan masalah kepada pengguna di negara itu. Oleh itu sudah sewajarnya setiap pengguna telefon bimbit memeriksa SAR telefon bimbit masing-masing atau sekurangya bertanya kepada penjual.

Mohd Zarar membayangkan masalah ancaman gelombang elektromagnet ini semakin membimbangkan memandangkan teknologi wayarles kini semakin diutamakan dan dipromosikan sebagai satu gaya hidup masyarakat moden. Beliau menyimpulkan bahawa kesan pencemaran itu serius kerana berpotensi memberi kesan kepada manusia dalam jangka panjang. Kata beliau, kes-kes berkaitan antaranya gangguan pada televisyen ketika sedang menggunakan mesin pengisar , kereta yang sistem brek automatik (ABS) nya berfungsi secara sendiri, dan juruterbang pesawat mendengar suara kanak-kanak di kokpit.

Selain itu masalah kebakaran kereta ketika menggunakan telefon bimbit semasa mengisi minyak adalah contoh betapa seriusnya implikasi pencemaran elektromagnet itu jika tidak dikawal. apa yang perlu dilakukan ialah supaya barangan elektrik dan elektronik yang berada di pasaran memenuhi keperluan keserasian elektromagnet (electromagnetic compatibility (EMC)). Ia bagi memastikan barang tersebut tidak mengeluarkan pancaran gelombang elektromagnet yang melebihi paras tertentu dan pada masa yang masa barangan tersebut adalah kebal dari gangguan gelombang di persekitaran nya. Beliau berkata, pada masa ini, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun telah menetapkan peraturan EMC yang perlu dipatuhi oleh negara pengeksport seperti Malaysia. Lebih penting kata beliau ialah kesedaran terhadap peraturan EMC amat penting kepada pengeluar tempatan untuk memastikan barangan mereka dapat terus dipasarkan dan menyumbang kepada ekonomi negara ini.

Selain itu, kesan gelombang elektromagnet terhadap kesihatan manusia telah banyak dipersoalkan oleh pelbagai pihak. Badan antarabangsa seperti International Committee on Non-Ionizing Radiation (ICNIRP) telah mengeluarkan had bagi pendedahan kepada radiasi gelombang elektromagnet sehingga ke frekuensi 300 GHz. Namun demikian had ini terbatas kepada kesan peningkatan suhu dalam tisu manusia atau kesan 'thermal'. Ujian yang dijalankan setakat ini menunjukkan kesemua pemancar gelombang berkenaan memancarkan tenaga elektromagnet yang jauh lebih kecil dari had yang ditetapkan.

Namun demikian banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan walaupun tahap radiasi adalah rendah dan tiada kesan 'thermal' yang membahayakan, kesan mikro pada tahap sel manusia tidak boleh diabaikan begitu saja. Kesan sebenar dalam jangka masa panjang terhadap pendedahan berterusan kepada radiasi gelombang elektromagnet tahap rendah mungkin boleh membawa implikasi serius. Ini boleh dinamakan sebagai pembunuh senyap.Untuk itu, UTHM mendahului universiti lain di negara ini dalam memberi perhatian yang serius terhadap bidang yang berkaitan kesan gelombang elektromagnet terhadap alatan dan manusia dengan mewujudkan pusat berkenaan. Pusat Keserasian Elektromagnet UTHM menyedikan khidmat untuk menguji tahap pancaran elektromagnet dari alatan IT, Audio-Video and alat rumah mengikut piawaian antarabangsa.

Beliau boleh dihubungi di zarar@uthm.edu.my

No comments: